My ads

Thursday, November 25, 2010

Teori Personaliti Sigmund Freud / Erikson

Perubahan personaliti individu berdasarkan Teori Personaliti Sigmund Freud / Erikson.


Pengenalan:
·         Definisi personaliti 
Personaliti berasal daripada perkataan Latin “Persona” yang membawa maksud topeng atau pelindung muka iaitu merujuk kepada penampilan luaran seseorang individu. Menurut ahli psikologi, personaliti merangkumi pemikiran, persepsi, nilai, sikap, watak, keupayaan, kepercayaan, kecerdasan, motivasi, kebiasaan dan sebagainya.

Menurut Abdul Majid (1997), personaliti ialah perkaitan antara pemikiran, emosi dan perasaan dengan perlakuan manusia. Personaliti menggambarkan sifat keperibadian seseorang dan dikaitkan dengan perwatakan. Personaliti seseorang boleh dikaji dengan memerhatikan tingkah laku, percakapan dan cara menyelesaikan masalah.

Murugian (1996) pula menyatakan bahawa personaliti sebagai perwatakan yang lahir daripada diri seseorang tanpa dipengaruhi oleh faktor persekitaran.

            Selain itu, Allport (1961) menyatakan personaliti sebagai satu organisasi dinamik sistem psikofizik yang ada dalam diri individu, ia menentukan ciri-ciri tingkah laku dan penyesuaian individu dengan persekitarannya.

            Rogers (1951) pula berpendapat, personaliti merupakan sifat-sifat atau ciri-ciri yang dimiliki oleh seseorang individu seperti cara berfikir, dan beremosi yang membolehkan dirinya dibezakan dengan individu lain.


 
            Sigmund Freud mendefinisikan personaliti sebagai sifat-sifat yang menggambarkan diri seseorang individu, iaitu merujuk kepada tingkah laku yang boleh diperhatikan oleh orang lain atau merujuk kepada perasaan-perasaan yang dialami oleh seseorang dalam dirinya sendiri.

Secara umumnya, para pengkaji bersepakat mengatakan bahawa personaliti merupakan ciri-ciri yang dinamik dan tersusun yang dimiliki oleh individu secara unik. Ciri-ciri ini akan mempengaruhi kognitif, motivasi dan tingkah laku individu tersebut dalam pelbagai situasi (Rykman, 2000).

Sebagai kesimpulan, personaliti merupakan gabungan daripada berbagai sifat dan konsep kendiri seseorang. Individu yang mempunyai konsep kendiri positif akan menghasilkan personaliti yang bersesuaian dengan keperluan persekitarannya. Gaya percakapan, cara bertindak, tingkah laku yang ditunjukkan dan cara seseorang itu berinteraksi dengan persekitaran dapat membantu mengenali personaliti seseorang.


Biodata

Ø  Sigmund Freud (1856 - 1939)
Sigmund Freud (6 Mei 1856–23 September 1939) ialah seorang ahli neurologi Austria serta pengasas psikoanalisis, satu subbidang psikologi. Beliau paling dikenali untuk kajian-kajiannya terhadap nafsu berahi, penindasan, dan fikiran bawah sedar. Freud sering dirujuk sebagai "Bapa Psikoanalisis", dan kerja-kerjanya amat terpengaruh dalam imaginasi yang popular — mempopularkan tanggapan-tanggapan terhadap fikiran bawah sedar, mekanisme pertahanan, kesilapan sebut Freud, dan perlambangan mimpi — sementara memberi kesan-kesan yang abadi kepada berbagai-bagai bidang seperti sastera, filem, teori-teori Marxisme dan faham kewanitaan, kritikan kesusasteraan, serta falsafah, dan sudah tentunya, psikologi.

Dalam pandangan Freud tentang fitrah manusia, Freud mempercayai manusia dilahirkan dengan desakan naluri semula jadi (inborn drives). Berdasarkan pandangan ini, lahirlah konsep antirasionalisme dalam segala gerak-geri manusia. Fahaman ini berpendapat manusia tidak rasional, tidak sosial, tidak sosial dan penuh dengan desakan yang merosakkan dirinya dan manusia sebagai individu, tidak dapat menentukan arah tujuan kehidupannya.

Selain itu, Sigmund Freud juga memperkenalkan tahap kesedaran manusia, iaitu alam sedar, alam prasedar dan alam bawah sedar. Selain itu, beliau juga menyatakan terdapat 3 komponen personaliti, iaitu id, ego dan super ego yang sering mempengaruhi antara satu sama lain dalam mengawal perlakuan manusia.

Freud juga mempercayai bahawa personaliti seseorang manusia dipengaruhi oleh perkembangan psikoseksual seseorang. Teori perkembangan psikoseksual ini dibahagikan kepada lima peringkat berdasarkan tahap umur yang berlainan, iaitu peringkat oral, anal, falik, latensi dan genital. 


Ø  Erik H. Erikson (1902 - 1994)

Teori Perkembangan Psikososial Erikson menekankan kepentingan hubungan sosial dengan individu-individu di persekitaran kanak-kanak. Menurut Erikson, personaliti seseorang kanak-kanak dibentuk hasil daripada perkembangan psikososial ini. Dalam teori ini, Erikson memperkenalkan lapan peringkat perkembangan psikososiologi. Setiap peringkat saling berkait antara sama lain.

Erikson mencadangkan individu perlu berhadapan dengan krisis perkembangan dalam setiap peringkat yang mana pada setiap peringkat mempunyai matlamat untul dicapai. Kejayaan atau kegagalan mencapai matlamat atau menyelesaikan krisis perkembangan akan membawa akibat kepada imej kendiri seseorang individu.

SIGMUND FREUD

Perkembangan personaliti berdasarkan teori psikoanalisis

Teori psikoanalisis berpendapat bahawa perkembangan personaliti manusia dipengaruhi oleh tenaga psike. Tenaga psike ini adalah penting untuk mengetahui lebih lagi mengenai konsep psikoanalisis itu sendiri. Ini adalah meliputi kepada beberapa konsep iaitu konsep penentuan psike dan konsep tahap kesedaran.

v  Penentuan Psike
Penentuan psike ini menerangkan konsep yang mana sebab-sebab tertentu itu mempengaruhi tingkah laku dan reaksi emosi manusia. Ini adalah berkait rapat dengan tahap sedar dan tahap tidak sedar, pemikiran yang rasional dengan tindakan atau kehendak emosi yang serta merta. Ini secara keseluruhannya merangkumi kepada hubungan antara sesama insan.

Tenaga psike (tenaga kejiwaan) ini adalah lebih kepada konsep LIBIDO,iaitu dorongan atau desakan yang terarah kepada seksual sebagai tenaga kehidupan. Walau bagaimanapun ini tidak tertumpu kepada maksud seksual yang sempit tertapi termasuk kepada kehendak nafsu untuk memenuhi kepuasan sendiri. Selain itu dorongan dan desakan lain dalam tenaga psike kehendak mati.

Daripada dorongan-dorongan atau desakan-desakan itu, semuanya merupakan keinginan naluri yang sebenarnya sudah wujud secara semulajadi sejak seseorang itu dilahirkan. Oleh itu, setiap individu akan mengalami kesukaran untuk mengaturnya yang sekaligus akan mencorakkan haluan hidupnya. Contohnya konflik yang kecil berpanjangan walaupun itu adalah bermula daripada masalah yang kecil.


v  Tahap kesedaran
Menurut Freud, dalam diri manusia terdapat tiga alam kesedaran, iaitu alam sedar, alam pra-sedar dan alam tidak sedar (rujuk gambar 1).

Ø  Alam sedar
Alam sedar merupakan sebahagian kecil jiwa manusia yang diibaratkan sebagai seketul ais yang terapung, hanya sebahagian kecil sahaja yang boleh dilihat. Alam sedar merujuk kepada keadaan individu dalam keadaan sedar. Ini adalah merangkumi kepada tingkah laku, tindakan, perasaan, pemikiran dan ingatan. Contoh perbuatan atau pemikiran sedar ialah minum, berjalan, berasa gembira atau sepi. Ia beroperasi pada permukaan personaliti seseorang dan hanya memainkan peranan yang kecil dalam perkembangan personaliti.

Ø  Alam pra-sedar
Alam pra-sedar mengandungi pengalaman yang berada di bawah sedar tetapi  jika tumpuan atau dilakukan secara bersungguh-sungguh, ianya mampu diingat semula boleh menjadi sedar dengan mengingat semula. Contoh: Kita tidak boleh memikirkan apa yang kita lakukan semalam tetapi apabila ditanya, kita masih boleh mengingat semula apa yang telah kita lakukan semalam.

Ø  Alam bawah sedar
Alam bawah sedar meliputi bahagian yang paling besar dalam mental manusia. Ia mengandungi pengalaman dan memori yang mana individu tidak sedar akan kewujudannya. Keadaan mental ini di luar kesedaran seseorang. Ia meliputi semua perkara yang di luar kesedaran seseorang seperti semangat dan naluri individu. Ia juga merangkumi peristiwa-peristiwa yang melibatkan emosi dan perasaan. Ia mungkin melibatkan trauma, penderaan, kesedihan yang amat sangat. Memori ini akan terus berada dalam alam bawah sedar dan mungkin akan diluahkan oleh individu secara tidak langsung. Menurut Freud, alam ini adalah punca motivasi individu. Ia boleh merupakan keinginan untuk melakukan sesuatu, idea untuk mencipta atau motif untuk berkarya.


Personaliti manusia mengikut teori psikoanalisis   
Personaliti secara ringkasnya adalah keperibadian atau perwatakan sesorang (Kamus Dewan Edisi ketiga–DBP). Berdasarkan teori psikoanalisis, umumnya personaliti manusia ini adalah dipengaruhi oleh kesan kesedaran dalam diri seseorang. Psikoanalisis telah membahagikan pesonaliti manusia kepada tiga struktur iaitu id, ego dan super ego (rujuk gambar 1).

Ø  Id  (Prinsip Kenikmatan - Pleasure Principle)
Id adalah bahagian minda berhubungan dengan naluri dan dorongan bawah sedar (Kamus Dewan Edisi ketiga – DBP). Id merupakan dorongan fisiologikal yang terletak di peringkat pemikiran bawah sedar. Melalui id, naluri asas seseorang terbentuk dan ini merupakan tenaga untuk memotivasikan individu atas prinsip kelazatan atau keseronokkan. Ia dianggap sebagai satu elemen struktur yang semula jadi, satu elemen yang diwarisi, satu elemen yang sedia ada dalam diri manusia.

Id tidak dapat membuat penilaian dan tidak mementingkan logik, nilai, moral atau etika dan objektif atau tujuan keseluruhannya adalah lebih kepada kepuasan tanpa mengambil kira akibatnya, undang-undang, dapat sosial atau keperluan orang lain. Id dapat dilihat dengan jelas melalui kelakuan kanak-kanak kecil yang suka berkelakuan sesuka hati.

Ø  Ego (Prinsip Realiti - prinsip reality)
Ego adalah persepsi seseorang tentang harga dirinya yang seterusnya mempengaruhi kepada keyakinan dirinya (Kamus Dewan Edisi ketiga – DBP). Ego adalah komponen personaliti yang terbentuk melalui pengalaman dalam alam realiti. Ego adalah berbeza dengan Id kerana ego merupakan komponen psikologikal yang mengutamakan realiti dan pemikiran logik. Selain itu, Ego tidak wujud semasa kelahiran, tetapi hanya mula terbentuk pada tahun pertama kehidupan individu di mana kanak-kanak mendapati tidak semua yang dikehendaki oleh id dapat dipenuhi dengan segera. Jika id tidak dapat memenuhi sesuatu keperluan, ego mula wujud untuk mencari cara yang rasional untuk mengatasi kekecewaan tetapi secara rasional dan munasabah. Contohnya: Id memberitahu badan ingin tidur, oleh itu, ego akan mencari tempat yang sesuai untuk tidur.

Ego akan berorientasi atas prinsip di mana ego akan memahami keinginan id dan membuat rancangan selaras dengan peraturan sosial supaya individu mendapat kepuasan dan pada waktu yang sama kelakuannya dapat diterima oleh masyarakat. Apabila ego tidak dapat cari cara yang diterima untuk memuaskan keinginan id, konflik akan timbul. Dari sinilah, individu akan menggunakan mekanisme belah bela diri.

Ø  Super Ego (Prinsip Moral - Moral Principle)
Super ego adalah bahagian fikiran bawah sedar yang sentiasa menyedarkan kita tentang kebaikan dan keburukan sesuatu, dan yang menbuatkan kita berasa bersalah sekiranya kita melakukan kesalahan (Kamus Dewan Edisi ketiga – DBP).

Super ego merupakan struktur personaliti yang beroperasi atas prinsip kesempurnaan dan akan terbentuk serta berkembang sepanjang hidup kanak-kanak dengan menggabungkan moral dan nilai-nilai masyarakat.  Super ego berfungsi berlandaskan prinsip moral, keagamaan atau prinsip ideal. Super ego akan mengawal kehendak ego dan memberi penilaian samada tingkah laku yang ditunjuk ego benar atau salah. Ia juga mengawal segala kehendak id, mempengaruhi ego dalam usaha mencari jalan memenuhi kehendak id dengan cara yang terbaik bersesuaian dengan cara, nilai, budaya, kepercayaan, dan agama sesebuah masyarakat.


perkembangan psikoseksual mengikut Sigmund Freud

            Sigmund Freud mempercayai bahawa personaliti seseorang dipengaruhi oleh perkembangan psikoseksual seseorang. Teori perkembangan psikoseksual ini adalah bersifat biologi dan melibatkan perkembangan tenaga seksual (libido) daripada satu peringkat ke satu peringkat yang lain. Perkembangan kanak-kanak akan menjadi tidak normal apabila seseorang kanak-kanak mengalami pengalaman yang merencatkan aliran tenaga tersebut. Keadaan ini dipanggil lekatan di mana ia akan membuat seseorang itu kurang berupaya berdepan dengan krisis dalam peringkat perkembangan seterusnya.

            Menurut Freud, proses perkembangan seseorang individu telah ditentukan. Setiap kanak-kanak akan melalui lima peringkat perkembangan, iaitu peringkat oral, anal, falik, latensi dan genital.

Ø  Peringkat Oral (0 – 18 bulan)
Pada peringkat ini, personaliti bayi lebih tertumpu kepada id. Bayi dikawal oleh impuls biologi dan secara asasnya mementingkan diri sendiri. Mereka dikuasai sepenuhnya oleh naluri mereka.

Apabila bayi dilahirkan, kehendak mereka adalah makanan. Zon yang berkaitan dengan kehendak ini ialah mulut. Pada tahap ini, kepuasan segera diperolehi oleh bayi pada bahagian mulut kerana bayi dikawal oleh prinsip kenikmatan seperti menghisap, mengunyah dan menelan.

Apabila bayi menghisap susu, kawasan mulut akan mendapat stimulasi. Sekiranya pada tahap ini bayi menerima layanan yang baik dalam memenuhi kepuasannya, maka dikatakan trait personaliti sebagai individu yang optimistik, mesra, dan mudah kerjasama akan dilihat dalam diri individu tersebut. Namun begitu, sekiranya tidak dapat, maka dia akan terlekat di peringkat ini, dan mempunyai personaliti seperti pendiam, pasif, dan orang yang suka merokok adalah berpunca daripada masalah ini.

Bayi yang lambat diperkenalkan kepada makanan yang keras akan terlekat pada peringkat mengigit. Masalah yang timbul apabila berlaku lekatan ini ialah individu yang bercakap kasar, agresif dan suka menggigit objek seperti kuku, pen dan sebagainya.

Ø  Peringkat Anal (18 bulan – 3 tahun)
      Peringkat ini juga dikenali sebagai peringkat dubul. Pada usia ini, zon kelazatan beralih ke kawasan dubur. Freud mempercayai bahawa kanak-kanak mendapat kelazatan daripada aktiviti mengawal pembuangan najis. Pada tahap ini, penumpuan tenaga libido ditumpukan pada bahagian-bahagian otot pembuangan najis yang melibatkan latihan tandas(toilet -training).

Cara ibubapa menguruskan latihan tandas kepada kanak-kanak boleh mempengaruhi trait personaliti seseorang individu. Sekiranya latihan yang diberikan tidak sesuai, maka akan menimbulkan perasaan negatif pada kanak-kanak dan mewujudkan suasana anal agresif dan anal retentif.

Anal agresif berlaku apabila kanak-kanak bertindak agresif terhadap kawalan ketat dan peraturan rigid yang dikenakan semasa latihan tandas dijalankan. Anak tidak akan mematuhi arahan dan bertindak membuang air di merata-rata. Tindakan ini akan melahirkan anak yang bersifat zalim, ganas, pemarah dan tidak berdisiplin apabila dewasa.

Anal retentif pula berlaku akibat daripada perhatian yang berlebihan diberikan semasa anak membuang air. Keadaan ini akan melahirkan anak yang mematuhi arahan ibubapa dan tidak mempunyai pandangan sendiri. Tindakan ini boleh melahirkan anak yang kedekut, degil, terlalu mementingkan peraturan dan tidak mengendahkan masalah orang lain apabila dewasa kelak.

Oleh itu, pada pandangan Freud, kanak-kanak pada peringkat ini perlu diberi peluang untuk berdikari, mempunyai automomi dan tahu mengawal diri sendiri.


Ø  Peringkat Falik (3 – 6 tahun)
Peringkat ini dinamakan sebagai peringkat kubul. Pada peringkat ini, kanak-kanak mula mengetahui tentang kejantinaan sama ada dirinya lelaki atau perempuan. Sember kepuasan libido berpindah kepada organ kejantinaan dan mendapat kepuasan dengan memegang kawasan kemaluannya.

Pada tahap ini, Freud mempercayai kanak-kanak lelaki akan mengalami Oedipus kompleks, di mana kanak-kanak lelaki menumpukan kasih sayang pada ibunya. Manakala bagi kanak-kanak perempuan, mereka akan mengalami Elektra kompleks, di mana berlakunya persaingan dengan ibu untuk mendapatkan kasih sayang bapa dan bersikap menentang ibu.

Oleh itu, ibu bapa seharusnya peka terhadap perasaan anak. Bahagikan kasih sayang dan perhatian sama rata dan berlaku adil terhadap semua anak. Perlekatan pada tahap ini akan merenggangkan hubungan antara ibubapa dengan anak-anak.

Ø  Peringkat Latensi (6 – baligh)
Peringkat ini merupakan peringkat di mana kanak-kanak mula bersosial. Mereka mula mengalihkan perhatian kepada orang lain selain daripada ibu bapa dan keluarga. Pada tahap ini, semua perasaan seksual dipendamkan dan diletakkan di aras bawah sedar. Kanak-kanak memberi penumpuan kepada kerja-kerja sekolah dan aktiviti-aktiviti lain. Mereka mempelajari tentang peranan jantina dan kanak-kanak lebih gemar berkawan dengan rakan yang sama jantina. Secara tidak sedar keadaan ini akan menguatkan lagi sifat kelakian pada kanak-kanak lelaki dan sifat kewanitaan kepada kanak-kanak perempuan. Tumpuan juga pada usaha berdaya tindak dengan persekitarannya.

Pada peringkat ini, kanak-kanak perlu diberi peluang bergaul bagi memenuhi keperluan sosial mereka. Ibubapa hanya perlu memerhati dan mengawasi aktiviti sosial anak mereka. Kanak-kanak yang tidak merasa kepuasan berkawan akan menunjukkan tingklah laku yang negatif apabila dewasa kelak. Mereka sukar bergaul, mengasingkan diri, suka menyendiri dan terkongkong.

Ø  Peringkat genital (selepas baligh hingga dewasa)
Tahap kejantinaan ini menampakkan kemunculan semula kecenderungan seks yang dialami semasa individu itu berada pada zaman kanak-kanak. Pada peringkat ini, remaja mula mengambil tahu dan menaruh minat terhadap rakan sebaya yang berlainan jantina. Pada waktu ini, remaja juga mula memikirkan isu berpasangan, perkahwinan, dan masa depan. Tenaga libido akan mendorong individu menaruh minat terhadap individu di luar keluarga yang berlainan jantina.

Pada peringkat ini, kelenjar-kelenjar seksual sudah mula berfungsi dan melalui proses perkembangan serta berfungsi sebagai sumber kenikmatan dan kepuasan. Perasaan cinta kepada diri sendiri dan kepada orang lain mula wujud.

Individu pada peringkat ini akan cuba memuaskan segala apa yang tidak dapat dicapai pada zaman kanak-kanak. Ini akan mengakibatkan pembentukan personaliti yang dihasilkan oleh konflik-konflik yang berlaku pada zaman kanak-kanak menonjol dan menjadi dominan.

Sebagai kesimpulan, dalam usaha membentuk personaliti yang diinginkan, Freud percaya cara didikan dan layanan yang diterima oleh individu semenjak kecil sangat mempengaruhi personaliti seseorang. Oleh itu, ibubapa, guru dan masyarakat sekeliling perlu membantu perkembangan kendiri kanak-kanak supaya mereka dapat mengatasi konflik-konflik yang timbul pada setiap peringkat perkembangan.


Erik H. Erikson
Teori Perkembangan Psikososial  Erikson
  1. perkembangan kepribadian manusia terjadi sepanjang rentang kehidupan
  2. perkembangan kepribadian manusia dipengaruhi oleh interaksi sosial—hubungan dengan orang lain
  3. perkembangan kepribadian manusia ditentukan oleh keberhasilan atau kegagalan seseorang mengatasi krisis yang terjadi pada setiap tahapan sepanjang rentang kehidupan.



Jadual berikut menunjukkan secara ringkas lapan peringkat perkembangan psikososial Erikson
Peringkat
Tahap Umur
Huraian
1.    Asas kepercayaan lawan asas ketidakpercayaan
Dari lahir hingga 1 tahun
Bayi perlu mempunyai hubungan yang erat. Mendapat kasih sayang dan kepercayaan daripada penjaga. Sekiranya gagal, ketidakpercayaan timbul.
2.    Autonomi lawan karaguan
1 tahun hingga 3 tahun
Peekembangan kanak-kanak pada tahap ini tertumpu kepada perkembangan fizikal.
Sekiranya berjaya dan menerima sokongan menimbulkan rasa percaya kepada keupayaan diri sekiranya gagal mereka mula ragu-ragu terhadap keupayaan diri.
3.    Inisiatif lawan rasa bersalah
4 tahun hingga 5 tahun
Kanak-kanak cuba untuk berdikari, ada inisiatif untuk melakukan sesuatu sendiri, sekiranya gagal boleh membawa rasa salah.
4.    Inisiatif lawan rasa rendah diri
6 tahun hingga 11 tahun
Kanak-kanak perlu menguasai kemahiran-kemahiran tertentu di alam persekolahan, kegagalan akan membawa rasa rendah diri dan tiada keupayaan.
5.    Identiti lawan kekeliruan identiti
12 tahun hingga 18 tahun
Mencari identiti diri bagi gologan remaja dalam pekerjaan, kemahiran, jantina dua bersosial.
6.    Keintiman lawan keasingan
Awal dewasa.
18 tahun hingga 35 tahun.
Mula membentuk keintiman dalam hubungan, menuju ke arah perkahwinan dan membina kerjaya. Kegagalan membawa kepada perasaan terasing dan tersisih.
7.    generativiti lawan kekakuan
Pertengahan dewasa.
35 hingga 65 tahun.
Kehidupan berkeluarga dan kerjaya yang baik. Kegagalan membawa kepada perasaan mementingkan diri sendiri.
8.    Integriti lawan kekecewaan
Lanjut usia 65 tahun ke atas.
Kejayaan dalam hidup berkeluarga dan karier. Kegagalan membawa kepada kesedihan dan kekecewaan.

Jadual 1


Perubahan Personaliti Individu

Menurut Carl Jung (1923), terdapat 3 jenis personaliti iaitu ekstrovert, introvert dan ambivert. Antara ciri-ciri ekstrovert ialah periang, suka berkawan,petah bercakap, peramah, mudah menyesuaikan diri, bersifat kembara, meminati aktiviti luar dan tahan lasak. Manakala personaliti introvert pula ialah pendiam, kurang bersosial, lebih berbakat dalam aktiviti penulisan, sensitif dan berhati-hati dalam membuat tindakan. Ciri-ciri pelajar ambivert pula adalah kombinasi ciri-ciri personaliti ekstrovert dan introvert.        

Menurut Freud, dalam usaha membentuk personaliti yang diinginkan, didikan dan layanan yang diterima oleh individu semenjak kecil perlu diberi perhatian.  Oleh itu, ibubapa, guru dan masyarakat sekeliling perlu membantu perkembangan kendiri kanak-kanak supaya mereka dapat mengatasi konflik-konflik yang timbul pada setiap peringkat perkembangan. Mereka seharusnya berusaha untuk membantu kanak-kanak untuk mencapai libido yang berlainan pada peringkat yang berbeza.

Jadual 2 merupakan ringkasan mengenai peringkat –peringkat berdasarkan umur yang berlainan.

Umur
Peringkat
0 – 18 bulan
Oral
18 bulan – 3 tahun
Anal
3 – 6 tahun
Falik
6 - baligh
Latensi
Selepas baligh hingga dewasa
Genitial

Jadual 2

Menurut Erikson pula, personaliti seseorang kanak-kanak dibentuk hasil daripada perkembangan psikososial ini. Beliau telah memperkenalkan lapan peringkat perkembangan psikososial dan setiap peringkat adalah saling berkait antara satu sama lain. Beliau mencadangkan individu perlu berhadapan dengan krisis perkembangan dalam setiap peringkat yang mana pada setiap peringkat mempunyai matlamat untuk dicapai. Kejayaan atau kegagalan mencapai atau menyelesaikan krisis perkembangan akan menentukan personaliti individu tersebut pada masa depan.

Selain daripada itu, terdapat dua faktor lagi yang akan mempengaruhi personaliti seseorang itu. Dua faktor yang utama tersebut adalah faktor baka atau genetik dan faktor persekitaran.


Faktor baka / genetik
Secara umumnya baka ibu bapa akan mempengaruhi personaliti anak-anak mereka terutamanya dari segi bentuk badan, keadaan fizikal, kecerdasan dan emosi anaknya.

Menurut Sheldon (1985), ciri personaliti seseorang adalah berkaitann rapat dengan bentuk tubuh badannya. Beliau telah menggolongkan bentuk badan manusia kepada tiga kategori, iaitu endomorf, mesomorf dan ektomorf, yang berkaitan dengan ciri-ciri personaliti.


Jadual 3 menerangkan serba ringkas berkenaan dengan perkaitan antara bentuk tubuh badan manusia dengan ciri-ciri personaliti yang berkenaan.

Jenis
Rupa bentuk badan
Ciri-ciri personaliti
Endomorf
Bulat dan lembut
Trait Viscerotinia:
Suka bergaul, cepat mesra, berlega, mengandur.
Mesomorf
Otot-otot kuat,
berkemahiran psikomotor
Trait Somatotonia:
Tegas, agresif, suka riadah, sedia menghadapi cabaran.
Ektomorf
Kurus dan tinggi
Trait Cerebrotonia:
Tidak suka bergaul, introvert, tidak suka aktiviti fizikal.

Jadual 3


Selain daripada bentuk badan, keadaan fizikal, khasnya penyakit seperti Lelah (asma), kencing manis dan sebagainya, yang kebanyakkannya disebabkan oleh faktor genetik, pula mempengaruhi perkembangan personaliti seseorang. Seseorang kanak-kanak yang kerapkali jatuh sakit dan tidak dapat menyertai segala aktiviti sosial dan lambat laun akan membantutkan perkembangan sosialnya. Hal ini akan mempengaruhi perkembangan personalitinya. Kebiasaannya individu ini mempunyai personaliti introvert dan bersifat pendiam serta pemalu.

Sebagaimana yang diketahui umum, kecerdasan seseorang adalah berkait rapat dengan baka ibu bapa. Oleh sebab itu, baka memainkan peranan yang penting dalam pembentukan dan perkembangan personaliti seseorang. Misalnya, individu yang mempunyai darjah kecerdasan yang tinggi biasanya menonjolkan ciri personaliti yang berkeyakinan, berbudi bicara, berpewatakan bijaksana dan bersifat berani. Di samping itu, kadangkala pelajar yang terlalu cerdas juga mengalami masalah penyesuaian sosial. Ini adalah kerana kanak-kanak seperti itu mungkin berasa bongkak dan dengan itu boleh menjadikannya tidak popular.

Di samping itu emosi yang diwarisi juga boleh mempengaruhi personaliti
seseorang. Seseorang individu yang mewarisi emosi yang tidak stabil akan menonjolkan ciri personaliti yang agresif dan pemarah. Manakala seseorang individu yang mempunyai emosi yang lebih stabil serta dapat mengawal perasaan kekecewaan merupakan seorang individu yang lebih popular serta suka dihampiri oleh kanak-kanak yang lain.


Faktor Persekitaran
Persekitaran memang memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi personaliti seseorang individu. Faktor persekitaran yang mempengaruhi pembentukan dan perkembangan personaliti seseorang merangkumi keadaan keluarga, sekolah, rakan sebaya, masyarakat dan pengalamannya.


·         Keluarga
Sesungguhnya pembentukan dan perkembangan personaliti seseorang bermula dalam keluarga. Bermula dengan keadaan ataupun suasana didalam rumah tersebut. Suasana yang mesra dan harmonis boleh menggalakkan perkembangan personaliti yang sihat. Perhubungan ibu bapa yang baik akan menjamin suasana rumah yang tenteram yang amat diperlukan untuk perkembangan personaliti seseorang individu tersebut.

Selain daripada itu, pemakanan juga mempengaruhi didalam perkembangan personaliti seseorang itu. Makanan yang seimbang yang disediakan adalah penting perkembangan secara menyeluruh bermula dari peringkat kanak-kanak lagi. Tanpa makanan yang seimbang, mungkin akan membantutkan perkembangan seseorang individu tersebut dan akan mengangu didalam perkembangan personaliti seseorang itu.

Di samping itu, taraf sosioekonomi keluarga juga memainkan peranan didalam pembentukan dan perkembangan personaliti. Kedudukan kewangan sesebuah keluarga akan menentukan jenis-jenis kemudahan yang boleh disediakan untuk anakanaknya. Dengan adanya segala kemudahan yang disediakan ini akan dapat memberikan pendedahan yang luas terutamanya kepada kanak-kanak. Seseorang individu yang memperoleh pencapaian akademik yang baik serta boleh bermain pelbagai permainan dan alat muzik memang mempunyai aras keyakinan yang tinggi berbanding dengan individu yang mempunyai taraf ekonomi yang rendah.

·         Kebudayaan
Kebudayaan yang berbeza memang mempunyai norma dan nilai yeng berbeza. Penekanan terhadap satu-satu nilai didalam sesebuah kebudayaan tertentu akan mempengaruhi perkembangan personaliti kanak-kanak juga. Di dalam kebanyakan kebudayaan, banyak ditekankan mengenai nilai-nilai murni sepertihormatmenghormati, bertoleransi, tolong-menolong dan banyak lagi nilai-nilai murni yang ditekankan. Individu yang dibesarkan dengan kebudayaan seperti ini tentu akan menjadi seorang yang penuh kesopanan dan akan menonjolkan personaliti yang seimbang.

Sebahagian masa yang ada dihabiskan di sekolah bagi pelajar-pelajar. Oleh sebab itu pengaruh sekolah adalah kedua penting berbanding pengaruh keluarga. Jenis kepimpinan dan suasana di sekolah amat mempengaruhi perkembangan personaliti kanak-kanak. Hal ini adalah bergantung kepada corak pentdbiran yang dibawa oleh guru besar ataupun pengetua. Jika corak pentadbiran menitik beratkan soal disiplin, maka akan membentuk personaliti pelajarnya menjadi seorang yang berdisiplin dan mematuhi arahan. Jika sebaliknya, jika pengetuanya kurang tegas dalam segala hal maka pelajar akan menjadi lebih pasif,menarik diri, takut mengambil risiko, kurang inovatif dan takut mendatangkan perubahan. Selain itu guru berperanan di dalam membentuk perkembangan personaliti pelajarnya. Jika sikap yang ditonjolkan oleh guru adalah sikap yang positif, maka pelajar akan terikut-ikut dengan sikap positif yang ditonjolkan oleh guru tersebut dan begitu jugalah sebaliknya.

·         Rakan Sebaya
Rakan sebaya juga adalah merupakan salah satu faktor yang terpenting di dalam mempengaruhi pembentukan personaliti seseorang. Ini kerana setiap rakan sebaya mempunyai nilai-nilai tersendiri. Rakan sebaya juga adalah orang kedua terpenting selepas keluarga bagi remaja. Oleh sebab itulah kebanyakkan tindak tanduknya dipengaruhi oleh rakan sebaya mereka. Sama ada nilai ataupun sikap yang dibawa itu adalah ynag positif ataupun yang negatif.

·         Media Massa
Pada zaman yang moden membangun ini, media massa adalah merupakan medium perhubungan yang terpenting didalam kehidupan seharian. Maka tidak hairan jika media massa juga memainkan peranan yang penting didalam membentuk perkembangan personaliti seseorang. Oleh sebab itu, pendedahan kepada media massa yang sihat adalah penting untuk menjamin perkembangan personaliti yang sihat. Jika kanak-kanak sentiasa didedahkan kepada tayangan video atau filem yang berunsurkan keganasan, kezaliman dan sebagainya, maka mereka akan bertendensi untuk berkelakuan yang lebih agresif. Sebaliknya jika kanak-kank lebih didedahkan dengan tayangan yang bercorak ilmiah seperti taman sesame dan sebagainya, akan dapat membantu perkembangan intelek seseorang pelajar.

·         Pengalaman Awal
Pengalaman awal kanak-kanak amat mempengaruhi perkembangan personliti sesorang individu. Sebagai contoh, kanak-kanak yang selalu dihukum kerana melakukan kesilapan seperti membuang air kecil di katil, membuat kotor dan sebagainya menyebabkan kanak-kanak tersebut sentiasa berasa bimbang dan bersalah. Kanak-kanak yang tidak pernah didedahkan kepada pengalaman prasekolah akan berasa rendah diri serta terancam apabila didapati dia tidak tahu membaca abjad atau menulis angka-angka yang senang ketika berada di Tahun satu. situasi ini akan memberi impak kepada harga diri serta konsep kendiri positif seseorang kanak-kanak.

·         Masyarakat
Aspirasi, harapan dan nilai sesuatu masyarakat boleh mempengaruhi pembentukan personaliti seseorang individu. Sebagai contoh masyarakat kebendaan menegaskan betapa pentingnya kekayaan dan harta benda.dengan itu, kanak-kanakmembesar menjadi individu yang sentiasa mengejar kekayaan harta benda. Nilai murni-murni mungkin akan ketinggalan. Ini akan melahirkan masyarakat yang sanggup menipu, merompak, membunuh dan mengamalkan rasuah demi mencapai tujuannya. Keadaan ini menunjukkan dengan jelas bagaimana nilai masyarakat boleh menghasilkan personaliti yag tidak diiingini.

Sebaliknya, jika nilai-nilai dan norma-norma masyrakat adalah sihat, individu-individu yang membesar dalam situasi itu, akan menjadi anggota masyarakat yang bertanggungjawab, berdedikasi, rajin dan sedia untuk berkorban kerana hendak menolong orang lain.

            Sebagai kesimpulan, personaliti seseorang terbentuk sejak kecil lagi, oleh itu, ibubapa seharusnya menyediakan persekitaran dan sentiasa bersama dengan kanak-kanak supaya dapat mengesan keperluan kanak-kanak dengan serta merta. Pengabaian yang kecil mungkin juga dapat membentuk personaliti yang berlainan walaupun faktor lain dijaga dengan baik.

21 comments:

Anonymous said...

salam....izinkan sy sbgai pljr kolej..adalah bljr ttg organizational behavior..so sy nk mnt izin gune mklumat yg cik beri...

ida puteri said...

Good work!

Anonymous said...

bagus,,sgt2 berguna

Anonymous said...

saye buat rujukan esaimen,,tq

Anonymous said...

terima kesih ,,saya harap anda mengizinkan saya utk rujukan assignment .

based on true story said...

Salam.. sy merupakan pelajar kaunseling psikologi nak mintak kebenaran untuk menjadi kan entry ini sebagai rujukan kepada assgment berkaitan dengan personaliti..

Unknown said...

Salam mohon guna buat rujukan .

Anonymous said...

Salam...minta izin untuk kongsi maklumat ni sebgai rujukan dlm esimen.

Lemz Fazalelahi said...

������

Anonymous said...

LOVE YOURS SIMPLE NOTE!

Unknown said...

sy nak mnta kbenaran..sy nk jdikan ini sbagai rjukan sy

Unknown said...

Mohon kebenaran untuk saya jadkan rujukan. terima kasih

Anonymous said...

Izinkan saya menggunakan maklumat ini sebagai bahan rujukan. Terima kasih.

Unknown said...

Mohon untuk buat rujukan

Unknown said...

Mohon kebenaran utk rujukan..tq

Syazwani said...

salam, boleh bagi sumber rujukan? terima kasih

Unknown said...

Saya mengucapkan ribuan terimakasih kpd perkongsian dan penerangan yang amat jelas ini. Saya mendapat gambaran yang lebih jelas dan dapat menjelaskan pertanyaan yang timbul semasa mengkaji module saya.

Anonymous said...

saya minta izin utk guna rujukan ini ye.. terima kasih atas penerangan yang mudah difahami

Unknown said...

saya minta izin buat rujukan asimen

Syirah said...

Assalamualaikum.. Saya nak bertanya jadi teori psikoanalitik adalah pecahan ataupun bahagian dari teori personaliti? Mcm tu ke?

Anonymous said...

Salam.. Saya ada soalan jadi sebenarnya di bawah teori personaliti ni ada berapa bahagian ye? Mohon pencerahan

Post a Comment