My ads

Saturday, October 8, 2011

Bahala

CAK! CAK! CAK! CAK! CAK!

"Hoi! Jaga-jaga! Nanti dihempap oleh pokok tu pulak," teriak Kassim kepada kami semua. Pokok jati yang tua itu pun jatuh mencium tanah dengan bunyi yang kuat. Nasib baik kami berada jauh dari situ.

Kami adalah pelatih-pelatih silat dari Kumpulan Silat Ilham Melayang yang bertapak di kawasan barat Pulau Harimau Berpura. Kami diarahkan oleh mahaguru kami supaya menebang pokok jati yang tingginya agak-agak 50 meter. Besarnya pula lebih kurang sepemeluk setengah. Boleh dikatakan besar jugaklah pokok ini. Mahaguru bercadang untuk menebangnya semenjak lima tahun yang lalu tetapi oleh kerana ia meninggalkan kesan sentimental kepadanya, beliau tidak mahu berbuat sedemikian. Kesan sentimental apa, aku tak pasti tetapi yang aku tahu beliau akhirnya bersetuju untuk menebangnya kerana dahan-dahan dan ranting-ranting selalu jatuh ke tanah walaupun tidak diusik oleh angin ribut.

Lagipun, pokok jati ini sudah berumur sesuku abad. Jadi tidak mustahil lah jika keadaanya hampir uzur. Daun-daunnya pun hanya tinggal beberapa helai sahaja. Lagipun, musim ini amat panas sekali. Pada kiraanku, sudah dua minggu hujan tidak membasahi permukaan bumi pulau ini.

"Hah! Korang berlima jangan tengok sahaja. Mari tolong aku belah pokok ini!" Tempik Kassim. Dia ini ketua tidak rasmi kami. Oleh kerana badannya agak sasa daripada kami, dia menganggap dirinya hebat dan patut mengetuai kami berenam. Mahaguru pun tidak berkata apa-apa. Dasar pengampu!

Kami pun memulakan tugas membelah pokok jati yang telah sujud ke bumi itu. Kassim menyuruh kami memotong pokok itu sehasta demi sehasta. Katanya ingin membuat bangku duduk apabila berehat selepas latihan silat. Kami pun dengan bersungut memulakan proses pembelahan itu. Rahmat menggunakan gergaji manakala Syukur menggunakan kapak. Hassan dan Zaki pula menggunakan parang usang yang berkarat tetapi masih tajam matanya untuk menakik dahan-dahan pada pokok itu. Aku pula hanya menunggu giliranku untuk menggantikan sesiapa diantara mereka yang letih.

Panas bebola matahari tengahari yang ada betul-betul di atas kepala kami semakin menghangat kulit badan yang tidak dilindungi oleh busana basahan yang kami pakai. Perit rasanya dan kami berpeluhan seperti disimbah sebaldi air ke tubuh yang sederhana kami. Perut kami dah bermain-main lagu kerana belum menyentuh sesuap nasi pun dari pagi tadi. Apa tidak, si pengampu itu mengejut kami dari subuh untuk bersolat dan siap-siap untuk memulakan penebangan tanpa menjamah sarapan. Tiada masa katanya.

Kami berlima bercadang untuk berehat sebentar dan makan tengahari. Petang itu, Bedah hanya menyajikan nasi berlauk telur rebus dan ulam petai. Alah! Kami sudah biasa dengan sajian begitu. Anak dara tunggal Mahaguru ini memang pemalas orangnya. Umur sahaja dah mencecah baligh tetapi masih berperangai kebudak-budakan. Kassim memulakan doa makan sebelum meratah rezeki yang ada di depan mata.

"Amin," sahut kami semua sesudah ayat akhir doa dilafazkan.

Mata Kassim melirik-lirik ke arah dapur seperti mencari sesuatu. Memang kami tahu bahawa dia menjalinkan perhubungan cinta dengan si Bedah. Sajak lah tu. Si jejaka sasa tetapi pengampu manakala si dara berperangai seperti anak kecil. Bagaikan pinang di belah gergaji. Hancur berkecai akibatnya.

Kami berlima tidak berasa cemburu sesekalipun kerana kesemuanya sudahpun terikat dengan pasangan masing-masing kecuali Zaki. Dia belum bersedia lagi. Tujuan hidupnya hanya menguasai ilmu persilatan buat masa ini. Sudah dua minggu kami berjauhan dari kampung kami yang terletak di utara Pulau Harimau Berpura ini. Jaraknya sejauh dua hari perjalanan. Perasaan rindu semakin membara tetapi apakan daya kami harus menamatkan pelajaran ilmu silat kami yang akan mengambil masa selama sepurnama.

"Sudah kenyang kamu semua?" tanya Mahaguru kepada kami dengan tiba-tiba muncul dari pintu kamarnya. Dari subuh lagi kami belum nampak kelibatnya dan tiba-tiba disergah begitu alangkah memeranjatkan. Nasib baik kami tidak tersedak oleh nasi kering di saluran tekak. Syukur terbatuk-batuk di buatnya.

Kassim seperti tersentak dari lamunannya sehinggakan pinggan yang diletak ke atas telapak tangan kirinya terlungkup ke lantai papan beranda. Dengan pantas dia megais nasi yang berselerakan ke dalam pinggannya.

"Itulah. Sedang makan, buat hal makan. Jangan nak intai-intai bunga di dapur. Nanti rezeki telingkup," nasihat Mahaguru menyindir. Kami tersenyum sipu kerana tahu siapa yang terkena lada itu.

Selepas makan, kami pun menyambung tugas membelah pokok tadi. Kali ini cahaya matahari menjadi suram. Baguslah jikalau hujan. Sejuk sedikit suhu cuaca. Pabila unggas berkicau-kicauan terbang ke sarang, barulah kami selesai kerja mengerat pokok itu. Terdapat sembilan puluh buah bangku semuanya hasil keratan tadi. Yang tinggal hanya penghujung pokok itu kerana ukuran besarnya terlalu kecil untuk dibuat bangku. Telulang-belulang tubuh kami bagaikan nak patah kerana teramat penat. Kulit jari-jemari sehinggakan mengelupas akibat terlalu kerap memegang kapak, parang dan gergaji.

Kassim membebel-bebel seperti itik kehilangan anak kepada kami kerana tidak menyiapkan kerja-kerja membuat buat bangku pada dinihari. Bukan nak menghargai penat lelah kami, tetapi disebaliknya mengutuk-ngutuk kami sebagai pencuri tulang. Dia sendiri yang lesap hilang entah ke mana semasa kami membanting tulang membelah-belah pokok jati itu. Aku rasa dia pergi berasmara dengan si Bedah di belakang rumah.

Sebaik sahaja mentari kehilangan dari tabir langit, tiba-tiba ia diterangi halilintar yang sabung-menyabung. Bunyi dentuman menyusur kemudian dengan kuatnya. Titisan-titisan manik-manik awan mula mencium tanah setitik demi setitik sehinggalah ia melembapi permukaan bumi yang telah merekah-rekah akibat kekeringan cuaca.

"Cepat alihkan bangku-bangku itu ke kolong rumah!" Teriak Kassim.

Aku dan yang lain lintang-pukang berlari ke halaman depan dan mengangkat potongan-potongan pokok jati tadi ke ruang bawah rumah supaya tidak basah kuyup. Berat setiap bangku tadi, Ya Allah, boleh mematahkan pinggang. Dari mengheretnya, aku memiringkannya supaya tegak lalu menggulingkannya. Barulah mudah dialihkan.

Kulakukan satu persatu sementara hujan turun dengan lebatnya seperti air terjun. Yang lain pun begitu juga, cuma Kassim sahaja yang tercegat di anak tangga berpekikan memberi arahan. Dengan tanpa amaran, anak tangga reput yang dimamah usia dan cuaca yang dipijaknya pecah dan Kassim tergelincir lalu jatuh ke belakang. Kepalanya pula terhentak ke penjuru beranda. Dia terpekikan tetapi suaranya ditenggelami oleh bunyian hujan yang turun mendesah. Darah dari mulut dan kepalanya mula berlumuran ke atas tanah yang sudah berbecak. Dia mengerang sebentar sebelum nafasnya yang turun naik terhenti.

Aku dan yang lain pun mengolekkan potongan yang akhir apabila Zaki berteriak dengan sekuat hatinya,

"Ya Allah! Kassim! Kassim rebah ke tanah!".

Kami yang lain terdengar suaranya lalu pandang ke arah tubuh Kassim yang seperti tidak bernyawa itu. Kami berkejar ke arahnya. Aku mengangkat tubuhnya yang terlentang dan menggoncang-goncangnya. Tiada reaksi. Aku dan Rahmat mengusung tubuhnya naik ke dalam rumah. Kami berhati-hati memijak anak tangga taku-takut kalau yang lainnya akan ikut pecah juga.

"Mahaguru! Mahaguru! Kassim terjatuh!" Aku meneriak.

Mahaguru pun bergegas keluar dari kamarnya diikuti oleh Bedah dari belakang. Mahaguru kenampakkan tenang manakala wajah Bedah menjadi pucat serta-merta seperti mayat tak ubah seperti muka Kassim juga.

"Abang Kassim! Abang Kassim! Bangunlah Abang!" Jerit Bedah sambil memangku kepala Kassim ke pehanya.

Mahaguru memeriksa tubuh Kassim yang kaku terbujur dengan meletakkan kedua jari telunjuk dan tengah tangan kanannya ke urat nadi leher Kassim.

"Inalihi Wa Inna Ilaihi Rajjiun," lafaz Mahaguru. Kami pun menyambut lafaz tadi dengan wajah hiba. Walaupun Kassim tidak kami sukai, dia juga teman seperjuangan kami. Aku pun mencapai alas meja yang bewarna putih lalu menutupi jasad Kassim yang kaku kebasahan itu.

"Abang Kassim! Jangan tinggalkan Bedah. Bedah hamil," tangis Bedak terisak-isakan.

Wajah tenang Mahaguru tiba-tiba berubah. Dia menampar pipi kanan Bedah sehinggakan dia tersungkur ke lantai. Bedah mengerang kesakitan dengan bercampurkan tangisannya yang masih tersedu-sedan. Dia mengurut-urut pipinya yang merah kehangatan itu. Kenampakan tanda tampar Mahaguru jelas di pipinya yang gebu.

Kain batik yang dipakainya mulai bertompok-tompokan darah di celah-celah pehanya. Rupa-rupanya dia mengalami keguguran. Mahagaru semakin naik berang kerana anak tunggalnya sudah menjadi kelapa mumbang yang telah ditebuk tupai yang selama ini amat dipercayainya. Dia menghunus keris di pinggangnya ingin menikam tubuh yang tidak bermaya dihadapannya itu tetapi ditepis tangannya olehku.

"Maaf Mahaguru. Sabarlah. Biarlah setakat satu sahaja yang pergi. Jangan di ikutkan nafsu amarah," aku menasihatkan sambil menyuruhnya beristigfar.

Tiba-tiba mata Mahaguru berkaca dan setitis air jernih jatuh ke pipinya yang berkedut. Tidak pernah aku nampak Mahaguruku yang wajahnya selalu tenang dan diam itu marah dan sedih selama aku mula menimba ilmu dengan beliau.

BOOM! BEDEBOOM!

Cuaca di luar semakin teruk, bunyi petir semakin berterusan. Air hujan mencurah-curah turun tidak putus-putus dari langit seperti ketangisan akan peristiwa yang penuh musibah ini.

0 comments:

Post a Comment