My ads

Showing posts with label Pendidikan Alam Sekitar. Show all posts
Showing posts with label Pendidikan Alam Sekitar. Show all posts

Wednesday, November 17, 2010

LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENGATASI MASALAH YANG MENGANCAM EKOSISTEM

LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENGATASI MASALAH YANG MENGANCAM EKOSISTEM

Pengenalan: 


Pencemaran yang melibatkan beberapa negara seperti pencemaran perairan pantai dan pencemaran udara yang disebabkan oleh jerebu memerlukan penglibatan yang aktif dari negara-negara yang terbabit untuk mendapatkan penyelesaian bersama.


Pencemaran Laut:

Kini, laut semakin terancam oleh aktiviti manusia yang ghairah mengejar materialistik tanpa menghiraukan implikasi kepada alam sekitar . Pencemaran di Asia Tenggara adalah berpunca daripada pelbagai faktor . Kepelbagaian faktor ini menyebabkan kualiti dan kuantiti air laut tercemar dengan begitu teruk tanpa ada satu vaksin yang mujarap untuk memulihkannya . Lebih 90% daripada punca pencemaran laut adalah disebabkan oleh aktiviti manusia dan baki 10% adalah berpunca dari sektor perkapalan.

Langkah dan kerjasama yang diambil oleh negara-negara berpantai di rantau Asia Tenggara. Terdapat tiga buah negara yang saling berkongsi perairan iaitu Malaysia, Indonesia dan Thailand . Ketiga-tiga negara ini saling terlibat dalam kerjasama yang bertujuan untuk mencapai kepentingan bersama . Malaysia dan Indonesia telah bekerjasama dalam usaha untuk mempertahankan kedaulatan Selat Melaka di bawah kedaulatan kedua-dua negara . Walaupun isu Selat Melaka bersifat rumit namun ia tidak pernah menghalang negara-negara berpantai untuk prihatin terhadapnya.

Kejadian yang berlaku pada 6 Januari 1967, telah memaksa negara-negara yang berpantai untuk mengambil satu tindakan yang positif terhadap kejadian tersebut . Di dalam tahun tersebut kapal tangki minyak Jepun yang dikenali sebagai Torry Canyon yang telah didaftarkan di Liberia telah terlibat dalam perlanggaran . Akibatnya berlaku pertumpahan minyak yang mana memerlukan kos yang tinggi untuk membersihkannya . Jumlah kos yang diperlukan pada ketika itu ialah 16 juta dollar.

Buat masa ini Malaysia dan Indonesia melalui ASEAN mereka telah menyalurkan pandangan mereka mengenai isu-isu Selat Melaka . Satu rancangan yang dikenali sebagai Rancangan Kontigensi Kebangsaan Mengawal Tumpahan Minyak telah diadakan di Jabatan Alam Sekitar . Objektif bagi kerjasama serantau ini membolehkan satu tindakan serta-merta dijalankan bagi mengawal tumpahan minyak ynag tertumpah di perairan Malaysia.


PUNCA-PUNCA DAN KESAN-KESAN AKTIVITI MANUSIA YANG MENGANCAM EKOSISTEM

PUNCA-PUNCA DAN KESAN-KESAN AKTIVITI MANUSIA YANG MENGANCAM EKOSISTEM


Pengenalan

    Ekosistem memainkan peranan yang penting dalam kehidupan manusia. Ia  adalah amanah dan anugerah Tuhan kepada manusia yang harus dipelihara sebagai warisan generasi yang berpanjangan. Satu keseimbangan wujud antara manusia dan organisma dengan alam sekitar dan  keseimbangan ini adalah dinamik, iaitu sentiasa berubah. Walaupun tanggungjawab menjaga alam sekitar sangat penting namun ianya seringkali diabaikan dalam keghairahan mengejar  kemajuan jasmaniah. Warisan ini sebenarnya terlalu tinggi nilainya dalam kehidupan manusia. Perbuatan mencemarkan alam sekitar adalah satu perbuatan yang bertentangan dengan nilai dan etika agama. Pembuangan bahan-bahan buangan secara tidak terkawal boleh mengakibatkan pencemaran ekosistem. Kebanyakan pencemaran yang berlaku disebabkan oleh aktiviti-aktiviti manusia.

            Pencemaran boleh ditakrifkan sebagai pembuangan benda-benda atau bahan-bahan hasil dari aktiviti manusia ke alam persekitaran menyebabkan terganggunya keselesaan atau kemandirian kehidupan. Pencemaran ialah pengumpulan bahan-bahan yang tidak sesuai kepada kehidupan di persekitaran kita. Bahan-bahan yang tidak sesuai ini dikenali sebagai bahan-bahan pencemar. Takrifan Pencemaran yang lebih bermaklumat adalah menurut Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 yang menyatakan bahawa pencemaran adalah sebarang perubahan sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada sifat-sifat fizik, kimia, biologi atau aras-aras radiasi mana-mana bahagian alam sekeliling dengan melepaskan,mengeluarkan atau meletakkan buangan hingga menjejaskan kegunaan-kegunaan berfaedah, yang menimbulkan sesuatu keadaan berbahaya atau mungkin berbahaya kepada kesihatan, keselamatan atau kebajikan awam atau organisma-organisma lain, tumbuhan dan haiwan.


Jenis-jenis Pencemaran
Terdapat pelbagai cara pencemaran ini boleh berlaku . Tetapi ianya terbahagi kepada dua jenis iaitu :

Pencemaran yang disebabkan oleh faktor Semulajadi
Pencemaran yang disebabkan oleh faktor semulajadi adalah pencemaran yang berlaku dengan sendirinya setelah berlakunya bencana alam seperti letusan gunung berapi, dilanda ribut taufan, gempa bumi dan sebagainya .

Contohnya:

Pencemaran yang disebabkan oleh faktor semulajadi seperti letusan gunung berapi, ribut taufan, gempa bumi dan sebagainya, banyak memberi kesan kepada kerosakan harta benda. Sebagai contoh kejadian letusan gunung berapi yang berlaku di Indonesia iaitu Gunung Merapi telah menyebabkan berlakunya kerosakan harta benda. Ini disebabkan oleh lahar panas yang dikeluarkan oleh gunung tersebut. Antara kerosakan harta benda yang berlaku ialah kemusnahan kediaman penduduk dan kemudahan infrastruktur di kawasan yang terlibat.
 

EKOSISTEM AIR TAWAR

EKOSISTEM AIR TAWAR

Ekosistem air tawar terbahagi kepada ekosistem tasik dan ekosistem sungai.


Ekosistem Tasik
Tasik boleh ditakrifkan sebagai jasad air tawar separa tertutup yang dilingkungi oleh daratan. Air tasik adalah tidak bergerak atau dikatakan bertakung, maka tasik membentuk habitat lentik.


Ekosistem Sungai
Sungai dikenali sebagai habitat lotik, iaitu prsekitaran air yang mengalir. Pergerakan air satu arah merupakan ciri sungai. Sungai menunjukkan variasi bermusim dari segi isipadu air, kadar pengaliran dan kadar hakisan. Variasi bermusim ini berkaitan rapat dengan kekerapan dan kelebatan hujan sesuatu kawasan. Pergerakan satu arah pada sungai juga menjadikan dasar dan tebing sungai tidak begitu stabil. Pada amnya, air sungai lebih keruh daripada tasik dan kandungan oksigennya lebih tinggi.


Taburan Organisma Di Persekitaran Akuatik
Terdapat banyak pengelasan telah diutarakan untuk menerangkan tabuaran ruang organisma yang mendiami habitat akuatik. Berdasarkan pengelasan am yang digunakan secara meluas, tumbuhan dan haiwan akuatik boleh dibahagikan kepada enam kumpulan atau komuniti utama, iaitu plankton, nekton, bentos, perifiton, pleuston dan makrofit akuatik.


Plankton
Planton adalah organisma yang biasanya bersaiz mikroskopik dan mempunyai daya pergerakan yang terhad dan membentuk komuniti. Ia terdapat di jasad air, sama ada di tasik, kolam, paya, lombong ataupun sungai, sebahagian besar organisma hidup secara terampai di air. Planton merupakan komponen yang penting di tasik yang mempunyai persekitaran yang berair tenang. Pergerakan air yang deras di sungai tidak membenarkan komuniti organisma seni ini berkembang dengan baik.


Nekton
Nekton merupakan sekumpulan fauna atau dikenali sebagai haiwan, yang berenang bebas seperti ikan, kura-kura, katak dan ular. Haiwan-haiwan ini memunyai daya pergerakan yang kuat dan taburannya tidak dipengaruhi oleh pergerakan air. Haiwan ini boleh menentukan sendiri kedudukannya di jasad air.

EKOSISTEM MARIN

EKOSISTEM MARIN

Ekosistem marin boleh dibahagikan kepada tiga zon utama iaitu zon pesisiran pantai, zon terumbu karang dan zon laut dalam.


Zon Persisiran Pantai

Persisir pantai di sini dimaksudkan sebagai garis penemuan darat dan laut. Zon pesisir pantai bermula daripada kawasan tepian laut (pentas benua) yang dicecahi air laut semasa air pasang dan surut pada bahagian garis pesisirnya. Jenis pesisir pantai terdiri daripada kawasan bakau (muara), kawasan pantai berpasir, kawasan pesisir berbatu dan kawasan pesisir berais.

Garis panjang persisir pantai adalah panjang tetapi lebarnya kadangkala adalah beberapa meter sahaja. Tiada dua pesisir pantai yang serupa disebabkan oleh proses pembentukannya yang berlainan iaitu ia dipengaruhi oleh pasang surut, angin, ombak, arus air, suhu, cuaca dan geologi kawasan tersebut.

Jenis batu-batan yang terdapat pada persisiran pantai adalah penyebab utama pembentukan garis pesisir. Batu-batan seperti basalt, granit dan sesetengah batu pasir tahan hakisan. Batuan jenis ini biasanya membentuk tanjung tinggi dan cerunam yang tinggi dan stabil sehinggakan tumbuhan dapat hidup tegak dan kukuh dengan tumbesaran yang baik.

Pesisir pantai yang terdiri daripada tanah liat, pasir, batu kapur dan zarah longgar senang dihakis oleh ombak. Kadangkala ombak menghakisnya 1-2 m setahun dan boleh menyebabkan keseluruhan komuniti tepi laut dihakis oleh tindakan laut.


Tumbuhan Pesisir Pantai

1) Pokok
            Beberapa spesis tumbuhan yang biasa ditemui dekat pesisir pantai adalah pokok gajus dan pokok kelapa. Kedua-dua pokok ini mempunyai bentuk yang boleh tahan angin kencang. Pokok gajus adalah pohon rendah  manakala pokok kelapa mempunyai bentuk palma dan tidak berdahan. Kadangkala pokok kasuarina boleh dijumpai. Pokok ini mempunyai pengubahsuaian untuk keadaan angin kencang di mana daunnya berbentuk jarum. Ini adalah untuk menghindarkan penyejatan dan mengelakan kehilangan air yang banyak kerana kawasan pesisir pantai adalah panas dan berangin.

2) Rumpai laut
            Kawasan di pinggir air didiami oleh rumpai laut. Tumbuhan ini adalah alga yang tidak mempunyai akar tetapi mempunyai struktur pelekap yang membolehkannya melekap pada batuan dan substrat keras. Tumbuhan ini terdiri daripada spesis yang tenggelam sepenuhnya atau  tenggelam separuhnya di dalam air laut. Alga ini boleh dijumpai di dalam pelbagai warna iaitu hijau, merah dan coklat.
  

Hutan Paya Bakau

Hutan Paya Bakau

Keadaan Fizikal Hutan Bakau

Kawasan hutan paya bakau mempunyai pergerakan air yang perlahan. Pergerakan air yang perlahan ini membenarkan partikel sedimen yang halus untuk termendak dan berkumpul di dasarnya. Akibatnya, kawasan hutan paya bakau pada kebiasaannya berlumpur.

Pergerakan air yang perlahan ini seterusnya diperlahankan lagi oleh kehadiran pokok-pokok bakau yang hidup padat. Kebanyakan pokok-pokok bakau mempunyai akar-akar sokong yang menjalar turun dari batang pokok utama. Sistem akar yang tebal lagi berserabut ini mampu mengurangkan pergerakan air sehingga membenarkan partikel yang paling halus termendak di sekeliling akar bakau. Hasil pergerakan yang perlahan ini, maka kadar pengumpulan sedimen adalah tinggi di persekitaran kawasan hutan bakau. 

Akibat daripada kegiatan pemerangkapan sedimen, hutan paya bakau berkeupayaan untuk menebus guna tanah dan menghasilkan pantai  baru.


Pengzonan

Untuk kebanyakan tempat, terdapat satu bentuk penzonan tumbuhan bakau.  Walau bagaimanapun, susunan tumbuhan berbeza mengikut tempat.  Sesetengah spesies bakau gemar hidup hampir dengan pantai, pulau peminggir dan teluk terlindung. Spesies bakau yang lain pula gemar hidup di muara- muara atau menduduki tebing-tebing sungai jauh ke daratan.

Di sesetengah tempat, penzonan tidak begitu nyata disebabkan zon tertentu diwakili oleh beberapa individu sahaja. Penzonan juga boleh diganggu oleh keadaan setempat seperti proses sejatan air. Proses sejatan menjadikan air laut menjadi terlalu masin (hipersaliniti) dan ini sudah tentu membunuh pokok bakau dan meninggalkan satu kawasan lapang. Perkembangan hutan bakau yang baik boleh ditemui di kawasan yang mempunyai hujan yang tinggi ataupun di kawasan yang air sungainya mencukupi untuk menghapuskan kesan hipersaliniti.

Penzonan juga bergantung pada pasang surut air laut. Apabila julat pasang surut kecil, zon intertidal juga turut kecil dan seterusnya membataskan kewujudan hutan bakau. Hutan bakau berkembang baik di kawasan pantai yang mempunyai kawasan intertidal yang luas.

Rajah 10 : Taburan pokok bakau di suatu pantai

Di negara-negara yang menghadap laut Pasifik, bahagian tepi laut selalunya dipenuhi oleh satu atau beberapa spesies Avicennia. Zon Avicennia ini biasanya sempit disebabkan anak benih Avicennia tidak boleh hidup dengan baik di kawasan pedalaman yang redup atau di kawasan kadar pemendakan yang tinggi.

Di belakang zon Avicennia adalah zon Rhizophora yang luas. Rhizophora merupakan tumbuhan yang tinggi dan mempunyai akar sokong yang melengkung dan bersimpang siur. Keadaan ini menjadikan kawasan bakau sukar dimasuki oleh manusia.

Zon seterusnya ialah zon Bruguiera. Tumbuhan bakau dari genus Bruguiera ini hidup di tanah liat. Pada amnya, tumbuhan bakau dari genus Ceriops hidup bersama-sama di zon ini. Ceriops adalah tumbuhan shrub yang bersaiz kecil.

EKOSISTEM - HUTAN HUJAN TROPIKA TANAH PAMAH

EKOSISTEM - HUTAN HUJAN TROPIKA TANAH PAMAH

Pengenalan

Istilah hutan merujuk kepada suatu formasi yang dikuasai oleh pokok. Biasanya perkataan "hutan" merujuk kepada tiga konsep yang berlainan. Yang pertama, dirian pokok atau tumbuh-tumbuhan yang merupai pokok. Yang kedua, seluruh komuniti tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang dikuasai oleh pokok. Yang ketiga, seluruh sistem komuniti yang dikuasai oleh pokok yang berfungsi, termasuk substrat abiotik dan persekitaran atmosferanya.

Hutan hujan tropika tanah pamah adalah kawasan hutan yang berada dari ketinggian 0 m paras laut sehingga ke ketinggian 300 m dari paras laut. Iklimnya adalah panas dan lembab sepanjang tahun dan menerima hujan sepanjang tahun. Suhu di hutan hujan tropika tanah pamah adalah tinggi iaitu antara 30°C hingga 35°C sepanjang tahun. Turun naik suhu bergantung kepada siang atau malam di mana ia boleh turun naik sebanyak 3°C. Hutan hujan tropika tanah pamah terletak di kawasan sekitar garisan Khatulistiwa di bumi. Oleh itu, ia tidak mempunyai musim-musim panas, dingin, luruh ataupun bunga. Contoh negara yang mempunyai hutan hujan tropika tanah pamah ialah Afrika, Latin Amerika, Amerika Selatan, Indo-Australia dan Asia Selatan, Malaysia dan lain-lain.

Hutan hujan tropika tanah pamah merupakan hutan yang mempunyai banyak komuniti hutan. Haiwan-haiwan yang terdapat di sini mempunyai corak adaptasi kepada cuaca yang panas dan lembab. Tumbuhan yang padat di hutan mempunyai adaptasi terhadap kelembapan yang tinggi. Hutan seperti ini terbentang luas dan mempunyai saliran yang baik.


Flora di Hutan Hujan Tropika Tanah Pamah

Dari aspek tumbuh-tumbuhan, kepelbagaian spesis yang ada tidak boleh diragui di hutan hujan tropika tanah pamah ini. Hutan jenis ini mempunyai hasil-hasil hutan yang mempunyai nilai ekonomi yang tinggi. Di sini terdapat pelbagai pokok-pokok contohnya meranti, tualang, cengal, belian, pokok-pokok palma, buluh, orkid, paku-pakis, rumput, cendawan, kulat, keruing dan sebagainya.

Ciri-ciri hutan hujan tropika tanah pamah adalah hutan ini tebal dan padat. Ia sentiasa malar hujau dan mempunyai pepohon yang berdaun besar dan lebar. Pokok-pokok di hutan seperti ini tumbuh lurus dan tinggi dan pelbagai spesis pokok boleh dijumpai. Pokok-pokok tumbuh secara berlapis-lapis dan kebanyakannya mempunyai akar banir. Pokok-pokok di kawasan ini membentuk sudur yang tebal dan mempunyai tumbuhan bawahan atau renek yang kurang berbanding dengan hutan pergunungan. Struktur hutan hujan tropika tanah pamah lazimnya terdiri daripada dua peringkat pokok-pokok dan tumbuhan renek yang turut berinteraksi dengan lain-lain bentuk tumbuhan. Bentuk-bentuk tumbuhan hutan hujan tropika tanah pamah termasuklah;

BIOKEPELBAGAIAN

BIOKEPELBAGAIAN

Biokepelbagaian ditakrifkan sebagai aneka sepsis organisma di bumi. Bilangan sepsis di dunia sekarang dianggarkan melebihi 80 juta. Untuk menyenagkan kajian dan perbincangan di peringkat antarabangsa, organisma perlulah dikelaskan ke dalam kumpulan secara teratur berdasarkan ciri-ciri sepunya.

Pengelasan organisma
Semua organisma di dunia dikelaskan kepada lima kumpulan besar yang dinamakan alam. Lima alam ini ialah Monera, Protista, Fungi, Plantae dan Animalia.


Pengelasan kesemua organisma di dunia kepada lima alam bererti setiap alam merupakan kumpulan yang sangat besar. Setiap alam dibahagi lagi kepada kumpulan yang lebih kecil unuk menyenangkan kajian. Setiap alam dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil yang disebut filum. Organisma dalam filum yang sama mempunyai ciri sepunya yang tertentu. Filum dibahagi lagi kepada kelas. Kelas dibahagi lagi kepada order. Dengan cara yang serupa, order dibahagi kepada famili, famili dibahagi kepada genus dan genus pula dibahagi kepada sepsis. Sepsis merupakan kumpulan yang terkecil dalam pengelasan organisma. Urutan dalam sistem pengelasan organisma ini disebut hierarki pengelasan.

Monday, November 15, 2010

Ekosistem

1. PENGENALAN

Ekologi merujuk kepada kajian saling hubungan antara organisma dengan persekitaran dan juga saling hubungan di kalangan kumpulan organisma itu sendiri. Perkataan ekologi ini diambil daripada perkataan Greek oikos yang bermaksud rumah atau habitat. Istilah ini mula-mula diperkenalkan oleh seorang ahli ekologi, Ernst Haeckel pada tahun 1869. Kini, istilah ini diguna secara meluas.

Organisma hidup iaitu tumbuhan dan haiwan tidak wujud secara terasing, sama ada secara individu mahupun sebagai satu kumpulan. Semua organisma saling bertindak antara satu dengan yang lain sama ada di kalangan spesis yang sama ataupun di kalangan spesis yang berlainan. Saling bertindak ini termasuklah persaingan, pemangsaan dan hubungan parasit-perumah. Selain saling berhubungan antara organisma hidup dengan organisma hidup yang lain, biota ini juga turut saling bertindak dengan persekitaran fizikal dan kimia di sekeliling organisma-organisma ini.

Semasa proses saling bertindak ini, kehadiran sesuatu organisma akan mempengaruhi organisma-organisma lain. Persekitaran tempat organisma ini hidup turut mengalami perubahan hasil daripada kewujudan biota ini. Sebaliknya, faktor-faktor persekitaran memainkan peranan penting dalam mempengaruhi tingkah laku dan kewujudan organisma-organisma ini. Sebagai contoh, kandungan nutrien di persekitaran akuatik menentukan kelimpahan sesuatu spesis fitoplakton. Perkembangan spesis ini yang pesat akan mengubah kualiti air dan seterusnya menjadikan persekitaran tidak lagi sesuai untuk spesis tersebut. Maka, kita akan lihat perubahan komposisi fitoplakton secara bermusim.

Berbagai-bagai jenis organisma dan parameter persekitaran boleh diatur kepada beberapa aras. Dalam organisasi ini, aras asas diwakili oleh spesis. Spesis merupakan kumpulan semulajadi yang boleh atau berpotensi untuk saling membiak antara satu dengan lain untuk menghasilkan zuriat yang subur tetapi tidak boleh saling membiak dengan spesis-spesis yang lain. Kesemua individu daripada sesuatu spesis dalam sesuatu kawasan membentuk populasi. Beberapa populasi spesis yang wujud di sesuatu di kawasan pula membentuk komuniti. Beberapa komuniti bersama-sama dengan persekitaran fizikal dan kimia membentuk ekosistem.


Bergantung kepada bilangan komuniti dan dimensi persekitaran yang terlibat, ekosistem boleh dilihat dari beberapa sudut. Dari sudut luas, dunia ini sendiri boleh dianggap sebagai satu ekosistem tersendiri yang terdiri daripada berbagai-bagai komuniti daratan, komuniti air tawar dan komuniti marin. Pada sudut yang lebih sempit, lopak air di tepi jalan atau sebuah kolam air kecil boleh dianggap sebagai satu ekosistem.

Secara sejagat, kita boleh juga melihat dunia ini terpisah kepada dua jenis ekosistem yang besar iaitu ekosistem daratan dan ekosistem akuatik kerana kedua-dua sistem mempunyai komponen biotic DNA abiotik yang saling bertindak.