Huraikan lima langkah bagi mewujudkan suasana sosial bilik darjah yang baik.
Bilik darjah merupakan persekitaran yang unik. Oleh itu, bilik darjah perlu ada gabungan elemen fizikal, emosi, dan sosial. Elemen-elemen ini bakal mempengaruhi murid dan guru yang berada di dalamnya. Untuk mewujudkan suasana bilik darjah yang baik, terdapat beberapa langkah yang boleh dijalankan. Di sini, kita akan menyenaraikan lima langkah bagi mewujudkan suasana sosial bilik darjah yang baik.
Yang pertama, guru haruslah mengamalkan prinsip demokrasi di dalam bilik darjah agar dapat memperbaiki komunikasi dan hubungan sosial dalam kelas. Dengan wujudnya amalan demokrasi dalam bilik darjah akan melahirkan suasana sosial yang kondusif dan harmoni. Mereka bebas menyuarakan pandangan walaupun pandangan mereka itu kurang disenangi oleh guru dan rakan lain. Sebagai contoh, apabila guru mengajar subjek Sains, suatu eksperimen itu pasti mempunyai banyak hipotesis yang berbeza, maka guru perlu menerima hasil kajian eksperimen dengan terbuka agar murid-murid berpendapat hasil kajian mereka dihargai. Jikalau prinsip demokrasi diwujudkan dalam kelas, maka murid tidak akan rasa berasa takut atau tertekan untuk menyuarakan pendapat mereka.
Di samping itu, guru berperanan penting dalam mewujudkan budaya bilik darjah yang dinamis. Dalam satu proses pengajaran dan pembelajaran, ia seharusnya mementingkan aspek nilai-nilai murni. Nilai-nilai murni ini berupaya membina hubungan yang mesra di antara sesama murid, dan murid dengan guru. Sekiranya kedua-dua pihak iaitu guru dan murid menunjukkan nilai-nilai murni yang baik, maka satu budaya belajar yang ceria dan meyeronokkan akan diwujudkan melalui tindakan yang berhemah, yang dibaluti dengan perasaan kasih sayang. Ini dapat memberi peluang yang terbaik untuk mengembang potensi diri mereka ke arah pembentukan modal insan yang berkauliti.
Selain itu, kemahiran berkomunikasi juga memainkan peranan penting ke arah pembentukan budaya penyayang dalam satu bilik darjah. Komunikasi yang berkesan dapat dijelmakan dalam cara bertutur, penggunaan bahasa badan, penulisan, dan juga melalui penggunaaan alat-alat tertentu seperti komputer. Apabila seorang guru menggunakan kemahiran berkomunikasi terhadap muridnya, maka ia dapat menghasilkan satu suasana pembelajaran yang mementingkan pembentukan akhlak. Komunikasi berkesan juga berupaya menghasilkan motivasi yang berkesan kerana murid mudah menerima motivasi yang disampaikan secara berhemah dan berhikmah.
Tambahan pula, guru perlulah bijak mengubah peranan mengikut kehendak situasi. Sekiranya berhadapan dengan situasi yang berbeza, guru perlu menukar cara berinteraksi yang bersesuaian dengan individu atau kumpulan berkenaan. Murid dalam sesebuah kelas adalah terdiri daripada individu-individu atau kelompok- kelompok yang berbeza. Guru yang prihatin dan sensitif harus dapat menyesuaikan diri mengikut keadaan. Misalnya, guru boleh mengaturkan murid yang lebih pandai duduk bersebelahan dengan murid yang kurang pandai. Maka, ini akan mewujudkan interaksi antara kedua-dua murid dan menjalinkan hubungan yang baik antara mereka.
Yang terakhir, guru haruslah sentiasa mengadakan perbincangan dalam kumpulan. Aktiviti perbincangan dalam kumpulan dapat dapat diertikan sebagai sekumpulan murid belajar secara berkerjasama untuk menyelesaikan sesuatu tugasan. Ketika aktiviti perbincangan dalam kumpulan, murid-murid akan berinteraksi dan saling bantu-membantu antara satu sama lain dengan tujuan mencapai kemajuan dan prestasi yang cemerlang. Selain daripada membuat perbincangan dalam proses pengajaran dan pembelajaran, guru juga boleh mewujudkan lebih banyak peluang kepada murid-murid membuat kerja dalam kumpulan seperti membuat paparan bacaan dan penyediaan sudut bacaan. Dengan bantuan guru, perbincangan dalam kumpulan pasti akan mewujudkan suasana bilik darjah yang baik.
Kesimpulannya, suasana sosial bilik darjah yang baik berupaya menjamin kelancaran dan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Langkah-langkah yang dinyatakan atas mampu menjadikan bilik darjah itu sebagai “rumah kedua” untuk murid-murid. Apabila diri dan bilik darjah berada dalam keadaan yang selesa maka pembelajaran dapat berlaku dengan baik sekali. Oleh itu, sebagai seorang bakal guru, kita seharusnya mengetahui dan melaksanakan langkah-langkah yang sesuai untuk mewujudkan suasana sosial bilik darjah yang baik demi kebaikan murid.
0 comments:
Post a Comment