Faktor dalam perkembangan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).
Seperti yang diketahui umum, fungsi asas falsafah pendidikan ialah memberi panduan atau haluan kepada pakar pendidikan untuk merancang atau mereformasikan sistem pendidikan berlandaskan idea, konsep dan matlamat pendidikan negara. Sehubungan ini, Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) adalah digubal secara rapi dan teliti oleh pakar-pakar pendidikan dengan mengambil kira aspek-aspek yang berkaitan dengan keperluan individu, masyarakat dan negara.
Maka, dalam usaha menggubal Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), faktor-faktor yang berkaitan hendaklah dipertimbangkan terlebih dahulu. Di antara faktor-faktor yang mempengaruhi pertimbangan asas semasa menggubal Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) ialah:
Jika dirujuk semula terhadap Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), kita dapat mengkajinya dengan lebih lanjut. Definisinya adalah seperti:
“Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dnn segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serrta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.”
Dari segi faktor agama, Agama Islam ialah agama rasmi bagi negara Malaysia tetapi agama lain juga bebas dianuti mengikut undang-undang negara. Dalam agama-agama ini, khasnya agama Islam merupakan faktor- faktor yang penting sebagai pertimbangan asas dalam proses penggubalan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Unsur agama ini dapat dihayati daripada pernyataannya, laitu: “menwujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.”
Manakala dalam faktor sosial pula, masyarakat Malaysia terdiri daripada berbilang kaum. Seperti yang diketahui, keharmonian dan kemakmuran negara adalah bergantung kepada amalan sikap toleransi, bekerjasama dan hormat-menghormati antara satu sama lain. Sikap yang positif ini adalah amat penting dalam usaha mencapai perpaduan yang merupakan kriteria yang paling penting untuk mewujudkan keadaan sosial yang stabil. Tujuan mencapai perpaduan kaum telah menjadi salah satu matlamat pendidikan yang dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, iaitu: “.....melahirkan rakyat Malaysia..... memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.”
Dari segi politik pula, sebagaimana yang diketahui umum, Falsafah Pendidikan Kebangsaan digubah berlandaskan kepada ideologi negara yang dicerminkan dalam dokumen-dokumen rasmi seperti Laporan Pendidikan, Rancangan Malaysia dan Rukun Negara. Di dalam usaha membentuk ideologi negara, pengaruh politik memainkan peranan penting dalam penentuan dasar pendidikan negara. Sehubungan ini, matlamat pencapaian perpaduan kaum menjadi pertimbangan asas dalam penggubalan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Matlamat ini dapat diperlihatkan daripada pernyataan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, sebagaimana yang telah dihuraikan dalam pengaruh faktor sosial tersebut di atas.
Dalam aspek ekonomi, rakyat Malaysia yang terlatih dalam pelbagai kemahiran dapat membantu negara memperkembang ekonomi dengan meningkatkan daya pengeluarannya. Tujuan ini dapat dicapai dengan melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, bertanggungjawab dan berupayaan memberi sumbangan terhadap kemakmuran negara. Cita-cita memperkembang ekonomi Malaysia telah menjadi salah satu matlamat pendidika negara yang dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Seterusnya, faktor individu seperti potensi individu dapat dikembangkan melalui proses pendidikan. Potensi individu ini meliputi aspek-aspek intelek rohani, emosi dan jasmani. Perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu akan menjadi insan yang seimbang dan harmonis. Insan yang seimbang dan harmonis sentiasa mengamalkan sikap bersyukur, sentiasa menikmati ketenteraman jiwa serta bersedia mengnadapi cabaran hidup dengan tenang. Cita-cita melahirkan individu yang seimbang dan harmonis merupakan pernyataan utama dalam kandungan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Akhir sekali, dalam faktor sejagat, penggubalan Falsafah Pendidikan Kebangsaan pula tidak terpisah daripada pengaruh perkembangan sistem pendidikan antarabangsa. Sehubungan ini, idea-idea yang dihasilkan daripada seminar pendidikan antarabangsa pula membawa pengaruhnya ke atas Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Misalnya, program pendemokrasian pendidikan, pensarwajagatan pendidikan dan pendidikan seumur hidup dirancangkan oleh UNESCO dalam tahun 1980-an telah dimanifestikan dalam pernyataan Falsafah Pendidikan Kebangsaan sebagai “Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan…” Ini jelaslah mencerminkan konsep pendidikan seumur hidup.
Kesimpulannya, perkembangan, kemajuan serta pembangunan negara Malaysia bergantung kepada kerjasama negara-negara antarabangsa. Malaysia sejak awal pembentukannya pernah memainkan peranannya di arena antarabangsa dalam usaha menjamin keamanan, keadilan dan kesejahteraan untuk negara sendiri dan sejagat. Usaha kerjasama sejagat ini akan terus dipikul oleh generasi-generasi mendatang. Sehubungan ini, program pendidikan negara hendaklah merangkumi aspek sejagat yang boleh melahirkan warganegara yang berilmu pengetahuan, berketrampilan dan berakhlak mulia, bukan sahaja berupaya berkhidmat dan memberi sumbangan kepada negara, tetapi juga berupaya memberi jasa ke arah kemajuan, keamanan dan kestabilan antarabangsa.
0 comments:
Post a Comment