Teori Disiplin Asertif yang dikemukakan oleh Canter dapat diaplikasikan oleh guru untuk menangani masalah disiplin dalam kelas. Terangkan 4 cara disiplin asertif ini dapat diaplikasikan oleh guru terhadap murid-muridnya.
Pengenalan
Dalam Teori Disiplin Asertif yang dikemukakan oleh Canter. Canter menekankan tentang hak guru dan murid dalam pengurusan bilik darjah. Hak murid untuk belajar dalam persekitaran dan kondusif dan hak guru untuk mengajar tanpa gangguan. Oleh itu, terdapat beberapa cara yang dapat diaplikasikan oleh guru untuk mengatasi masalah disiplin murid melalui model disiplin asertif canter ini. Berikut merupakan cara-caranya.
Menetapkan peraturan
Salah satu cara disiplin asertif adalah menetapkan peraturan kelas. Menurut Canter, murid-murid memilih untuk bertingkah laku. Oleh itu, guru perlu menyediakan persekitaran pembelajaran yang dapat membantu murid memilih tingkah laku yang sesuai dan bermanfaat. Untuk mencapai persekitaran yang kondusif, keperluan-keperluan guru dan murid perlu dipenuhi melalui pengurusan bilik darjah yang asertif. Hal ini boleh dilakukan dengan mengadakan peraturan yang jelas di dalam bilik darjah.
Misalnya, guru kelas Tahun Tiga Merah dan murid-muridnya bersama-sama menetapkan peraturan-peraturan kelas pada awal tahun. Salah satu peraturan adalah mengenai murid yang tidak membawa buku teks yang berkenaan ke sekolah, akan dihukum berdiri di dalam kelas sepanjang waktu kelas tersebut sambil berkongsi dengan rakan yang duduk di bersebelahannya. Pada suatu hari, salah satu murid cemerlang dalam kelas tersebut, Sally telah terlupa membawa buku teks Bahasa Melayu ke sekolah. Guru harus menghukumnya berdasarkan peraturan yang telah ditetapkan tanpa mengira pencapaian akademik murid tersebut adalah cemerlang atau lemah. Maka, guru menghukum Sally berdiri di dalam kelas sepanjang waktu kelas tersebut sambil berkongsi dengan rakan yang duduk di bersebelahannya.
Dengan cara ini, Sally akan mengingatkan diri supaya tidak akan mengulangi kesalahan yang sama pada masa yang akan datang. Selain itu, semua murid dalam kelas akan menyedari kepentingan mematuhi peraturan kelas yang telah ditetapkan. Dengan berlakunya kes Sally, murid-murid yang lain juga akan mengingatkan sendiri supaya elak daripada mengulangi kesalahan yang dilakukan oleh Sally.
Peneguhan
Peneguhan juga merupakan salah satu cara disiplin asertif. Model Teori Disiplin Asertif berasaskan peneguhan terhadap tingkah laku yang diingini dan penerimaan murid terhadap akibat daripada tingkah laku yang ditunjukkan. Apabila murid-murid mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan, guru memberikan peneguhan seperti penghargaan, pujian atau ganjaran. Sebaliknya apabila murid melanggar peraturan, guru mengenakan peneguhan negatif yang berstruktur, iaitu murid-murid sedaya upaya akan mengelak daripada akibat dengan mematuhi peraturan.
Sebagai contoh, dalam kelas Tahun Empat Hijau, bukannya semua murid akan menghantar kerja rumah yang diberikan oleh guru kelas dalam masa yang ditetapkan. Malahan terdapat beberapa murid dalam kelas tersebut yang sering tidak menghantar kerja rumah mereka.
Guru kelas tersebut haruslah memberi peneguhan seperti pujian atau hadiah dalam kelas kepada murid-murid yang menyiapkan dan menghantar kerja rumah dalam masa yang ditetapkan. Dengan cara ini, murid-murid tersebut akan terus mengamalkan tingkah laku yang baik tersebut pada masa yang akan datang. Pada masa yang sama, peneguhan tersebut juga diberikan kepada murid-murid yang lain dalam kelas terutamanya mereka yang tidak menghantar kerja rumah atau tidak menyiapkan kerja rumah pada masa yang ditetapkan. Dalam masa yang singkat, sesetengah murid yang tidak menghantar atau menyiapkan kerja rumah akan berubah sikap seperti menghantar kerja rumah pada masa yang tepat atau menyiapkan kerja rumah supaya mendapat pujian atau hadiah yang telah diberikan oleh guru.
Pada masa yang sama, guru kelas haruslah mengenakan peneguhan negatif terhadap mereka yang tidak menghantar dan menyiapkan kerja rumah. Guru memberi amaran yang terakhir kepada murid yang tidak menghantar dan menyiapkan kerja rumah pada masa yang ditetapkan dan berjanji akan menghantar mereka berjumpa dengan guru disiplin sekolah. Sekiranya masih terdapat segelintir murid yang enggan mengubah sikapnya untuk menyiapkan dan menghatar kerja rumah yang diberi, guru harus menghantar mereka berjumpa dengan guru disiplin sekolah. Dengan ini, murid-murid sedaya upaya akan mengelak daripada akibat dengan menghantar dan menyiapkan kerja rumah pada masa yang ditetapkan.
Pendekatan asertif
Canter berpendapat pendekatan yang terbaik untuk menguruskan disiplin bilik darjah adalah dengan menggunakan pendekatan asertif. Guru yang mengamalkan pendekatan asertif tahu apa yang diingin oleh daripada murid-muridnya. Mereka akan menyatakan dengan jelas kemahuan mereka terhadap tingkah laku murid yang diingini, perasaan mereka terhadap tingkah laku murid dan menyokong tindakan-tindakan mereka dengan perlakuan yang boleh diterima oleh murid. Guru yang asertif membantu muridnya untuk memahami bentuk tingkah laku yang dapat membawa kejayaan dan tingkah laku yang menyusahkan dan ke arah kegagalan.
Sebagai contoh, rutin dan peraturan bilik darjah ditetapkan dengan jelas dan diterangkan kepada murid-murid tentang kepentingan rutin dan peraturan tersebut. Murid-murid juga diberitahu perasaan guru sekiranya mereka mematuhi atau melanggar peraturan tersebut. Murid-murid diterangkan akibat-akibat yang munasabah sekiranya mereka melanggar peraturan. Penjelasan guru diterangkan secara perbincangan dengan murid-murid dan bukannya berbentuk ancaman. Murid-murid sedar dan jelas sebab peraturan itu diadakan dan tahu akan kesan apabila peraturan tersebut tidak dipatuhi.
Guru asertif tidak akan membawa imej yang garang, kasar atau terlampau tegas. Mereka dapat mengenalpasti peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi oleh murid-murid dan pada masa yang sama mengambil berat terhadap keadaan murid serta berlaku adil terhadap semua murid. Guru yang asertif memberikan arahan dengan jelas dan tegas. Contohnya, ‘ peraturan kelas kita ialah angkat tangan unutuk menjawab soalan’ atau ‘angkat tangan dan tunggu dengan senyap, cikgu akan memanggil awak.’ Secara ringkasnya, pendekatan asertif ini dapat menjamin hubungan baik antara guru dengan murid dan dapat menguruskan bilik darjah dengan lebih konsisten. Hal ini dapat membantu membina persekitaran pembelajaran yang tenang dan menyokong perkembangan pembelajaran murid.
Tindakan pembetulan
Menurut Canter, akibat atau tindakan pembetulan boleh dikenakan kepada murid-murid yang mengganggu hak murid-murid lain untuk belajar dengan selesa. Tindakan pembetulan bukanlah bertujuan untuk mendera murid secara fizikal atau psikologi walaupun kadangkala tindakan pembetulan akan menimbulkan rasa kurang selesa murid.
Canter menegaskan matlamat tindakan pembetulan dapat memberikan keadilan kepada semua murid dan tindakan itu perlu konsisten. Apabila tindakan pembetulan hendak dikenakan kepada murid, murid tersebut perlu diberitahu bahawa disebabkan tingkah laku yang ditunjukkan oleh mereka bercanggah denagn peraturan yang telah ditetapkan, maka tindakan pembetulan itu perlu dilaksanakan.
Canter menyatakan bahawa guru akan gagal menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif kepada murid-murid sekiranya mereka tidak mengambil tindakan terhadap tingkah laku yang mengganggu pembelajaran tersebut. Apabila salah laku berlaku hal ini perlu ditangani dengan tenang dan pantas. Sehubungan itu, Canter menasihatkan guru untuk membuat hierarki disiplin mengikut keutamaan berserta tindakan pembetulan/akibat yang akan dikenakan. Setiap tindakan pembertulan/akibat dalam hierarki akan menjadi semakin serius daripada sebelumnya.
Kesimpulannya, terdapat empat cara yang dapat guru aplikasikan dalam pengurusan disiplin para murid iaitu, menetapkan peraturan kelas, peneguhan, pendekatan asertif dan tindakan pembetulan. Nescaya jika cara-cara ini diaplikasikan dengan baik dan mendapat sokongan daripada ibu bapa, masalah disiplin dalam bilik darjah dapat dikurangkan dan diselesaikan.
2 comments:
gud one
thank you info..betul2 membantu saya..
Post a Comment