My ads

Wednesday, November 17, 2010

EKOSISTEM - HUTAN HUJAN TROPIKA TANAH PAMAH

EKOSISTEM - HUTAN HUJAN TROPIKA TANAH PAMAH

Pengenalan

Istilah hutan merujuk kepada suatu formasi yang dikuasai oleh pokok. Biasanya perkataan "hutan" merujuk kepada tiga konsep yang berlainan. Yang pertama, dirian pokok atau tumbuh-tumbuhan yang merupai pokok. Yang kedua, seluruh komuniti tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang dikuasai oleh pokok. Yang ketiga, seluruh sistem komuniti yang dikuasai oleh pokok yang berfungsi, termasuk substrat abiotik dan persekitaran atmosferanya.

Hutan hujan tropika tanah pamah adalah kawasan hutan yang berada dari ketinggian 0 m paras laut sehingga ke ketinggian 300 m dari paras laut. Iklimnya adalah panas dan lembab sepanjang tahun dan menerima hujan sepanjang tahun. Suhu di hutan hujan tropika tanah pamah adalah tinggi iaitu antara 30°C hingga 35°C sepanjang tahun. Turun naik suhu bergantung kepada siang atau malam di mana ia boleh turun naik sebanyak 3°C. Hutan hujan tropika tanah pamah terletak di kawasan sekitar garisan Khatulistiwa di bumi. Oleh itu, ia tidak mempunyai musim-musim panas, dingin, luruh ataupun bunga. Contoh negara yang mempunyai hutan hujan tropika tanah pamah ialah Afrika, Latin Amerika, Amerika Selatan, Indo-Australia dan Asia Selatan, Malaysia dan lain-lain.

Hutan hujan tropika tanah pamah merupakan hutan yang mempunyai banyak komuniti hutan. Haiwan-haiwan yang terdapat di sini mempunyai corak adaptasi kepada cuaca yang panas dan lembab. Tumbuhan yang padat di hutan mempunyai adaptasi terhadap kelembapan yang tinggi. Hutan seperti ini terbentang luas dan mempunyai saliran yang baik.


Flora di Hutan Hujan Tropika Tanah Pamah

Dari aspek tumbuh-tumbuhan, kepelbagaian spesis yang ada tidak boleh diragui di hutan hujan tropika tanah pamah ini. Hutan jenis ini mempunyai hasil-hasil hutan yang mempunyai nilai ekonomi yang tinggi. Di sini terdapat pelbagai pokok-pokok contohnya meranti, tualang, cengal, belian, pokok-pokok palma, buluh, orkid, paku-pakis, rumput, cendawan, kulat, keruing dan sebagainya.

Ciri-ciri hutan hujan tropika tanah pamah adalah hutan ini tebal dan padat. Ia sentiasa malar hujau dan mempunyai pepohon yang berdaun besar dan lebar. Pokok-pokok di hutan seperti ini tumbuh lurus dan tinggi dan pelbagai spesis pokok boleh dijumpai. Pokok-pokok tumbuh secara berlapis-lapis dan kebanyakannya mempunyai akar banir. Pokok-pokok di kawasan ini membentuk sudur yang tebal dan mempunyai tumbuhan bawahan atau renek yang kurang berbanding dengan hutan pergunungan. Struktur hutan hujan tropika tanah pamah lazimnya terdiri daripada dua peringkat pokok-pokok dan tumbuhan renek yang turut berinteraksi dengan lain-lain bentuk tumbuhan. Bentuk-bentuk tumbuhan hutan hujan tropika tanah pamah termasuklah;

a) Pokok-pokok - Meliputi kanopi, susunan daun, mata daun, banir, bentuk batang dan percabangan
b) Pepanjat/Liana - Di antara struktur dan cara memanjat yang biasa ialah membelit (pepanjat menyangga dengan cara membelit batang menghala ke arah pucuk dan dahan pokok sokongannya seperti mengkudu), sulur-paut (contoh mentimun, labu dll.), organ cangkok (Akar kait) dan duri (Capparis diffusa)
c) Belukar/Renek - Tumbuhan yang berkayu yang tidak mempunyai batang utama untuk menyokong daun. Ia mengeluarkan banyak batang yang bersaiz kecil dan berkongsi dedaun.
d) Epifit    - Pokok penumpang
e) Palma  - Tumbuhan yang mempunyai batang yang tidak berdahan
f) Herba    - Tumbuhan yang tidak berkayu, contohnya keladi, orkid, pisang  dsb.

Hutan hujan tropika tanah pamah di Malaysia boleh dibahagikan kepada dua kelas iaitu hutan-campuran (mixed forest) dan hutan dominan tunggal (single-dominant forest). Hutan campuran seperti hutan Dipterokarpa tanah pamah terdiri daripada berbagai-bagai famili tumbuhan manakala hutan dominan tunggal dapat dilihat pada jenis hutan dominan tunggal spesies kapur ( Dryobalanops aromatica ).


Fauna Di Hutan Hujan Tropika Tanah Pamah

Hutan hujan tropika tanah pamah juga merupakan ekosistem bagi pelbagai jenis hidupan liar termasuklah mamalia, reptilia, ikan, burung dan amfibia. Dari aspek kepelbagaian haiwan, hutan hujan tropika tanah pamah merupakan ekosistem bagi orang utan, badak sumbu, ular-ular, burung-burung, musang, gajah, harimau bintang, kera dan monyet, bayan, pelbagai spesis serangga, tupai, tokek dan lain-lain lagi.

Pada bahagian yang berlainan, tinggalnya haiwan-haiwan yang berlainan. Haiwan-haiwan ini menjalankan aktivitinya pada waktu yang berlainan juga.


Tidak boleh dinafikan bahawa haiwan memainkan peranan yang penting di dalam kitaran hidup tumbuh dan di dalam menjaga keseimbangan dan perkembangan hutan hujan tropika. Haiwan sebagai pemangsa, agen pendebungaan dan penyebar biji benih telah merangsang perkembangan spesis di antara tumbuhan hutan hujan tropika dan membantu di dalam kitaran nutrien dan menolong mengawal kepadatan spesis di dalam hutan.

Satu contoh hubungan yang menguntungkan tumbuhan dan haiwan boleh dilihat dari spesis pokok Macaranga di mana ia membentuk nodul yang membolehkan semut, Crematogaster borneensis, hidup di dalamnya dan merupakan sumber pertahanan bagi spesis pokok ini daripada dimakan haiwan lain. Semut ini memakan manisan yang dikeluarkan oleh spesis pokok ini.

Tumbuhan lain membentuk kompoun sekunder seperti gum, resin dan getah, tannin dan fenol pada daun-daun dan buahnya untuk menghalang haiwan- haiwan daripada memakannya. Pengkhususan sesuatu spesis haiwan untuk mengatasi masalah ini dapat mengurangkan persaingan untuk sumber makanan.

Proses pendebungaan oleh haiwan adalah tidak sengaja kerana haiwan ini adalah tertarik kepada manisan dan bunga yang bernutrien tinggi yang dikeluarkan oleh tumbuh-tumbuhan hutan ini. Kebiasaannya pollen bunga tumbuhan akan melekat pada badan haiwan dan dipindahkan kepada bunga yang lain apabila haiwan itu beralih kepada bunga yang lain. Tumbuh-tumbuhan yang ada telah mengadaptasikan dirinya untuk menarik agen pendebungaan yang berlainan. Contohnya kupu-kupu “hawk” yang terbang di waktu malam lebih suka kepada bunga putih yang mempunyai bau yang kuat. Rama-rama yang terbang di waktu siang hari menjadi agen pendebungaan bagi spesis tumbuhan yang mempunyai bunga yang berwarna-warni dan kurang baunya dan berbentuk seperti trumpet.

Kumbang pula mendebungakan spesis yang mempunyai bunga yang lebih mudah, terbuka dan proses ini berlaku apabila kumbang masuk untuk memakan manisan. Kumbang dan lalat menjadi agen pendebunga bagi bunga Rafflesia yang mempunyai bau bangkai atau bahan buangan.

Lebah pula adalah tertarik kepada bunga yang berwarna biru dan kuning manakala burung lebih suka bunga berwarna merah jingga dan kuning yang mungkin tidak berbau langsung. Kelawar adalah agen pendebungaan yang penting di kawasan hutan hujan tropika di Asia. Kelawar memakan manisan yang dijumpai pada bunga yang terbuka di waktu malam di mana bunga tersebut biasanya putih dan besar ataupun berwarna kehijauan atau kecoklatan dengan bau yang kuat, contohnya bunga pokok-pokok durian. Kebanyakan spesis pokok ficus di kawasan tanah pamah tropika mempunyai agen pendebunganya iaitu semut yang khas kepadanya.

            Dengan proses pendebungaan dan persenyawaan biji benih tidak akan memastikan keupayaan untuk terus hidup. Biji benih ini harus membesar dan disebarkan. Kejayaan biji benih baru untuk hidup bergantung kepada di mana ia dijatuhkan. Di dalam hutan hujan tropika terdapat dua agen penyebaran iaitu haiwan dan angin. Spesis yang agen penyebarannya adalah adalah angin terdiri daripada epifit, orkid dan dipterocarp. Spesis tumbuhan ini kebiasaanya jatuh dalam jarak 10-20 m daripada ibunya. Bagi spesis yang penyebarnya adalah haiwan, ia membentuk buah yang besar yang membekalkan makanan kepada anak benih. Dengan tidak sengaja, buah ini juga disukai oleh haiwan lain di mana ia tertarik dengan warna, isi buah dan bau biji yang tahan kepada sistem pencernaan haiwan ini.

Spesis yang disebarkan oleh kelawar biasanya berwarna kuning atau coklat dengan bau yang kuat. Kelawar akan mengambil buah ini dan memakan isinya dan membuang biji selepas dimakan. Contoh tumbuhan yang disebarkan adalah seperti buah mangga. Spesis yang lain termasuklah Annona, Artocarpus, Spondias, Baccaurea, Diospyros, Dracontomelum, Lansium, Mammea, Mangifera dan Musa (van der Pijl, 1957). Kebanyakan spesis ini juga dimakan oleh manusia dan primat.

Burung menyebarkan tumbuhan yang mempunyai buah yang mempunyai warna yang terang seperti warna merah, kuning, hitam, ungu ataupun biru dan biasanya berkilat. Spesis tumbuhan adalah dari kumpulan Lauraceae, Burseraceae dan Myristicaceae. Bagi mamalia seperti monyet dan kera, buah-buahan seperti manggis, rambutan dan durian biasanya disebarkan.


Kepentingan Hutan Hujan Tanah Pamah Tropika

Hutan hujan tropika adalah satu khazanah yang berharga kepada semua orang di bumi ini tidak kira di mananya kita tinggal. Hutan memainkan peranan yang penting dalam menjaga nilai kehidupan alam sejagat. Hutan penting bukan sahaja sebagai tanah ladang yang berpotensi tetapi sebagai simpanan balak yang boleh dieksploitasi, sebagai sumber spesimen biologi yang baharu dan sebagai habitat bagi berbagai variasi flora dan fauna.

Hutan hujan tropika meliputi hanya 12% daripada jumlah kawasan dunia. Namun demikian ia adalah habitat semulajadi kepada hampir 50% hingga 90% spesies tumbuh-tumbuhan, haiwan dan serangga yang terdapat di dunia. Satu hektar tanah hutan hujan tropika di Malaysia mengandungi lebih daripada 180 jenis pokok. Di Semenanjung Malaysia, terdapat lebih daripada 8000 spesies tumbuhan berbunga, 200 spesies mamalia, 600 spesies burung, 115 spesies ular, 80 spesies cicak dan 100 spesies serangga telah direkodkan. Di Sarawak pula, 70% daripada kawasannya adalah diliputi oleh hutan hujan tropika. Ia menempatkan lebih daripada 8000 spesies flora dan 20000 spesies fauna. Hutan membekalkan makanan secara langsung atau tidak langsung kepada haiwan yang memakan buah-buahan, bijian, putik bunga, pucuk daun dan bahagian pokok lain. Selain itu, ia juga adalah satu habitat yang sesuai kepada burung-burung yang datang semasa musim sejuk.

Hutan hujan tanah pamah secara keseluruhan menjalankan peranan menstabilkan suhu persekitaran dan juga memendapkan gas karbon dioksida yang dikeluarkan oleh haiwan-haiwan hidup semasa bernafas dan juga daripada aktiviti-aktiviti manusia iaitu sektor industri perkilangan, pengangkutan dan pertanian. Aktiviti menukar semula gas karbon dioksida kepada oksigen oleh hutan hujan tanah pamah dijalankan oleh kesemua tumbuhan di dalamnya. Proses ini digelar sebagai fotosintesis dan hanya berlaku di waktu siang hari.

Hutan juga bertindak sebagai penutup bumi semulajadi serta melindungi tanah-tanih daripada hakisan air dan angin. Pokok-pokok pula berfungsi sebagai pengikat dengan cara mencengkam tanah-tanih dengan akarnya. Kesemua ini dapat memelihara kualiti alam sekitar daripada dicemari dan mencegah kejadian-kejadian buruk seperti banjir kilat.

Hutan bertindak sebagai kawasan tadahan air dalam memelihara kualiti alam sekitar dengan menyerap dan menapis air hujan sebelum menyalurkannya ke sungai-sungai. Dengan itu, ia dapat memastikan bahawa bekalan air di negara kita tidak terputus sepanjang tahun.

Hutan hujan tanah pamah berperanan mengekalkan kepelbagaian ekologi di mana pelbagai jenis komuniti, struktur persekitaran dan bentuk tanah semulajadi dapat dikekalkan. Hutan seperti ini juga dapat mengekalkan rangkaian jenis-jenis hidupan haiwan dan tumbuhan di dalamnya dengan kepelbagaian genetiknya.

Hutan adalah sebagai tempat perlindungan semulajadi bagi orang-orang asli di kawasan pedalaman hutan. Mereka dapat menyara hidup mereka melalui sumber hutan sejak beribu-ribu tahun dahulu. Kegiatan seharian mereka amat bergantung kepada hutan. Mereka memburu bukan sahaja untuk mendapatkan sumber makanan tetapi untuk mendapatkan pakaian dan tempat perlindungan. Contohnya, kumpulan etnik Bidayuh di Sarawak. Hutan adalah sumber pendapatan seharian mereka. Kebanyakan barang keluaran hutan seperti herba, gum ( damar ), sarang burung dan keladi dikumpulkan oleh mereka untuk dijual di pasaran urban sebagai sumber tambahan pendapatan kepada mereka.

Hutan hujan tanah pamah turut menyumbang dari segi pembangunan luar bandar secara integrasi di mana pokok-pokok boleh digunakan untuk memulihkan semula tanah terbiar dan mempelbagaikan sistem pengeluaran melalui aktiviti “agroforestry”.

Sumber balak sebagai satu produk utama daripada hutan hujan tanah pamah yang tidak asing lagi. Hutan hujan tanah pamah boleh mengeluarkan sumber balak untuk kegunaan tempatan dan sebagai bahan ekspot jika ianya diurus dan dibalak secara mampan.

Hutan hujan tanah pamah juga mengeluarkan produk bukan balak iaitu rotan, kayu wangian seperti damar, resin, buah-buahan, madu, tumbuhan yang boleh dimakan manusia, bahan ubat-ubatan dan kompoun yang boleh digunakan di dalam penjagaan dan kecantikan muka. Sebuah kajian yang telah dijalankan di Indonesia menganggarkan hasil bukan balak pada tahun 1987 bernilai lebih daripada USD238 juta (Mackinnon et. al., 1996).

Hutan Hujan tanah pamah juga menampung kepelbagaian hidupan liar di mana sumber ikan dan haiwan lain merupakan sumber protein utama kepada penduduk yang hidup berdekatan dengan hutan. Di Sarawak, penghasilan daging rusa dan babi hutan daripada hutan telah dianggarkan sebanyak RM100 juta setahun (Mackinnon et. al., 1996).

Hutan hujan tanah pamah menyediakan ruang untuk rekereasi dan pelancongan bagi penduduk tempatan dan orang asing. Hutan juga menyediakan peluang bagi pendidikan secara formal dan tidak formal, kajian serta pemantauan alam sekitar di dalam kawasan yang semula jadi. Hutan hujan tanah pamah juga penting sebagai khazanah budaya kita di mana tradisi serta amalan dan cerita silam orang tempatan patut dilindungi. Pengekalan ciri-ciri sejarah silam dan perlindungan kualiti alam sekitar patut diutamakan.


Proses Tumbuh Balik Hutan Hujan Tanah Pamah Tropika

Semua ekosistem di dalam hutan adalah dinamik dan tidak boleh dikatakan berada di dalam persekitaran yang stabil. Apabila hutan mencapai tahap puncaknya (klimaks) ia akan berumur dan pokok-pokok akan mati atau tumbang. Kematian sesuatu individu pokok atau berkumpulan akan membentuk satu ruang (gap) di dalam kanopi hutan di mana spesis lain akan tumbuh. Spesis ini akan membesar dan mati dan seterusnya. Ini merupakan budaya di dalam hutan di mana kanopi hutan sentiasa berubah.

Kitaran tumbesaran kanopi hutan boleh diklasifikasikan kepada tiga peringkat iaitu fasa ruang (gap), fasa pembinaan (building) dan fasa tua (mature). Hutan hujan tanah pamah mengandungi pelbagai kelompok fasa-fasa ini. Kejadian fasa ruang disebabkan oleh kematian pokok dimana ia jatuh atau dari serangan serangga ataupun kulat, tanah runtuh, ribut taufan, kebakaran hutan, pembukaan hutan untuk perladangan ataupun pembalakan.

Spesis-spesis pokok di dalam hutan hujan tanah pamah boleh dibahagikan kepada dua kumpulan pada masa ia membesar iaitu spesis yang tumbuh di kawasan terlindung dari matahari dan kumpulan yang memerlukan cahaya matahari untuk membesar. Spesis yang memerlukan kawasan terlindung untuk tumbesaran mempunyai strategi di mana ia mempunyai bekalan makanan yang cukup di dalam bijinya yang besar dan proses tumbesaran ini adalah perlahan. Contoh spesis ini adalah dari genus Hopea, Shorea.

Kumpulan yang memerlukan cahaya matahari untuk tumbesaran juga dikenali sebagai kumpulan “pioneer” dimana ia tumbuh dengan pesat dari segi tinggi dan lebar. Strategi tumbesaran adalah dengan penyebaran bijinya yang banyak oleh burung, angin dan tupai. Salah satu lagi ciri utama ialah spesis ini mempunyai daun yang lebar. Contoh kumpulan ini termasuklah Macaranga gigantifolia dan Macaranga gigantean yang tumbuh dengan banyak di tepi jalan.

1 comments:

apek said...

ada tak blog ne wat persamaan ant ekosistem hutan tanah pamah dgn ekosistem hutan paya bakau

Post a Comment