My ads

Monday, January 3, 2011

Elemen-elemen dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)

Elemen-elemen dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)

Dengan berpandukan kepada pernyataan falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), adalah difahamkan bahawa pendidikan di Malaysia merupakan suatu usaha memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang berdasakan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Matlamat pendidikan ialah melahirkan rakyat yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berupaya mencapai kesejahteraan dan memberi sumbangan untuk keharmonian dan kemakmuran negara

Berlandaskan pernyataan Falsafah Pendidikan Kebangsaan tersebut, maka dapat diringkaskan seperti berikut




Elemen pertama dalam FPK ialah “ Pendidikan suatu usaha berterusan”. Elemen ini adalah sangat penting kerana pendidikan ialah proses pemerolehan ilmu pengetahuan dan kemahiran, serta penyerapan nilai murni supaya menjadi insan yang berilmu pengetahuan, bertenaga mahir serta berahlak mulia. Proses pendidikan ini merupakan proses secara berterusan sepanjang hayat.

Maka, pendidikan secara berterusan ini adalah bermula sebagai pendidikan asas dalam peringkat awal kanak-kanak di rumah dan tadika, disambungkan di sekolah rendah dan sekolah menengah dalam peringkat kanak-kanak dan remaja, sekolah di tempat-tempat seperti dan diteruskan di peringkat selepas institut pendidikan tinggi, tempat bekerja dan komuniti, atau dengan pembelajaran secara kendiri berbentuk ICTsecara on-line dan melalui media massa. Pendidikan sepanjang hayat membolehkan kita mengbadapi dan menangani pelbagai pembangunan yang pesat, khasnya perkembangan k-ekonomi dalam Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Justeru itu, pendidikan secara berterusan ini merupakan hasrat utama FPK.

Elemen seterusnya  ialah “Memperkembang potensi individu. Mengikut kajian, individu memiliki pelbagai keupayaan, bakat dan potensi seperti intelek, jasmani, emosi dan rohani sejak lahirnya. Kebanyakan potensi ini adalah terpendam dalam kendiri. Fungsi pendidikan ialah memperkembang dan meningkatkan potensi individu supaya mencapai tahap cemerlang. Di dalam hasrat FPK, unsur intelek memberi tumpuan kepada ciri-ciri daya berfikir, seperti menguasai kemahiran asas 3M (membaca, menulis dan mengira), menguasai kemahiran untuk memperoleh, meningkat dan menyebarkan ilmu dan dapat berfikir secara kritis dan kreatif (KBKK) serta dapat memanfaatkan ilmu dan kemahiran untuk diri dan orang lain, termasuk kemajuan negara.

Dari segi perkembangan unsur jasmani pula, penekanan tumpuan adalah kepada kesihatan tubuh badan individu, seperti memperkembang kepada tahap keupayaan seperti menjaga kesihatan tubuh badan diri ataupun melakukan riadah dengan sempurna; Menggunakan bakat dan kemahiran teknikal/manipulatif dengan cekap, memanfaatkan tenaga fizikal secara berdikari dan untuk kepentingan masyarakat dan akhir sekali ialah meningkatkan daya pengeluaran, demi memberi sumbangan kepada kemajuan negara.

Perkembangan unsur emosi memberi tumpuan kepada perasaan jiwa yang sihat dan kuat, iaitu memperoleh perasaan tenaga dan tingkah laku yang terkawal, memiliki perasaan kasih sayang, memiliki semangat kekitaran yang muhibbah, kerjasama dan perpaduan serta mempunyai kemahiran menilai dan menghargai keindahan dan kesenian

Dalam perkembangan  unsur rohani, penekanan tumpuan ialah kepada sifat kejiwaan dan kebatian, iaitu mempunyai perasaan menyedari dan mengingati adanya Pencipta, menghargai dan mensyukuri pemberian Pencipta dan dapat memupuk dan membina disiplin kendiri serta membentuk akhlak yang mulia.

Dalam elemen perkembangan potensi secara menyeruluh dan bersepadu,  perkembangan potensi individu tidak lengkap dan sempurna jika dilakukan secara berasingan. Ia harus diperkembangan secara menyeruluh dan bersepadu. Maka, untuk membentuk insan yang berilmu pengetahuan, bertenaga mahir serta berakhlak mulia dengan sempurna, aktiviti kokurikulum harus juga diberi penekanan, di samping kurikulum akademik yang dilaksanakan dalam bilik darjah. Potensi yang ada pada diri individu hendaklah diperkembangkan ke peringkat optimum dengan cara mengintegrasi bakat dan kebolehannya yang saling berkait di antara satu sama lain.

Selain itu, elemen seterusya yang ditekankan ialah membentuk insan yang seimbang dan harmonis. Seperti yang diketahui umum, insan yang seimbang dan harmonis merupakan insan yang berilmu pengetahuan, bertenaga mahir, berakhlak mahir, mempunyai kepercayaan kepada Tuhan, mempunyai jiwa dan fikiran yang tenteram, tubuh badan sihat dan cergas, serta kematangan emosi dan sosial. Selain itu, insan yang seimbang dan harmonis merupakan potensinya, iaitu intelek, jasmani, emosi, sosial dan rohani, telah diperkembangkan secara menyeruluh, bersepadu dan dalam tahap optimum.  Di samping itu, insan ini juga adalah individu yang memiliki kesedaran dan keinsafan terhadap tanggungjawab diri, keluarga dan negara. Individu ini akan sentiasa beriktiar dan berusaha menyelesaikan masalah yang dihadapi, dan melaksanakan tangungjawab sebagai anggota masyarakat yang berguna, demi kemajuan diri, keluarga, bangsa dan negara.

Seterusnya, dalam elemen kepercayaan kepada Tuhan. Kepercayaan ini merupakan keyakinan bahawa manusia dan alam sekitar tidak terjadi secara sendiri tetapi ada Penciptanya, dan hukum-hukum alam adalah hukum-hukum Tuhan. Oleh itu, manusia harus patuh kepada Tuhan dengan memikul amanah dan bertanggungjawab kepada Tuhan dalam usaha mentadbir dan memakmurkan alamnya.

Maka, kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan memberi tumpuan seperti mengakui wujudnya Pencipta, mengakui manusia dan alam dijadikan oleh penciptanya, mengetahui hukum dan fenomena alam adalah peraturan yang ditetapkan oleh Pencipta, menyedari manusia dijadikan untuk memajukan alam atau menyedari manusia bertanggungjawab sepenuhnya ke atas perbuatan diri sendiri dan seterusnya melakukan kebaikan dan menghindari perbuatan kejahatan.

Membentuk rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan adalah elemen yang ditekankan dalam FPK juga. Elemen ini menyaran rakyat yang memiliki sikap suka membaca, cintakan ilmu pengetahuan serta akan menggunakannya untuk manfaat diri dan orang lain. Rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan merupakan rakyat yang memiliki ciri-ciri seperti mencintai ilmu pengetahuan iaitu gemar membaca, sentiasa berusaha menambah ilmu pengetahuan dan  berusaha meningkatkan dan  menyebarkan  ilmu pengetahuan di samping memanfaatkan ilmu untuk kebaikan diri dan orang lain serta berfikiran terbuka luas dan mendalam.

Rakyat Malaysia yang berketrampilan juga adalah elemen yang ditekankan dalam FPK. Hal ini disebabkan kerana rakyat yang mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran sentiasa rela memberi sumbangannya demi kemajuan negara dengan cekap dan sempuma. Rakyat Malaysia yang berketrampilan merupakan rakyat yang memiliki ciri-ciri seperti berilmu pengetahuan dan berkelayakan yang sesuai dengan tugas yang dipertanggungjawabkan dan mempunyai kemahiran yang sesuai dalam perlaksanaan tugasnya secara cekap dan sempuma

Seterusnya, rakyat malaysia yang berakhlak mulia menyaran rakyat perlu  memiliki tingkah laku yang bersopan santun, berdisiplin dan bersepadu, dan mengamalkannya dalam kehidupan harian. Secara umumnya, rakyat Malaysia yang berakhlak mulia ialah rakyat yang memperoleh ciri-ciri seperti mengetahui yang mana nilai baik dan mana yang buruk atau menyerdari kesan dan akibat daripada perbuatan baik dan buruk, mempunyai keyakinan terhadap nilai murni dan dapat menghayati nilai kerohanian kemanusian serta kewarganegaraan serta mengamalkan perlakuan baik dan mengelakkan perbuatan buruk.

Selain itu, rakyat Malaysia yang bertanggungjawab  juga ditekankan kerana rakyat yang mempunyai tanggungjawab yang sempurna tehadap Tuhan, bangsa dan negara, akan melaksanakan tugasnya dengan cekap, bersih dan amanah. Rakyat Malaysia yang bertanggungjawab ialah rakyat yang memiliki ciri-ciri seperti menyedari tugas dan tanggungjawab harus dilaksanakan dengan sempurna, sentiasa berusaha meningkatkan daya pengeluaran dengan  mematuhi peraturan dan undang-undang negara dan berusaha memajukan diri, keluarga, masyarakat, bangsa, negara dan agama.

            Rakyat Malysia yang berkeupayaan menikmati kesejahteraan diri juga disarankan sebagai salah satu elemen dalam FPK. Melalui perkembangan potensi individu secara menyeruluh, rakyat akan dapat memiliki jiwa yang tenteram untuk memahami keperluannya sendiri, keluarga, masyarakat, agama dan negara. Rakyat Malaysia yang berupaya mencapai kesejahteraan diri ialah rakyat yang memiliki keupayaan seperti daya katahanan diri yang kuat untuk menangani cabaran hidup dari semasa ke semasa, berfikiran waras dengan jiwa tenang dan tubuh badan yang sihat dan memperoleh kemahiran untuk mewujudkan perhubungan yang baik.

            Elemen yang terakhir yang ditekankan dalam FPK ialah “rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan”. Sebenarnya, melalui latihan, rakyat boleh menggnunakan tenaganya yang mahir, produktif dan inovatif untuk mempertingkatkan daya pengeluaran ke arah pembangunan negara. Rakyat Maysia yang dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara ialah rakyat yang memeroleh keupayaan seperti memupuk keharmonian keluarga, semangat kerjasama, kekitaan, perpaduan, muhibbah, tolerensi dan hormat dan menguasai kemahiran sains dan teknologi untuk perkembangan dan kemajuan negara. Selain itu, individu ini juga dapat mengekalkan kestabilan negara dengan mematuhi, mengekalkan dan mempertahankan Perlembangan sebagai menghayati dan mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara dan bersemangat patriotik dan cintakan negara.

            Sebagai kesimpulannya, peringkat keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara ini boleh dicapai dengan mengamalkan sikap toleransi, berkerjasama, hormat-menghormati serta memupuk perpaduan di antara kaum. Suasana keharmonian yang tenteram dan stabil akan menjamin perkembangan ekonomi dan kemajuan di dalam semua bidang kehidupan, dan seterusnya muncul keadaan kemakmuran masyarakat dan negara. Maka, Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) boleh dicerminkan dalam Rajah 3.1, dengan menggambarkan falsafah pendidikan yang berpaksikan kepada Ketuhanan.

3 comments:

Post a Comment