My ads

Saturday, October 8, 2011

Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI)

 
Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) merupakan satu isu semasa hangat sejak bermula pelaksanaannya. Isu PPSMI terkini adalah mengenai Perarakan Anti-PPSMI yang berlaku pada 7 Mac 2009. Ekoran daripadanya, timbul semula persoalan yang sering dipertikaikan selama ini samada PPSMI wajar diteruskan atau harus dimansuhkan.
Untuk menyelesaikan persoalan ini, adalah penting untuk terlebih dahulu mengetahui tujuan pelaksanaan PPSMI. Tujuan pengenalan PPSMI adalah meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar serta melengkapkan mereka dengan ilmu Sains dan Matematik. Berdasarkan tujuan pelaksanaan yang dinyatakan, saya berpendapat PPSMI patutlah dimansuhkan atas sebab-sebab berikut.
Sebab pertama adalah tujuan pelaksanaan PPSMI yang terlalu luas dan tidak cukup spesifik. Tujuan pelaksanaan yang luas ini akan mengelirukan para guru Sains dan Matematik mengenai subjek mana satu yang perlu diberikan penekanan pengajaran. Kekeliruan bukan saja berlaku pada guru, tetapi pelajar juga akan keliru akan apakah mata pelajaran yang sebenarnya dipelajarinya dalam PPSMI.
Sebab kedua adalah masalah kesesuaian PPSMI dengan alam sekitar di Malaysia. Tidak dinafikan bahawa usaha kerajaan adalah baik untuk mempertingkat daya saingan pelajar Malaysia dalam era globalisasi menerusi PPSMI, tetapi pada hakikatnya PPSMI tidak sesuai dengan alam sekitar di Malaysia di mana bahasa ibunda masih merupakan bahasa komunikasi dalam kebanyakan keluarga terutamanya dalam keluarga di kawasan luar bandar. Maka, penggunaan bahasa Inggeris akan menjejaskan mutu penyampaian dan penerimaan pengetahuan serta maklumat.
Sebab ketiga adalah percangghan pelaksanaan PPSMI dengan matlamat pendidikan Malaysia. Pelaksanaan PPSMI hanya menguntungkan pelajar bandar kerana mereka menunjukkan penguasaan bahasa Inggeris yang tinggi. Tetapi bagaimanakah dengan keadaan pelajar luar bandar? Penguasaan bahasa Inggeris yang lemah mengehadkan pencapaian pelajar luar bandar. Maka, pelaksanaan PPSMI akan menjarangkan lagi jurang perbezaan antara bandar dengan luar bandar. Dengan demikian, adakah pendidikan Malaysia mencapai matlamatnya untuk mewujudkan perpanduan dalam kalangan rakyat Malaysia?
Sebab keempat adalah pelaksanaan PPSMI yang tidak mematuhi teori Pengajaran dan Pembelajaran (P&P). Disebabkan bahasa merupakan mata pelajaran yang banyak berbeza dengan Sains dan Matematik, strategi dan pengendalian P&P yang digunakan haruslah berlainan mengikut kesesuaian dan permintaan dalam mata pelajaran masing-masing. Lagipun, penggabungan dua mata pelajaran yang berbeza dalam satu pengenddalian P & P sebenarnya sesuatu yang rumit dan menyusahkan. Contohnya, isu yang timbul dalam penilaian PPSMI di mana pelajar seharusnya dinilai dari segi tatabahasa ataupun dari segi pengetahuan sains dan matematik. Ada pendapat yang menyatakan bahawa kesalahan tatabahasa perlu diabaikan dalam penilaian PPSMI kerana Sains dan Matematik merupakan keutamaan dalam PPSMI. Jikalau dengan demikian, PPSMI tidak mungkin mencapai matlamat pelaksanaannya untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris tetapi sebaliknya menjadi pendorong kepada masalah budaya ‘broken English’ dalam kalangan pelajar.
Sebab kelima adalah kekurangan tenaga guru yang mahir dalam PPSMI. Walaupun masalah kekurangan tenaga ini dapat diatasi dengan program latihan guru dalam PPSMI, namun pengendalian guru Sains dan Matematik sedia ada yang telah dilatih mengajar dalam bahasa Melayu juga merupakan satu isu yang tidak boleh diabaikan. Adakah guru sedemikian diberi latihan semula ataupun dilucutkan jawatan?
Akhir kata, persoalan mengenai pemansuhan PPSMI perlu diselasaikan dengan segera kerana isu ini telah dijadikan peralatan politik oleh sesetengah ahli politik yang tidak bertanggungjawab dan fenomena sedemikian yang berterusan akan mendatangkan kesan negatif terhadap pembangunan pendidikan Malaysia.

0 comments:

Post a Comment