My ads

Thursday, November 25, 2010

Peranan Islam Dalam Mengekalkan Keharmonian Masyarakat Majmuk Di malaysia

PERANAN ISLAM DALAM MENGEKALKAN KEHARMONIAN MASYARAKAT MAJMUK DI MALAYSIA


Pengenalan

Negara Malaysia yang terdiri daripada negeri-negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu (Semenanjung), Sabah serta Sarawak diditubuhkan pada 16 September 1963. Penduduk Malaysia boleh dikategorikan kepada dua kumpulan utama, iaitu penduduk peribumi dan bukan peribumi. Penduduk peribumi sebahagian besarnya terdiri daripada orang Melayu. Selain orang Melayu, terdapat juga pelbagai kumpulan etnik pribumi lain seperti Orang Asli di Semenanjung, dan pelbagai etnik pribumi di Sabah dan Sarawak. Penduduk bukan peribumi terdiri daripada orang Cina dan India serta sebilangan kecil etnik-etnik lain.

Dalam tajuk “Peranan Islam mengekalkan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia”, kita membincangkan aspek berikut. Pertama, sejarah yang dilalui Malaysia sebagai sebuah bangsa yang lahir daripada benua Alam Melayu , kedua , Islam bukan sahaja sebagai anutan fahaman beragama, tetapi ia juga sebagai sumber pembentukan sarwa pandangan hidup (worldview) yang melahirkan tradisi keilmuan and komitmen penganutnya dalam mempertahankan keharmonian hidup beragama ketiga beberapa faktor penyumbang seperti keadilan social, politik, ekonomi yang diterjemah dariapda prinsip-prinsip Islam bagi menjamin kelangsungan heharmonian hidup beragama.


ISI: PERANAN ISLAM DALAM MENGEKALKAN KEHARMONIAN MASYARAKAT MAJMUK DI MALAYSIA
    
Islam mempunyai kaitan yang rapat terhadap perkembangan tamadun manusia termasuklah di Malaysia. Perkara itu sendiri berasal daripada perkataan arab salima bererti selamat sentosa atau kedamaian. Dari perkataan salima ini lahir perkataan aslama yang bermaksud terpelihara dalam keadaan selamat sentosa. la juga bererti menyerah diri, tunduk patuh dan taat.
      
Islam secara umumnya adalah sejahtera di mana sistem Allah s.w.t, adalah seimbang dan sejahtera. Seluruh makhluk Allah s.w.t, mengikut dengan patuh terhadap sistem Allah s.w.t. seperti firmanNya di dalam surah al-' Imraan ayat 83 yang bermaksud:

"Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu
mereka  mencari  lain  daripada  agama Allah?  Padahal
kepadaNyalah tunduk (taat) sekalian makhluk yang ada di langit
dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun dengan paksa,
dan kepadaNyalah mereka dikembalikan"
        
Sesungguhnya Islam umumya adalah juga agama para nabi bermula daripada Adam a.s. sehinggalah kepada Nabi Muhammad s.a.w. Namun gelaran atau nama Islam ini secara khususnya digelarkan kepada agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w, nabi akhir zaman seperti firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Maidah ayat 3 yang bermaksud:

"Dan Aku telah reda akan Islam itu menjadi agama bagi kamu"
             
Oleh yang demikian pengertian Islam dari segi istilah syarak ialah mentauhidkan Allah, s.w.t., patuh, tunduk dan jujur hati kepadaNya serta beriman dengan ajaran Allah yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w, daripada Allah s.w.t.

Islam sendiri adalah agama yang menekankan prinsip kesederhanaan, adil, bertolerasi dan berhikmah dalam menangani setiap permasalahan. Islam menekankan semangat bermusyawarah dalam menyelesaikan persoalan berbangkit antara sesama sendiri serta menyeru manusia ke jalan Tuhan secara penuh kebijaksanaan dan tunjuk ajar yang baik. Malah, dalam soal-soal yang melibatkan kepercayaan dan keimanan, Islam sama sekali tidak membenarkan pemaksaan dilakukan ke atas penganut agama lain.

Penerimaan Islam mestilah dilakukan di atas dasar kefahaman, kecintaan dan keikhlasan sejati. Pemaksanaan dan kepura-puraan adalah satu sifat yang ditolak oleh Islam. Islam menjamin hak-hak asasi masyarakat tempatan, sama ada beragama Islam ataupun bukan Islam. Bagi masyarakat tempatan yang menganut Islam, mereka masih boleh terus mengamalkan budaya serta adat resam mereka selagi mana tidak bertentangan dengan batasan syarak. Manakala bagi mayarakat bukan Islam, hak-hak kemanusiaan mereka terus terpelihara, sama ada dari sudut kebebasan beragama, berbudaya, keselamatan dan sebagainya. Melalui sifat toleransi tersebut, keharmonian serta keamanan dapat dikekalkan dalam masyarakat setempat.

            Islam telah memberikan panduan serta pedoman yang sempurna untuk kehidupan manusia secara menyeluruh. Tidak ada suatu perkara pun yang tidak diberikan panduannya oleh Islam.  Aspek aqidah dan kepercayaan, peraturan dan kehakiman, akhlak dan hubungan antara manusia sesama manusia atau dengan alam sekelilingnya, dan lain-lain telah dipedomankan oleh Islam melalui ajarannya yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w.

            Islam bersifat umum untuk setiap individu tanpa mengira sempadan bangsa, masa atau geografi. Sifat umum yang ada pada Islam mengizinkan sesiapa sahaja menerima ajarannya.  Melalui sifat umum tersebut, tamadun Islam adalah terbuka untuk membentuk tamadun sejagat yang dapat bertahan merentasi sempadan masa dan geografi.

            Secara idealnya, Islam meletakkan kesempumaan sebagai tahap tertinggi yang ingin dicapai oleh setiap individu. Kesempurnaan mungkin sukar untuk dicapai, namun ia dapat diusahakan melalui pengawasan berterusan oleh undang-undang serta peraturan Allah s.w.t. Dengan itu, kehidupan manusia sentiasa terpelihara dan berada di atas landasan Ilahi. Teras usaha mencapai kesempumaan tersebut adalah kesederhanaan dan kesempumaan dalam setiap aktiviti kehidupan manusia. Idea tersebut adalah realistik apabila kita melihat bahawa kehidupan manusia berlangsung di atas dunia yang nyata. Dunia yang nyata merupakan simbolik tentang hakikat kewujudan dan kebenaran Allah s.w.t.

            Masyarakat muslim adalah masyarakat yang terbentuk berdasarkan konsep kesatuan ummah. Ini menjadikan masyarakat Islam sebuah masyarakat yang berbentuk sejagat, tidak bersifat perkauman, tidak bersifat kebangsaan serta tidak terbatas dalam
 lingkungan sempadan geografi dan politik. Bagi masyarakat muslim, hanya satu ukuran
 yang mendapat tempat di sisi Allah yang Maha Mencipta iaitu ketakwaan kepadaNya, di samping berbuat baik kepada sesama manusia. Firman Allah s.w.t, dalam surah al-Hujuraat yang berrnaksud:
                
"Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu
daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, lalu Kami
jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu
saling berkenalan. Sesungguhnya orang yang paling mulia adalah
orang yang paling takwa di kalangan kamu".  (al-Hujuraat, 13)
               
       Hubungan antara masyarakat muslim dengan bukan muslim juga tidak dibataskan dengan perbezaan warna kulit, bahasa, bangsa dan keyakinan atau kepercayaan. Sebaliknya, masyarakat muslim mementingkan hubungan baik, saling menghormati, toleransi dan disiplin.
      
Semua manusia berhak untuk hidup bersama dalam pangkuan Islam dan berlindung di bawah sistem sosialnya. Namun, Islam tetap mengiktiraf peranan dan tanggungjawab berbeza antara sesama masyarakat muslim dan masyarakat bukan muslim yang hidup bersarna.

          Nilai-nilai Islam yang toleran dan sederhana telah mewarnai hampir keseluruhan jiwa raga Melayu. Membentuk hati budi orang Melayu, menjadi kekuatan yang membentuk tamadun Melayu, menjadi pengikat yang menyatukan seluruh rumpun etnik Melayu dan Islam terus dipertahan serta dimartabatkan orang Melayu. Bagaikan irama dan lagu, Islam dan Melayu menjadi satu entiti yang telah sebati dan tidak boleh dipisahkan seperti mana yang tergambar dalam takrifan Melayu dalam Perlembagaan negara kita.      
                       
Satu hakikat yang perlu diperjelaskan semula ialah memahami Malaysia adalah sebuah Negara kelahiran Benua Melayu atau lebih dikenali sebagai Alam Melayu sebagai sebuah benua miritim yang terdiri daripada ribuan pulau besar dan kecil (berjumlah:17,508) menempatkan ratusan kelompok entik, kepelbagaian budaya dan bahasa(melebihi 300 bahasa dan dialek) sejak dari zaman awal sejarah hinggalah kedatangan kuasa-kuasa asing : Hindu, Buddha, dari tanah besar India, Islam dari Timur Tengah dan Kristian dari Eropah barat.

Namun identiti Melayu tetap utuh seperti yang terungkap dalam cetusan citra bahasa dan budaya.

Ada empat perkara penting yang dapat kita ambil daripada pengalaman ini. Pertama dari aspek entisiti. Apa yang dikenali dengan rumpun Melayu ialah penjelasan tentang satu bangsa yang memilikki citra bahasa dan budaya tersediri. Walau pun terdapat ribuan dialek , bahasa sub-etnik yang terdapat di Alam Melayu, namun mereka tetap menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa milik bersama. Dalam konteks inilah sejak zaman keagungan Melaka lagi telah menyebutkan Bahasa Melayu sebagai lingua franca membolehkan para pedagang luar dan dalam berinteraksi.

Kedua dari segi kedudukan geografi yang melibatkan penghijrahan orang-orang Melayu serumpun. Sebelum kedatangan kuasa-kuasa Barat Eropah, bagi penduduk di rantau ini mereka bebas bergerak dan bermastautin di mana sahaja mereka mahu, dengan erti kata lain tempat disinggahinya adalah tempatnya juga. Tidak timbul istilah “pendatang haram”, sebagai contoh jika seseorang itu meninggalkan pulau Jawa dan menetap di pulau Singapura atau sebaliknya.

Ketiga, hasil daripada interaksi orang-orang Melayu dengan bangsa-bangsa asing sama ada dalam bidang perdagangan, ketenteraan dan diplomasi ia telah menjadikan bangsa Melayu cukup kaya dengan pengalaman dan keupayaan berinteraksi dan bergaul dengan bangsa-bangsa asing di samping dapat mengekalkan identiti KeMelayuannya. Justeru itu keberadaan kita dalam konteks masyarakat majmuk ini memang sudah mendarah mendaging bagi kaum rumpun Melayu.

Kempat, dalam konteks sejarah kedatangan Islam dan cara penyampaian penerimaan Islam di rantau ini perlu diperjelas dalam perspektif yang betul. Kedatangannya adalah melaui proses dakwah dan tarbiah, lewat kegiatan pendakwahan dan tradisi sufi. Daripada penelitian kita ke atas bahan-bahan sastera, histriografi dan sejarah dan beberapa penulisan ilmiah, kita dapati kehadiran Islam lewat dakwah dan tarbiah ke alam Melayu sekitar abad 13 dan 14 benar-benar mendapat tempat dan serasi dengan psyche orang Melayu. Kita ambil contoh kedatangan agama Hindu di awal abad pertama dan kedua, kemudian agama Buddha di abad-abad berikutnya , diikuti pula dengan Islam pada abad-abad ke13 dan 14 dan seterusnya didatangi pula kuasa-kuasa Eropah Barat di abad-abad 16 dan 17 dan 18. Secara relatif kesan yang ditinggalkan Islam adalah lebih dominant berbanding dengan Hindu, Buddha dan Kristian walau pun dari segi jangka waktu kehadiran mereka lebih lama berbanding dengan Islam, seperti yang pernah diperkatakan (Syed Naquib Al-Attas: 1990)

Dalam perbincangan kita mengenai pengalaman sejarah yang telah dilaluinya, rantau Melayu umumnya dan Malaysia khasnya memang cukup kaya dengan tradisi amalan berinteraksi, berdialog antara budaya, agama, fahaman dan berupaya mengekalkan kerukunan hidup dalam suasana kemajmukan seperti yang terungkap dalam konsep bhineka tunggal ika, kesatuan dalam kepelbagaian (unity in diversity).

Islam yang dijadikan anutan fahaman dan amalan beragama membawa perubahan besar cara berfikir umat. Islam membawakan konsep keadilan sejagat, keadilan pemerintahan, tanggungjawab pemimpin, hak rakyat, hak asasi manusia berbanding dengan yang sebelum kedatangan Islam. Ajaran Islam yang bersumberkan al-Qur’an dan al-Sunnah membolehkan keilmuan Islam terbina dengan epistemologinya yang mencakup seluruh aspek kehidupan sehingga membentuk world-view (tassawwur) nya sendiri.

Dari segi aplikasinya dapat kita saksikan dalam perbicangan berikut. Pendekatan para mubaligh dan pendakwah Islam dalam menyebarkan Islam di rantau ini turut menyumbang kepada pembinaan tradisi berinteraksi dan berdialog berdasarkan kekuatan kerohanian dan ilmu. Tokoh mubaligh sembilan wali (wali songo) lewat wayang kulit , demikian pula tokoh sufi-pendakwah-penulis lewat hasil tulisan mereka sebagai contoh, Hamzah Fansuri dan kemudian Raja Ali.

Dalam konteks ini, malah lebih tepat lagi kita dapat sebutkan sumbangan Nuruddin al-Raniri (1656M) yang membahas kewujudan pelbagai aliran fahaman agama dengan pendekatan dialog perbandingan dengan karyanya bertajuk Tibyan Fi Ma ‘rifat al-Adyan. Pada hemat kami Tibyan merupakan kesinambungan tradisi kesarjanaan dalam bidang perbandingan agama dan dialog ketamadunan di zaman sebelumnya (Zainul Amal:2002) seperti Al- Biruni (1048M) dengan karya berjudul Kitab al-Hind, Ibn Hazm (1064M) dengan karya bertajuk Al-Fasl Fi al-Milal wa al-Ahwa wa al-Nihl, Al-Syahrastani (1153M) dengan kitabnya berjudul Al-Milal wa al-Nihl dan Ibn Taimiyah (1317M) dengan Al-Jawab al-Sahih Liman Baddala Din al-Masih.

Apa yang dapat kita simpulkan daripada pemaparan di atas ialah wujudnya kekuatan intelektual (quwwah al-‘aql) yang dipelopori oleh para ulamak silam dan dipadukan pula dengan kekuatan spiritual (quwwah al-ruh) yang wujud pada diri mereka sendiri . Sesungguhnya tradisi pemaduan kedua-dua kekuatan ini benar-benar menjadi asset terpenting bagi pembinaan sesebuah tamadun .

Islam sebagai agama yang ditanzilkan diperuntukkan oleh Penciptanya kepada seluruh manusia, justeru Islam adalah milik manusia di mana sahaja mereka berada sesuai dengan konsep qur’aniy, rahmatan lil alamin (Q 21 ayat 107) yang memberi makna : Islam membawakan kesejahteraan kepada seluruh alam.

Fenomena masyarakat majmuk bukan perkara asing bagi Islam. Al-Qur’an memperjelaskannya dalam banyak tempat antaranya yang bermaksud:

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami jadikan kamu daripada lelaki dan perempuan dan
Kami jadikan kamu berbangsa dan berpuak-puak semoga kamu dapat kenal mengenali
anatara satu sama lain” (Al-Hujurat, S49 ayat 13)

“Dan di antara tanda-tandaNya ialah kejadian penciptaan langit dan bumi dan
kepelbagaian bahasa dan warna kulit di kalangan kamu, sesungguhnya ia adalah menjadi bukti bagi mereka yang berilmu” (Al- Rum, ayat 22)

Islam juga mengakui kewujudan pelbagai agama selain daripada Islam seperti yang terungkap dalam ayat-ayat berikut, maksudnya:

“Dan jika dikehendakki Tuhanmu, tentu beriman semua manusia yang ada di bumi;
lantaran itu, patutkah engkau (Muhammad) hendak paksa manusia sampai mereka
menjadi mu’minin (beriman)” (Yunus, S10 ayat 99)

“Dan sekiranya Tuhanmu menghendakki, nescaya Ia jadikan manusia (semua) satu umat, tetapi tetap mereka berselisih (berbeza-beza)” (Hud, S11, ayat 118)


“Dan kalau Allah mahu, nescaya Ia jadikan kamu (semua) satu umat, tetapi ia sesatkan
siapa yang Ia kehedakki dan Ia pimpin siapa yang Ia kehendakki; dan kamu akan ditanya darihal sesuatu yang kamu telah kerjakan” (al-Nahl, S16, ayat 93)

Mengenai pengakuaan Islam terhadap kewujudan pelbagai agama bukanlah bermakna Islam mengakui kebenaran agama-agama tersebut. Memang, dalam soal akidah, tidak ada kompromi bagi Islam tetapi dalam soal-soal lain masih banyak ruang yang sememangnya Islam sangat galakkan umatnya berinteraksi dengan kelompok kelompok berlainan agama.

Jika kita teliti kandungan al-Qur’an mengenai agama-agama lain seperti Yahudi dan Nasara (Kristian) dan Majusi yang banyak diceritakan bukan tentang akidahnya, tetapi tentang tingkahlaku bangsa atau kaumnya. Justeru dalam usaha mendekati mereka al-Qur’an cukup teliti, dengan pendekatan yang lunak serta sistematik seperti yang biasa dijelaskan dalam konteks dakwah (Rujuk maksud ayat-ayat al-Qur’an berikut:

“Ajaklah mereka kepada jalan Tuhan dengan bijaksana dan pengajaran yang baik, dan bertukar fikiranlah dengan mereka menurut cara yang sebaik-baiknya…. Al-Nahl S 16 ayat 125).

Demikian juga dalam hal umat Islam bermuamalah dengan bukan Islam, prinsip keadilan sejagat dijadikan asas seperti yang terungkap dalam an tahkumu bil ‘adl (al-Nisa,4 ayat 48) dan ungkapan ‘idilu, huwa aqrabu li al-taqwa (al-Maidah S 5 ayat 8) . Dan sekiranya diadakan dialog (jidal) dengan pihak-pihak berlainan fahaman agama maka prinsip yang harus dijadikan pegangan ialah bil lati hiya ahsan, menurut cara terbaik.

Dalam konteks menyediakan suasana selesa bagi pemupukan keharmonian hidup beragama dalam sebuah masyarakat majmuk kita akan beri perhatian kepada ungkapan ayat: La ikraha fi al-din qad tabayyana al-rusyd min al-ghayyi , bermaksud: Tidak ada paksaan pada agama. Telah nyata kebenaran daripada kesesatan..(al- Baqarah, S2 ayat 256)

Dariapda ayat di atas lahirlah prinsip -prinsip berikut: Yang pertama, Dalam perkara fahaman dan anutan agama seseorang tidak boleh memaksakan kepada orang lain untuk mengikuti fahaman agamanya. Ini bererti Islam memberi kebebasan untuk memilih agama yang diyakininya.

Kedua, Pada dasarnya dalam tatacara kehidupan umat, orang bukan Islam bebas menganut agama menurut keyakinan mereka dan mereka bebas mengamalkannya.

Ketiga, Islam mengiktiraf kemampuan manusia berbanding dengan makhluk lain untuk menggunakan akalnya dengan memberi kebebasan untuk membeza , memilih yang mana satu benar atau salah.

Keempat, Islam memberi ruang seluas-luasnya kepada kekuatan intelek untuk melakukan penelitian dengan hujah-hujah ilmiah untuk sampai kepada kebenaran. Ungkapan qad tabayyana al-rusyd min al-ghayyi memberi maksud kebenaran tetap terserlah apabila bercampur baur dengan pelbagai kepalsuan dengan syarat dilakukan penelitian dan penyelidikan ilmiah. Dengan perkataan lain Islam memberi kebebasan seluas-luasnya untuk berhujah, memeriksa butir-butir kebenaran (scrutiny and vetting) serta merumusnya berdasarkan hujah-hujah yang sah.

Daripada empat prinsip di atas dapat ditarik kesimpulan bahawa Islam memberi ruang yang cukup selesa kepada kehidupan masyarakat berbilang agama bukan setakat berinteraksi dalam urusan harian, bahkan dalam wacana intelektual dan keilmuan hatta menyangkut soal kepercayaan dan akidah sekalipun jika sekiranya ada kemampuan dan kesediaan yang ikhlas pihak-pihak terlibat.

Apa yang lebih penting ialah kesediaan Islam untuk diteliti (scrutinize) , dianalisis secara kritikal (critically analyzed ) segenap aspek ajarannya (Abm. Mahbubul Islam: 2002). Atas semangat inilah ahli ilmuan Islam silam mempamerkan Islam di mata orang bukan Islam.

Apa yang kita telah bincangkan semunya merujuk kepada potensi besar yang disediakan Islam kepada umatnya dalam menempuh realiti kehidupan masyarakat berbilang kaum etnik dan agama. Prinsip toleransi beragama, kebebasan beragama, sikap saling hormat menghormati di antara satu sama lain yang berlainan anutan agama adalah sebahagian daripada ajaran Islam yang wajib dilaksanakan.

Dengan menjadikan peristiwa 13 Mei 1969 sebagai nota peringatan kepada rakyat Malaysia berbilang kaum, agama dan budaya, tidak keterlaluan jika menganggap Malaysia setakat ini berjaya mengekalkan keharmonian hidup beragama di kalangan rakyatnya.

Terdapat beberapa faktor menyumbang kepada keadaan ini antaranya ialah peruntukan perlembangan perkara 11 (3). Perlembangaan Persekutuan menyebutkan bahawa , di bawah tajuk Kebebasan Beragama menjamin tiap-tiap kumpulan agama berhak mengamal, mengurus hal ehwal agama, menubuh, menyelanggara yayasan, dan memperoleh, memilikki harta bagi kepentingan agama mereka. Peruntukan ini ada kaitannya dengan perkara 3 Perlembagaan, iaitu Islam sebagai Agama Negara. Implikasi daripada peruntukan perlembagaan ini ialah penerimaan semua kaum beragama terhadap Islam sebagai agama “rasmi” negara dan yang paling penting lagi ialah keyakinan orang bukan Islam terhadap Islam sebagai agama yang memperjuangkan hak kebebasan beragama orang lain. Memang sewajarnyalah, seperti yang kita bincangkan sebelum ini, jika sekiranya tidak disebut pun dalam perlembangaan, Islam pastinya secara de facto memberikan kebebasan beragama dan mengamalkannya.


Peranan badan-badan bukan kerajaan (Ngos), pertubuhan-pertubungan hubungan antara agama (interfaiths), badan dakwah dan sukarela seperti MIRO (Malaysian Interreligious Organization) ditubuhkan pada tahun 1957, dianggap sebagai pelopor utama dalam menimbulkan kesedaran perlunya kesefahaman dan perasaan hormat-menghormati di kalangan penganut berlainan agama. Malangnya MIRO tidak aktif lagi apabila Kerajaan Malaysia menubuhkan Lembaga Perpaduan Negara (National Unity Board pada awal 1970an. Kemudian dengan penubuhan Angkatan Belia Islam pada awal 1970an, tumpuan juga mula diberi dalam aktiviti latihan perkheman pemuda daripada berlainan agama (inter-religious youth camps) pada akhir tahun 1970an.

Perkembangan selepas 1979 (revolusi Iran dan kebangkitan semula Islam) memperlihatkan keaktifan badan-badan antara agama tanpa diturut serta oleh pihak Islam. Umpamanya penubuhan Majlis Perundingan Agama-agama Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh pada bulan Ogos 1983, walau pun mempromosikan kesefahaman dan perasaan hormat-menghormati di kalangan penganut pelbagai agama, tetapi matlamat utama-nya ialah menjadikan badan itu sebagai forum – jambatan bagi menyatakan hasrat dan kesangsian berkait dengan hal-ehwal kehidupan beragama kaum bukan Islam kepada pihak Kerajaan yang pada waktu itu telah melancarkan dasar penerapan nilai- nilai Islam (Islamisasi).

Pembentukan satu rupabangsa (yang berlainan aqidah kepercayaan, tetapi) berkongsi hidup dalam sebuah negara yang mampu hidup secara aman dan saling Bantu- membantu di antara satu sama lain bukanlah satu yang mustahil kerana hal ini telah dilaksanakan oleh Rasullah s.a.w. sejak daripada zaman permulaan Islam lagi. Rasulullah telah membentuk satu ummah yang terdiri daripada orang-orang Islam (Muhajirin dan Ansar) yang berlatarbelakangkan pelbagai puak dan bangsa. Di samping orang-orang Islam, konsep ummah yang digagaskan Rasulullah s.a.w. ini juga turut memasukkan orang-orang Yahudi yang menjadi warga negara Islam Madinah. Piagam Madinah memberikan hak sama rata kepada seluruh penduduk tanpa sebarang diskriminasi.

Satu hal yang seharusnya disedari dan diakuri oleh seluruh masyarakat Malaysia ialah konsep Melayu yang universal atau sejagat. Pada umumnya istilah Melayu yang diterima pakai di negara kita tidak hanya merujuk kepada kumpulan etnik atau rumpun bangsa tertentu, tetapi lebih kepada kesamaan atau kesepakatan sistem nilai dan budaya yang diterima bersama. Dengan perkataan lain, istilah Melayu tidak hanya dieksklusifkan kepada etnik asal Alam Melayu, tetapi etniki-etnik pendatang seperti Cina, India, Arab dan lain- lain juga diterima orang Melayu sebagai sebangsa dengan mereka apabila masyarakat tersebut bersedia menerima system nilai dan budaya Melayu sebagai pegangan hidup mereka.

Kekosmopolitanan bangsa Melayu masih boleh kita perhatikan hingga kini dari segi rupa fisikal yang pelbagai. Oleh kerana bangsa Melayu bersifat kosmopolitan, maka mereka tidak pernah memandang rendah atau hina kepada mana-mana bangsa lain. Budaya Melayu tidak menilai manusia berdasarkan warna kulit atau bentuk fisikal, tetapi budaya Melayu mengajar kita menilai manusia berdasarkan hati budinya. Budaya
Melayu amat menjunjung tinggi budi seseorang sepertimana tergambar dalam pantun Melayu; Pisang emasa dibawa belayar, masak sebiji di atas peti, hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa ke mati.

Pergeseran kaum tidak pernah berlaku berpunca daripada perbezaan pegangan agama kerana mereka saling hormat menghormati antara satu sama lain. Sebagai masyarakat beragama, kita tidak seharusnya hanya menumpukan kepada usaha memperkasa ekonomi semata-mata, tetapi kita juga perlu bergerak untuk membina keutuhan moral atau akhlak bangsa. Kita perlu maju dan berjaya dalam acuan kita sendiri.  Apa gunanya kita maju dari segi ekonomi sekiranya masyarakat ini runtuh dari segi moralnya.

Gabungan moral yang tinggi serta ekonomi yang mantap merupakan tunjang kepada pembinaan masyarakat Hadhari. Inilah yang sedang disasarkan oleh negara kita sekarang.

Matlamat utama pembentukan masyarakat Hadhari ialah untuk membangunkan warga Malaysia menurut acuan kita sendiri, yang berasaskan masyarakat cemerlang, gemilang dan terbilang melalui Sepuluh Prinsip Utama yang telah digarsikan Perdana Menteri, iaitu; Keimanan dan ketaqwaan kepada Ilahi, Kerajaan yang adil dan beramanah, Rakyat yang berjiwa merdeka, Penguasaaan ilmu pengetahuan, Pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif, Kehidupan berkualiti, Pembelaan hak kumpulan minority dan wanita, Keutuhan budaya dan moral, Pemeliharaan alam semulajadi, Kekuatan pertahanan.

Kesepuluh prinsip yang digariskan tersebut jelas menggambarkan bentuk masyarakat dan negara yang ingin diwujudkan. Sebuah masyarakat yang progresif, aman dan makmur dengan keadilan yang merata. Ia merupakan satu usaha yang amat murni yang wajar didokong oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira apa fahaman politik mereka.

Dalam usaha mencapai cita-cita murni tersebut, banyak perkara yang perlu kita lakukan dan kadangkala terpaksa kita korbankan. Dalam usaha melahirkan rakyat yang berjiwa merdeka umpamanya, menuntut kita berfikiran terbuka. Terbuka dalam ertikata bersedia menerima pandangan orang lain, berbagai pandangan politik dan sikap social yang berbeza. Ini bermakna, setiap anggota masyarakat seharusnya saling berlapang dada dalam menerima pandangan yang berbeza-beza, tanpa ada pemaksaan untuk  orang lain untuk menerima pandangan kita.

 
Penutup

Kita dapat menjelaskan bahawa peranan Islam sebagai unsur terpenting yang membentuk world -view umat Melayu yang mempunyai kekuatan ruhani dan intelek . Dengan kekuatan itu ia membolehkan umat ini mempunyai kemahiran berkomunikasi , berinteraksi dengan sesiapa sahaja walaupun dengan orang asing. Budaya dan psyche orang Melayu yang berlandaskan Islam telah membentuk ciri-ciri kelembutan, mudah bersahabat, empatik dan toleran. Semua ini merupakan khazanah besar yang sedia ada dan yang perlu dipelihara, dipupuk dan disuburkan.

Dalam konteks masyarakat Malaysia, terutama sekali apabila melibatkan soal kehidupan beragama- dalam hal ini mahu memastikan kerukunan hidup beragama di kalangan kaum berlainan anutan agama, orang Melayu (Islam)lah yang harus mendahului usaha-usaha ini.

Sebagai warga Malaysia, kita semua berharap akan menjadi sebahagian masyarakat negara maju menjelang tahun 2020. Maju dari segi pencapaian material dan sains teknologi, serta mantap dari segi kerohanian dan perpaduan nasional. Maju mengikut piawaian global tetapi mengikut acuan kita sendiri. Malaysia ingin menjadi sebuah negara yang kekal berdaulat, aman makmur dan bersatupadu dengan setiap rakyatnya menjunjung tinggi nilai-nilai moral dan etika, bersifat demokratik, bertolak-ansur, penyayang, adil dan mampu menjadi tauladan kepada orang lain. Marilah sama-sama kita merealisasikan cita-cita murni ini sehingga Malaysia lahir sebagai model Negara terbaik yang akan disegani dan dicontohi masyarakat lain.


0 comments:

Post a Comment