My ads

Wednesday, November 17, 2010

Hutan Paya Bakau

Hutan Paya Bakau

Keadaan Fizikal Hutan Bakau

Kawasan hutan paya bakau mempunyai pergerakan air yang perlahan. Pergerakan air yang perlahan ini membenarkan partikel sedimen yang halus untuk termendak dan berkumpul di dasarnya. Akibatnya, kawasan hutan paya bakau pada kebiasaannya berlumpur.

Pergerakan air yang perlahan ini seterusnya diperlahankan lagi oleh kehadiran pokok-pokok bakau yang hidup padat. Kebanyakan pokok-pokok bakau mempunyai akar-akar sokong yang menjalar turun dari batang pokok utama. Sistem akar yang tebal lagi berserabut ini mampu mengurangkan pergerakan air sehingga membenarkan partikel yang paling halus termendak di sekeliling akar bakau. Hasil pergerakan yang perlahan ini, maka kadar pengumpulan sedimen adalah tinggi di persekitaran kawasan hutan bakau. 

Akibat daripada kegiatan pemerangkapan sedimen, hutan paya bakau berkeupayaan untuk menebus guna tanah dan menghasilkan pantai  baru.


Pengzonan

Untuk kebanyakan tempat, terdapat satu bentuk penzonan tumbuhan bakau.  Walau bagaimanapun, susunan tumbuhan berbeza mengikut tempat.  Sesetengah spesies bakau gemar hidup hampir dengan pantai, pulau peminggir dan teluk terlindung. Spesies bakau yang lain pula gemar hidup di muara- muara atau menduduki tebing-tebing sungai jauh ke daratan.

Di sesetengah tempat, penzonan tidak begitu nyata disebabkan zon tertentu diwakili oleh beberapa individu sahaja. Penzonan juga boleh diganggu oleh keadaan setempat seperti proses sejatan air. Proses sejatan menjadikan air laut menjadi terlalu masin (hipersaliniti) dan ini sudah tentu membunuh pokok bakau dan meninggalkan satu kawasan lapang. Perkembangan hutan bakau yang baik boleh ditemui di kawasan yang mempunyai hujan yang tinggi ataupun di kawasan yang air sungainya mencukupi untuk menghapuskan kesan hipersaliniti.

Penzonan juga bergantung pada pasang surut air laut. Apabila julat pasang surut kecil, zon intertidal juga turut kecil dan seterusnya membataskan kewujudan hutan bakau. Hutan bakau berkembang baik di kawasan pantai yang mempunyai kawasan intertidal yang luas.

Rajah 10 : Taburan pokok bakau di suatu pantai

Di negara-negara yang menghadap laut Pasifik, bahagian tepi laut selalunya dipenuhi oleh satu atau beberapa spesies Avicennia. Zon Avicennia ini biasanya sempit disebabkan anak benih Avicennia tidak boleh hidup dengan baik di kawasan pedalaman yang redup atau di kawasan kadar pemendakan yang tinggi.

Di belakang zon Avicennia adalah zon Rhizophora yang luas. Rhizophora merupakan tumbuhan yang tinggi dan mempunyai akar sokong yang melengkung dan bersimpang siur. Keadaan ini menjadikan kawasan bakau sukar dimasuki oleh manusia.

Zon seterusnya ialah zon Bruguiera. Tumbuhan bakau dari genus Bruguiera ini hidup di tanah liat. Pada amnya, tumbuhan bakau dari genus Ceriops hidup bersama-sama di zon ini. Ceriops adalah tumbuhan shrub yang bersaiz kecil.

Flora di Hutan Bakau
Di dunia, terdapat lebih kurang 80 spesies pokok bakau. Namun sekitar 60 spesies yang utama dalam pembentukan hutan bakau. Dianggarkan 2/3 daripada keseluruhan spesies bakau boleh ditemui di Asia Tenggara dan Indonesia manakala di Afrika dan Amerika Utara terdapat 15 dan 10 spesies bakau masing-masing. Genus-genus bakau yang dominan termasuklah genus Rhizophora, Avicennia, Bruguiera, Laguncularia, Conocarpus, Ceriops dan Sonneratia. Berikut merupakan antara pokok-pokok bakau yang boleh dijumpai di kawasan paya bakau Malaysia:


Acanthus ilicifolius
Excoecaria agallocha
Acrostichum aureum
Heritiera littoralis
Aegiceras corniculatum
Hibiscus tiliaceus
Avicennia alba
Kandelia candel
Avicennia lanata
Lumnitzera littorea
Avicennia marina
Lumnitzera racemosa
Avicennia officinalis
Nypa fruticans
Brownlowia lanceolata
Oncosperma horrida
Brownlowia riedelii
Rhizophora apiculata
Bruguiera cylindrica
Rhizophora mucronata
Bruguiera gymnorrhiza
Rhizophora stylosa
Bruguiera parviflora
Scyphiphora hydrophyllacea
Calophyllum inophyllum
Sonneratia alba
Cerbera manghas
Sonneratia caseolaris
Ceriops decandra
Sonneratia ovata
Ceriops tagal
Terminalia catappa
Cynometra iripa
Xylocarpus granatum
Cynometra ramiflora
Xylocarpus moluccensis
Derris heterophylla


Jadual 4 : Pokok-pokok bakau di kawasan paya bakau Malaysia


Kewujudan hutan bakau dipengaruhi oleh beberapa faktor persekitaran seperti aras laut, suhu air, saliniti, arus, ribut, kecerunan pantai dan substrat dasaran. Kebanyakan bakau hidup di dasaran berselut. Namun terdapat juga bakau yang hidup di dasaran pasir, gambut atau batu karang.

Semua tumbuhan bakau adalah tumbuhan halofit iaitu tumbuhan yang mempunyai kebolehan untuk hidup di tanah yang kandungan garamnya tinggi.  Namun, setiap spesies memperlihatkan pendekatan yang berbeza untuk menyelesaikan masalah saliniti dan tanah yang bergenang. Untuk menyelesaikan masalah imbangan osmosis, daun Avicennia mempunyai kelenjar garam yang merembeskan garam berlebihan. Untuk Rhizophora pula, garam dirembeskan keluar dengan mengekalkan tekanan hidrostatik negatif dalam xilem. Tekanan ini diwujudkan oleh tekanan osmosis yang cukup tinggi di daun. Selain itu, kebanyakan tumbuhan bakau mempunyai daun yang liat dan sukulen. Daun-daun ini mempunyai tisu dalaman untuk menyimpan air agar dapat mengimbangi tekanan osmosis dalamannya.

Proses pengudaraan di kawasan air bergenang dilakukan dengan dua cara.  Avicennia menghasilkan pneumatofor, iaitu unjuran pendek yang muncul di permukaan tanah. Dengan akar ini, udara boleh masuk ke bahagian bawah tanah. Untuk Rhizophora pula, tumbuhan ini menghasilkan akar sokong di sekeliling batang pokok utama. Akar-akar sokong ini mempunyai lubang udara ataupun yang dikenali sebagai lentisel. Melalui lubang-lubang ini, oksigen menyerap masuk ke dalam tumbuhan dan seterusnya disalurkan ke akar bawah tanah melalui tisu ruang udara di korteks yang dikenali sebagai aerenkima. Lentisel-lentisel ini tidak aktif semasa air laut pasang.

Sesetengah bakau seperti Bruguiera dan Rhizophora memperlihatkan cara percambahan dan penyebaran biji yang aneh yang dikenali sebagai vivipari.  Semasa masih berada di tumbuhan induk lagi, biji telah bercambah dan mula membesar menjadi anak benih. Pada masa ini, anak benih mula memanjang dan mendapat makanan dari pokok induk. Semasa peringkat ini juga, anak benih mengumpul karbohidrat dan sebatian lain yang diperlukan untuk pertumbuhan selanjutnya.  

Akibat daripada pertumbuhan yang berbeza, bahagian hujung anak benih menjadi lebih berat. Akhirnya, anak benih ini akan gugur ke air. Disebabkan taburan berat yang berbeza, anak benih ini akan terapung tegak di dalam air. Anak benih ini kemudiannya dibawa oleh arus ke kawasan cetek dan seterusnya bersentuhan dengan bahagian dasaran. Di kawasan cetek ini, anak benih mula mengeluarkan akar dan membesar.  

Satu lagi adaptasi istimewa yang ditunjukkan oleh beberapa spesies bakau ialah penyebaran propagul. Propagul yang tergantung di dahan-dahan akan jatuh ke tanah dan akhirnya akan tumbuh berhampiran dengan tumbuhan induk. Ada juga propagul yang dibawa oleh arus ke tempat yang jauh. Bergantung pada spesies, propagul ini boleh hidup lama. Vivipari dan propagul yang mempunyai hayat panjang merupakan satu strategi yang cukup berkesan untuk tumbuhan bakau menyebarkan spesiesnya.


Fauna di Hutan Paya Bakau

Komuniti bakau adalah unik. Kedua-dua hidupan daratan dan marin boleh ditemui hidup di sebatang pokok bakau. Organisma daratan menduduki bahagian atas pokok bakau manakala pangkal tumbuhan tersebut membentuk habitat untuk hidupan marin. Menurut Salim (1986), hutan paya bakau mempunyai pelbagai fungsi dan fungsi ini yang paling menonjol dan tidak dapat digantikan oleh ekosistem lain adalah kedudukan hutan paya bakau sebagai mata rantai yang menghubungkan kehidupan ekosistem marin dengan ekosistem daratan.

Organisma daratan tidak memperlihatkan adaptasi yang khas untuk hidup di kawasan hutan bakau. Ini adalah disebabkan organisma-organisma ini hidup di bahagian atas tumbuhan bakau. Organisma marin pula boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu organisma yang menduduki substrat keras seperti akar sokong pokok bakau dan organisma yang mendiami zon berlumpur.  Kumpulan haiwan marin yang dominan di hutan bakau ialah moluska, beberapa jenis krustasea dan ikan-ikan yang aneh.

Kumpulan moluska diwakili oleh beberapa kumpulan siput. Satu kumpulan siput (Littorinidae) biasanya hidup di akar dan batang pokok bakau manakala satu lagi kumpulan (Ellobiidae dan Potamididae) hidup di lumpur berhampiran dengan pangkal akar pokok bakau. Kumpulan kedua ini adalah pemakan detritus. 

Di hutan bakau moluska daripada kumpulan dwiinjap turut ditemui. Haiwan dwiinjap yang dominan ialah tiram yang hidup melekat pada akar pokok bakau.  Tiram membentuk biojisim yang besar di hutan bakau.

Hutan bakau juga didiami oleh pelbagai jenis ketam dan udang yang berbagai-bagai saiz. Haiwan-haiwan ini membuat lubang di dasaran lembut.  Ketam-ketam yang boleh ditemui termasuklah ketam fiddler (Cardisoma), ketam hantu (Dotilla, Cleistostoma) dan ketam daripada genus Uca.   Ketam- ketam ini pada kebiasaannya mempunyai kemampuan untuk memakan partikel detritus yang terdapat di atas lumpur. Pada amnya, ketam-ketam ini mengasingkan partikel detritus organik daripada bahan bukan organik dengan menapis substrat melalui satu set rambut halus yang terdapat di bahagian mulut.

Kegiatan membuat lubang oleh ketam-ketam ini mempunyai beberapa fungsi.  Lubang-lubang ini merupakan tempat persembunyian daripada pemangsa, tempat membiak dan tempat mencari makanan. Di samping itu, kehadiran lubang-lubang ini turut membantu komuniti hutan bakau yang lain dengan membenarkan oksigen memasuki jauh ke dalam lumpur. Sedikit sebanyak, kehadiran lubang-lubang ini dapat mengurangkan keadaan anoksik yang wujud di hutan bakau.

Kawasan bakau juga merupakan kawasan pembiakan untuk udang penaeid dan ikan seperti ikan belanak. Haiwan-haiwan ini menghabiskan usia muda mereka di hutan bakau sebelum berpindah ke laut lepas.

Haiwan yang paling nyata di hutan bakau ialah ikan belacak atau ikan tembakul. Ikan daripada genus Periophthalmus ini mempunyai mata yang besar. Ikan ini cukup menakjubkan kerana ikan ini menghabiskan masanya di luar air, merangkak di atas dataran lumpur ataupun memanjat akar pokok bakau. Selain daripada mempunyai insang, ikan ini dilengkapi dengan organ pernafasan yang membenarkan ikan ini bernafas di daratan. Pernafasan juga boleh dilakukan melalui kulit, sama seperti yang dilakukan oleh katak. 

Sirip pektoral ikan belacak tidak digunakan untuk berenang tetapi digunakan sebagai “sepasang kaki”. Dengan menggunakan sirip yang kuat ini, ikan ini kelihatan seolah-olah berjalan. Ikan ini membuat lubang dalam lumpur untuk melindungi diri daripada musuh dan juga sebagai tempat pembiakan. Selain daripada keganjilan ikan ini merangkak di dataran lumpur, ikan ini memperlihatkan satu lagi keanehan dari segi kedudukan matanya. Matanya diletakkan jauh di atas kepala dan diatur sedemikian rupa agar mata-mata ini boleh melihat objek di udara, bukan objek dalam air. Bila berenang, mata ini tersembul keluar dari permukaan dan ikan ini kelihatan seperti seekor katak.

Selain organisma daratan dan organisma akuatik yang dikatakan, haiwan yang paling menarik di kawasan bakau dan dataran lumpur berhampirannya ialah spesies burung air dan burung pantai. Burung-burung ini memakan pelbagai jenis makanan, termasuklah plankton , tumbuh- tumbuhan air, cacing, krustasia, moluska dan ikan. Burung-burung ini mempunyai ciri-ciri penyesuaian khas yang merangkumi saiz dan bentuk paruh, leher, kaki dan kibaran sayap yang disesuaikan dengan tabiat pemakanan yang tertentu. Antara burung yang berterbangan di hutan bakau ialah burung bangau (burung bangau kecil dan burung bangau putih besar), burung pucung (burung pucung keladi dan burung pucung seriap), burung botak upeh, burung helang merah, burung helang siput, burung pacat bakau, burung murai bakau, burung sambar biru bakau, dan burung pekaka sungai.


Kepentingan Hutan Bakau

Hutan bakau penting untuk ekosistem pantai. Detritus hutan bakau yang terdiri daripada daun-daun yang gugur dan dahan-dahan pokok bakau, menyumbangkan  nutrien untuk persekitaran marin. Detritus ini turut menjadi asas makanan dalam jaringan makanan di hutan bakau yang menyokong pelbagai jenis hidupan laut yang melibatkan spesies pemakan detritus seperti ikan belanak dan udang penaeid. 

Selain daripada peranannya sebagai asas makanan, hutan bakau juga merupakan habitat dan kawasan pembiakan untuk ikan-ikan kecil, ketam, udang dan moluska. Banyak ikan dan kerang-kerangan yang bernilai komersial menggunakan hutan bakau dalam sebahagian kitar hidupnya. Ini termasuklah udang putih (Penaeus merguiensis, P. indicus, P. vannemei),  ikan kerapu (Epinephelus tauvina), ikan siakap (Lates calcarifer), ketam lumpur (Scylla serrata) dan belanak (Mugil spp.). 

Kawasan ini juga digunakan oleh beratus jenis burung berhijrah untuk bertelur dan berehat. Di samping itu, dugong, monyet pemakan ketam, biawak dan penyu turut menggunakan kawasan ini untuk mencari makanan. Hutan bakau turut menjadi habitat untuk beberapa spesies haiwan yang diancam kepupusan seperti harimau.

Hutan bakau memainkan peranan penting dalam melindungi kawasan pantai dari daya-daya hakisan dan kerosakan akibat bencana ribut taufan.  Kehadiran satu kawasan bakau yang luas di tepi laut dapat mengurangkan tenaga angin, ombak dan arus. 

Kepentingan hutan bakau kepada masyarakat yang tinggal di kawasan bakau cukup dirasai. Bertindak sebagai satu zon penampan kepada ribut, kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa akibat dari bencana semulajadi ini dapat dikurangkan. Di kawasan yang hutan bakaunya telah ditebang, kemusnahan harta benda akibat ribut adalah tinggi. Di samping itu, masalah hakisan dan pemendakan yang teruk turut berlaku.

Melalui sistem akar yang cetek, bakau mempunyai keupayaan untuk memerangkap dan menstabilkan sedimen pantai dan muara. Hutan bakau sangat berkesan memerangkap sedimen sehingga berjaya menebus guna tanah dari laut dengan membentuk satu kawasan delta yang luas. Pemendakan sedimen di kawasan bakau boleh mengurangkan beban sedimen yang dibawa oleh sungai ke laut. Dengan terperangkapnya sedimen di kawasan hutan bakau, kualiti air di persekitaran pantai dapat diperbaiki dan habitat sensitif seperti kawasan terumbu batu karang dapat dilindungi.

Hutan bakau bersama-sama substrat selutnya mampu menyerap nutrien seperti nitrogen dan fosforus dalam kuantiti yang besar. Keupayaan merawat efluen ini dapat menghalang perairan pantai daripada dicemari oleh nutrien- nutrien ini. Secara tidak langsung, kejadian eutrofikasi dan ombak merah sedikit sebanyak boleh dihindari. Selain daripada itu, bahan-bahan toksin turut juga dikekalkan dalam kawasan bakau. Dianggarkan Rhizophora boleh menyerap lebih kurang 219 kg nitrogen dan 20 kg fosforus sehektar setahun.

Di samping itu, kuantiti besar bahan organik (terutamanya dalam bentuk daun dan ranting) dieksport dari kawasan bakau ke kawasan pantai yang berdekatan. Bahan organik ini menjadi sumber makanan untuk pelbagai jenis spesies hidupan di pantai.  

Pada masa sekarang, berjuta-juta penduduk pantai terutamanya di Asia bergantung kepada hutan bakau untuk kehidupan sehari-hari. Pelbagai produk bakau telah digunakan oleh masyarakat tempatan sejak turun temurun.   Banyak kegiatan-kegiatan tradisi seperti mengumpul daun nipah untuk membuat atap, mengumpulkan kulit kerang untuk menghasilkan kapur dan mengumpul madu lebah masih diteruskan oleh generasi sekarang. Kulit bakau juga menjadi pelampung yang tidak memerlukan nelayan untuk memakai jaket keselamatan.

Ekosistem bakau telah digunakan oleh masyarakat tempatan untuk mendapatkan makanan, ubatan, tanin dan hasil hutan (bahan api, arang dan bahan binaan). Di Bangladesh hutan bakau merupakan sumber kayu yang terpenting.  Hasil kayu daripada hutan bakau di negara ini telah melebihi 300,000 padu meter setiap tahun. Di tempat lain, kayu bakau digunakan sebagai bahan api (terutama dalam bentuk arang). Kayu dari pokok Rhizophora didapati sesuai dijadikan arang memandangkan sifat kayunya yang lambat terbakar.

Kulit kayu bakau terutamanya Rhizophora juga boleh digunakan untuk mendapatkan tanin. Tanin telah digunakan di India dan Bangladesh secara meluas untuk mengawet kulit dan jaring-jaring menangkap ikan serta mewarnakan kain layar dan pelekat plastik. Di Asia Tengah dan Asia Selatan, daun pokok Avicennia dikumpulkan untuk menjadi makanan haiwan.

Masyarakat berdekatan juga bergantung padaa bakau untuk mendapatkan sumber ubatan. Rhizophora mucronata dan Sonneratia alba misalnya telah digunakan sebagai sumber ubat untuk penyakit cirit  birit, bahan astringen dan ubat tahan muntah.


Ancaman Kemusnahan

Pada masa sekarang, hutan bakau merupakan habitat di dunia yang paling terancam. Hutan ini lenyap  pada kadar yang tinggi tetapi tidak diketahui umum. Thailand telah hilang lebih daripada setengah hutan bakaunya semenjak 1960. Di Filipina pula, keluasan hutan bakau telah menurun daripada 448,000 hektar pada tahun 1920 ke 110,000 hektar pada tahun 1990.  Di Ecuador, dianggarkan 20% ke 50% bakau telah lenyap dari muka bumi disebabkan oleh kegiatan manusia. Kawasan Muisne di Ecuador telah hilang hampir 90% hutan bakaunya. Secara sejagat, lebih kurang 50% kemusnahan bakau sejak kebelakangan ini diakibatkan oleh pembersihan hutan bakau untuk tujuan menternak udang.

4 comments:

yana said...

ermmm...contoh lokasi lokasi hutan paya bakau mana erk???

tree builder said...

xda maklumat ttg tu.... cari kat website lain... thanks

Snowymelt said...

terima kasih atas maklumat yang amat berguna yang diberikan. Maklumat ini amat berguna kepada saya bagi melaksanakan projek kerja kursus georafi yang berkenaan dengan pokok bakau.~

Anonymous said...

ada tak maklumat tentang ciri penyesuaian haiwan di hutan paya air masin? penat lah cari tak jumpa :)

Post a Comment