My ads

Friday, November 12, 2010

ISL 3

Tajuk:

Merujuk kepada Bab 4 dalam Smaldino. S.E, etal. (2005). Instructional technology and media for learning. (8th ed.). new Jersey: Pearson Educational Inc. kajikan kualiti di mana seseorang pereka cipta harus teliti dalam penghasilan reka bentuk visual yang menarik.

Untuk penghasilan rekabentuk visual yang menarik, prinsip visual berkaitan dengan kaedah atau cara menggunakan elemen-elemen grafik perlu dikajikan oleh seseorang pereka cipta dengan teliti. Prinsip ini tidak harus dilihat sebagai suatu peraturan yang rigid, namun pengetahuan tentangnya dapat memandu kita dalam menghasilkan sesuatu rekaan yang baik. Terdapat enam prinsip grafik iaitu simplisiti, dominan, pola, seimbang, variasi dan harmoni.

Simplisiti ialah sesuatu rekaan haruslah memungkinkan kefahaman yang cepat dan jelas. Simplisiti juga boleh ditakrifkan sebagai sesuatu hasil mestilah nampak mudah dibaca atau difahami tetapi masih boleh menarik perhatian. Contohnya, tulisan yang ditulis seperti ukiran kerawang memang cantik dipandang. Akan tetapi, jika tujuan ukiran adalah supaya mesej mudah dibaca dan difahami, tulisan ini tidak sesuai digunakan kerana ia sukar dibaca. Cara yang terbaik ialah dengan mempersembahkan satu perkara pada satu masa.

Dominan pula boleh diertikan dengan pusat penumpuan atau minat. Dalam sesuatu rekaan visual, objek atau item utama mesti ditonjolkan agar dibaca maksud dengan mudah. Terdapat pelbagai cara untuk mencapai dominan. Antaranya ialah menggunakan Peraturan Satu Pertiga (Rule of Third), warna dan bentuk yang kontras, saiz yang lebih besar, menggunakan anak panah menunjukkan ke arah item utama, menggunakan garis yang menunjuk item utama, mewujudkan gerakan dalam rekaan visual seperti pergerakan cecair, guli atau kipas dan menggunakan lampu atau cahaya memancar.

Pola atau corak berkaitan dengan soal susunan item-item dalam sesuatu rekaan visual. Aspek susunan ini amat dititikberatkan kerana ia dapat menarik penglihatan mata ke arah item utama dan menggerakkan penglihatan mata kepada keseluruhan visual dalam arah yang betul. Selain itu, ia juga dapat mengekalkan penglihatan mata dan seterusnya mengikuti aliran persembahan sampai ke titik akhir. Secara kesimpulannya, pola bermakna penyusunan elemen-elemen visual bagi menarik dan mengekalkan perhatian penonoton atau pembaca melihat maksud yang terkandung dalam visual.

Prinsip yang seterusnya ialah seimbang. Keseimbangan perlu dalam rekaan sesuatu visual. Jika rekaan sesuatu visual tidak seimbang, rekaannya nampak janggal dan tidak menarik. Elemen grafik disusun seimbang agar mempunyai daya penarik dan keselesaan mata memandang. Terdapat dua jenis seimbang iaitu seimbang formal dan seimbang tidak formal. Seimbang formal ialah seimbang yang sama atau simetri di antara dua bahagian kiri dan kanan atau atas dan bawah manakala seimbang tidak formal bermakna pembahagian yang tidak sama rata antara item kiri dengan kanan atau atas dengan bawah sesuatu rekaan visual.

Prinsip variasi juga penting dalam penghasilan rekabentuk visual yang menarik. Variasi menyokong pola untuk meningkatkan tarikan terhadap visual. Penggunaan elemen-elemen dalam sesuatu komposisi dapat menjadikan visual seolah-olah hidup.

Ketika ingin menghasilkan rekabentuk visual yang menarik, pereka cipta juga harus meneliti prinsip harmoni dalam suatu rekabentuk visual. Harmoni memberikan rasa yakin dan pasti kepada penonton atau pembaca kerana mereka dapat melihat hubungan antara elemen-elemen grafik, aliran persembahan, perspektif dan kesatuan mesej.

Dengan kesemua prinsip ini, prinsip ini akan memandu kita ke arah menghasilkan rekabentuk visual yang baik dan menarik.

Sumber:
  1. http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cache:QLFHsIoFV10J:www.freewebs.com/oum1/Bab%25204%2520PTP.ppt+prinsip+rekabentuk+visual&cd=1&hl=en&ct=clnk&gl=my
  2. http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cache:8ENuRap1AIcJ:www.sajadstudio.info/edu3015/Topik%25205%2520%2520Asas%2520Grafik.PPT+asas+grafik+%2B+rekabentuk+visual&cd=4&hl=en&ct=clnk&gl=my
  3. Prof. Madya Dr. Wan Zah Wan Ali, Prof. Madya Dr. Ramlah Hamzah & Dr. Rosini Abu. (2009). HBEF 3103 Prinsip Teknologi Pengajaran. Open University Malaysia (OUM). Kuala Lumpur.

1 comments:

Post a Comment