Peranan sekolah dalam merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)
Tanggungjawab dan peranan sekolah terhadap masyarakat ataupun komuniti adalah amat penting dalam merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Fungsi utama sekolah adalah untuk memberi pendidikan dan latihan. Pendidikan dianggap sebagai proses membentuk seorang manusia yang sanggup berfikir kritis dan mempunyai daya kreatif. Latihan pula bertujuan memberi kemahiran teknikal dan kegiatan psikomotor.
Oleh itu, peranan sekolah ialah untuk memberi peluang kepada manusia, khasnya generasi muda, untuk menguasai berbagai-bagai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang difikirkan sesuai untuk meneruskan perkembangan masyarakat atau komunitinya. Selain itu, sekolah juga sebagai suatu institusi masyarakat yang mementingkan perkembangan dan perubahan tingkah laku murid-murid mengikuti arah aliran dan kehendak masyarakat. Justeru itu, persekolahan yang berorganisasikan ini memainkan peranan dalam mengekalkan corak kehidupan dan budaya ilmu yang dianggap sesuai.
Misalnya, perkara-perkara yang berkaitan dengan moral seperti budi bahasa, sopan santun dan sifat hormat-menghormati biasanya dipelajari di sekolah. Tidak ketinggalan juga, sekolah mengajar murid seperti mencinta sekolah dan alam sekitar, demi membentuk masyarakat penyayang. Nilai-nilai budaya masyarakat ini adalah penting kerana ia menentukan kandungan normanya. Misalnya, jika anggota-anggota masyarakat meletakkan nilai yang tinggi terhadap kemahiran teknik dan vokasional, maka norma-norma masyarakat tersebut akan berusaha membekalkan peluang bagi anggota-anggotanya agar memperolehi kemahiran teknik dan vokasional itu.
Di Malaysia, sistem pendidikannya adalah meletakkan nilai tinggi terhadap usaha melahirkan rakyat yang berakhlak mulia dan berilmu pengetahuan. Oleh itu, Kementerian Pendidikan menggubal dan melaksanakan kurikulum baru ke arah mencapai matlamat pendidikan tersebut. Sekolah merupakan tempat yang mengekal dan menyebarkan budaya masyarakat menerusi pemupukan budaya ilmu di kalangan pelajar. Kejayaan memupuk budaya ilmu dapat diperlihatkan daripada situasi-situasi berikut:
Kewujudan keadaan di mana setiap lapisan masyarakat melibatkan diri secara langsung atau tidak dalam kegiatan keilmuan.
Ilmu dianggap sebagai keutamaan tertinggi dalam sistem nilai peribadi dan masyarakat.
Kewujudan keadaan di mana segala tindakan manusia pada peringkat individu dan masyarakat dilakukan atas landasan keilmuan.
Kewujudan keadaan usaha manusia menggunakan ilmu untuk meningkatkan kualiti hidup serta membawa kemakmuran, kesejahteraan dan kebahagiaan untuk keluarga, masyarakat dan negara.
Kewujudan keadaan segala lapisan masyarakat menggunakan ilmu untuk memperjuangkan kebenaran dan keadilan, menolak kejahilan dan kepalsuan.
Jika direnung kembali, kita dapat mengkaitkan peranan yang berkaitan sekolah kepada beberapa skop utama:
Jika dilihat dari segi peranan seseorang guru, guru memikul tanggungjawab terhadap masyarakat sebagai agen sosialisasi dan penyebar budaya ilmu yang membawa perkembangan dan kemajuan sekolah dan masyarakatnya. Antara tanggungjawab yang dipikul oleh guru adalah:
Mengelakkan daripada menyebarkan ajaran yang boleh merosakkan kepentingan pelajar, masyarakat atau negara, ataupun yang bertentangan dengan Rukun Negara.
Memupuk sikap dan nilai dalam diri setiap pelajar yang boleh membantu dan membimbing mereka untuk menjadi warganegara yang taat setia, bertanggungjawab dan berguna, menghormati orang-orang yang lebih tua dan menghormati perbezaan kebudayaan, keturunan dan agama.
Menghormati masyarakat sebagai tempat berkhidmat dan memenuhi segala tanggungjawab sebagai seorang warganegara dan sentiasa sanggup mengambil bahagian dalam sebarang kegiatan masyarakat.
Menggalakkan kerjasama dan persefahaman di antara guru dengan ibu bapa, institusi pendidikan dengan masyarakat. Memberi sumbangan cergas untuk meninggikan kehidupan moral, kebudayaan dan kecendekiaan masyarakat. Berpegang kepada tingkah laku yang sopan yang diterima oleh masyarakat dan menjalani kehidupan sehari-hari dengan baik.
Bagi peranan guru besar pula, guru besar merupakan orang paling penting dan berkuasa dalam sesebuah sekolah iaitu memegang jawatan sebagai pengerusi jawatankuasa. Selain itu, guru besar juga bertanggungjawab terhadap segala aktiviti yang beroperasi di sekolah yang meliputi pentadbiran, kewangan, kurikulum, kokurikulum, keadaan persekitaran, kakitangan dan pelajar. Dalam usaha mengembangkan aspek intelek seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), guru besar memainkan peranan yang penting dalam bidang kurikulum, kokurikulum sahsiah serta pentadbiran.
Selaras dengan misi meningkatkan prestasi kurikulum dan kokurikulum di samping menceriakan sekolah, pelbagai program boleh dirancang agar potensi murid-murid dapat diperkembangkan. Contohnya dalam meningkatkan akademik. Aktiviti yang boleh dijalankan ialah dengan membuat nota poket, peta minda, program bijak sifir, reading program, vocabulary building dan sebagainya.. Kelas tuisyen malam juga bolah diadakan bagi murid-murid Tahap 2 dengan bekerjasama degan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Di samping itu, dalam usaha meningkatkan pencapaian sekolah, budaya ilmu turut boleh diterapkan dalam diri setiap murid. Contohnya, guru besar boleh memberi perkataan-perkataan bahasa Inggeris kepada murid pada perhimpunan dan pada perhimpunan yang seterusnya, guru besar akan menanya semula perkataan-perkataan itu. Selain itu, nilai-nilai keagamaan turut juga boleh diterapkan.
Untuk membentuk insan yang yang seimbang dan harmonis, aspek jasmani, emosi dan sosial juga perlu dititikberatkan. Seiring dengan hasrat FPK, guru besar juga boleh melaksanakan aktiviti-aktiviti kokurikulum yang sewajarnya di sekolah. Antara aktiviti yang boleh dijalankan di sekolah ialah persatuan akademik, unit beruniform, kelab serta sukan dan permainan. Aktiviti-aktiviti seperti permainan secara tidak langsung dapat mengembangkan potensi pelajar yang terpendam. Murid-murid juga dapat berinteraksi antara satu sama lain dan seterusnya dapat memupuk semangat perpaduan di kalangan kaum. Selain itu, aktiviti untuk menambahkan ilmu pengetahuan yang lebih mendalam mengikut kelab juga bolah disediakan agar dapat membentuk disiplin murid-murid melalui pasukan unit beruniform. Jawatankuasa boleh ditubuhkan bagi menguruskan segala aktiviti-aktiviti ko-kurikulum. Prasarana dan kemudahan yang cukup berkaitan dengan aktiviti ko-kurikulum juga perlu dipastikan jumlahnya cukup dan berada dalam keadaan yang baik.
Seterusnya, Guru Penolong Kanan Penatadbiran (GPK1) merupakan orang yang kedua terpenting di sekolah selepas Guru Besar. Guru Penolong Kanan Penatadbiran (GPK1) bertanggungjawab kepada keseluruhan perjalanan sekolah termasuk yang berkaitan dengan kurikulum. Antara peranan Guru Penolong Kanan Pentadbiran adalah membantu Guru Besar dalam pentadbiran kurikulum sekolah, sebagai naib pengerusi jawatankuasa kurikulum sekolah, urusan pusat sumber sekolah (PSS), menyusun jadual waktu sekolah, menyelenggaran maklumat tentang kurikulum dari semasa ke semasa, urusan pengajaran dan pembelajaran guru-guru, urusan berkaitan tenaga pengajar, peperiksaan, penilaian dan sebagainya.
Dalam usaha memperkembangkan intelek murid-murid, Guru Penolong Kanan Pentadbiran (GPK1) bertanggungjawab memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan lancar. GPK1 akan memastikanketiadaan guru atas sebab urusan rasmi ataupun cuti sakit akan diganti oleh guru lain. Ini bertujuan agar murid-murid tidak ketinggalan dalam sukatan pelajaran mereka. Selain itu juga, GPK1 berperanan dalam urusan penilaian danpeperiksaan. Contohnya, menyemak ujian serta skema pemarkahan yang disediakan oleh Guru Panitia. Tujuannya penyemakan ini dibuat adalah supaya penilaian dan peperiksaan yang dibuat adalah mengikut format yang ditetapkan serta menepati kurikulum yang terkini.
Selain itu, Guru Penolong Kanan Kokurikulum di sekolah juga memainkan peranan yang amat penting. Antaranya ialah mengada dan menyusun program aktiviti tahunan gerak kerja kokurikulum bagi memastikan rancangan tersebut berjalan dengan lancar. Bidang kokurikulum merupakan landasan utama dalam meningkat serta memperkembangkan aspek jasmani murid-murid di sekolah. Apabila aspek ini dapat ditingkatkan dalam diri setiap murid, minda yang cerdas terhasil daripada tubuh badan yang sihat. Dalam usaha pihak sekolah ke arah memperkembangkan aspek jasmani murid-murid, sekolah ini telah mengadakan aktiviti kokurikulum.
Aktiviti ini dibahagikan kepada tiga iaitu unit beruniform, kelab dan persatuan serta permainan. Melalui kegiatan unit beruniform ini, murid-murid dapat menambahkan pengetahuan dari luar bilik darjah. Contohnya melalui penglibatan murid dalam unit beruniform Pengakap, murid-murid dapat mempelajari cara membuat ikatan, simpulan, memasang khemah dan sebagainya. Ilmu ini juga diharap dapat diaplikasikan ke dalam hidupan seharian. Disiplin murid-murid juga dapat dibina dan diperbaiki melalui kegiatan unit beruniform ini.
Di samping itu, aktiviti sukan dan permainan dapat mencungkil bakat dan potensi pelajar yang terpendam. Adalah menjadi tanggungjawab guru-guru untuk melatih pasukan sekolah. Menerusi penglibatan murid dalam aktiviti ini, secara tidak langsung guru-guru dapat membuat pemerhatian dan pemilihan murid yang berbakat untuk diserapkan ke dalam pasukan sekolah. Mereka kemudiannya akan diberi latihan yang berterusan sebagai strategi untuk mewakili sekolah ke pertandingan kelompok, daerah atau negeri. Kelab dan persatuan pula melatih murid-murid belajar menerima serta melaksanakan tanggungjawab yang diberikan. Perkembangan dari aspek sosial dapat dibentuk apabila murid-murid perlu bekerjasama dalam menjalankan tugas yang diberikan selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan yang ingin melahirkan insan yang mempunyai potensi yang menyeluruh dan bersepadu.
Seterusnya, Guru kelas juga memainkan peranan dalam merealisasikan FPK. Guru bertanggungjawab untuk menguruskan murid-murid dalam hal merekod dan mengemaskini butiran peribadi ke dalam Buku Jadual Kedatangan, Buku Rekod Mengajar, serta Buku Kemasukan Sekolah. Kedatangan murid juga perlu ditanda pada waktu pertama setiap hari persekolahan. Selain menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan murid-murid, tugas Guru Kelas juga meliputi menjalankan pengurusan kelas seperti melantik Ketua Kelas, mengatur jadual waktu bertugas, kebersihan, alat tulis, perhiasan kelas, serta kelengkapan kelas untuk kemudahan murid-murid.
Guru Kelas juga bertanggungjawab terhadap disiplin murid dalam kelasnya dan menanamkan nilai-nilai murni seperti rajin, tekun, berdedikasi, berusaha dengan gigih dan sebagainya. Guru juga bertanggungjawab menjaga kebajikan murid-muridnya. Murid-murid yang kurang berkemampuan diutamakan untuk menerima Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) serta layak menerima Rancangan Makanan Tambahan (RMT). Dalam meningkatkan prestasi murid-murid, banyak program yang boleh dirancang oleh pihak sekolah seperti G-BUDDY, untuk murid-murid Tahun 6, kelas tambahan bagi murid-murid Tahap 2 dan sebagainya.
1 comments:
Mana penutupnya...
Post a Comment