My ads

Monday, March 7, 2011

Cerpen: Antara Harta & Keluarga

Antara Harta & Keluarga

“ Rin, kau tak balik Muar esok?”

“Aku tak ada masa. Besok aku ada tuisyen lepas tu aku ada banyak projek minggu depan nak kena hantar.”

“Kan cuti seminggu takkan satu hari pun kau tak balik rumah kau? Kau tak rindu ke mak bapak kau?”

“Kalau aku balik pun bukannya dapat tidur sana. Jika aku balik pagi, petang dah kena balik sini. Nis aku laparlah, yok pergi kantin.”

Serina cuba mengelakkan diri daripada menjawab soalan Nis. Serina tersentak dengan teguran temannya itu. Memang benar sudah lima bulan Serina tidak pulang ke rumah ibu-bapanya di Muar. Serina sedar bahawa sudah terlalu lama dia tidak bersua dengan ibu-bapanya. Anak mana yang tidak merindui ibu-bapanya tetapi kerana kesibukan Serina yang amat sangat membuatnya lupa akan ibu-bapanya di Muar yang mungkin menanti-nanti kepulangannya.

*************

Ibu-bapa Serina, Pak Mail dan Mak Kiah asalnya adalah penduduk Singapura. Mereka telah menetap di Singapura setelah sekian lama sehinggalah Serina menjejaki umur 17 tahun. Selepas sekian lama bertungkus lumus menyara hidup mereka sekeluarga di Singapura, Pak Mail menyatakan hasratnya untuk bersara dan menetap di kampungnya di Muar. Pak Mail dan Mak Kiah berhasrat untuk menjual rumahnya di Singapura dan membawa anak berhijrah ke Muar. Kebetulan mereka memang ada sebuah rumah Teres di Muar yang disewakan kepada sepupunya.

“Bapak dah buat keputusan nak pindah ke Muar. Lagipun rumah kita di Muar akan dikosongkan. Makcik Mina pun dah pindah ke Kuala Lumpur. Bapak nak kita anak beranak pindah sana,” Pak Mail menyuarakan hasratnya selepas menunaikan solat Maghrib secara berjemaah.

“Habis sekolah Rin macam mana? “A” Level belum mula takkan nak berhenti setengah jalan?” Serina cuba membantah.

Serina telah dibesarkan di Singapura semenjak kecil lagi. Walaupun Serina dilahirkan di Muar, jiwa dan raganya tetap di Singapura. Namun demikian, apabila dia mengetahui hasrat bapanya itu, Serina berkeras hendak membantah cadangan bapanya untuk membawanya pulang ke Muar. Serina tidak dapat membayangkan bagaimana keadaannya jika dia tinggal di Malaysia. Berat hatinya untuk meninggalkan teman-temannya dan memori-memori yang telah dibina di Singapura. Lagipun, Serina sudah biasa dengan sistem pendidikan di sini. Sukar untuk dia menyesuaikan dirinya dengan sistem pendidikan di Malaysia di mana setiap mata pelajaran menggunakan bahasa Melayu sedangkan di Singapura kesemua mata pelajaran kecuali bahasa Melayu, menggunakan bahasa Inggeris.

“Rin habiskan “A” Level Rin dahulu, kalau Rin mahu, kalau tidak Rin sambung sahaja sekolah di Muar nanti, ataupun Rin habiskan “A” Level Rin, lepas tu cuba daftar masuk Universiti di Malaysia.”

“Tak naklah. Dah bagus-bagus belajar di Singapura, bapak nak Rin sekolah Malaysia pula. Takpelah pak. Bapak pindah sahaja ke Muar. Biar Rin duduk sini. Duduk dengan Cik Ram ke atau Rin duduk rumah ni. Bilik mana yang kosong nanti Rin cari kawan duduk dengan Rin.”

Serina tetap berdegil. Dia bermati-matian menolak cadangan bapanya itu. Di dalam kotak fikirannya, Serina memikirkan tentang teman-temannya dan cara hidup di Singapura yang baginya lebih selesa dari Malaysia.

“Kenapa kau tak nak duduk Muar? Kan bagus nak masuk Universiti kan senang? Bukan macam di Singapura ni, kalau tak sungguh-sungguh jangan mimpilah nak masuk.” Temannya Wan bertanya dengan penuh kehairanan dengan keputusan Serina.

“Aku tak terfikir pun nak tinggal sana. Aku bukan sombong. Aku sedarlah Malaysia tu tanah tumpah darahku tetapi aku dibesarkan di Singapura. Aku dah biasa dengan kehidupan di Singapura. Kau bayangkan bila aku bersekolah di Malaysia kelak, semua subjek mereka, sains, matematik, geografi, semua pakai bahasa Melayu. Kalau macam gitu harapan untuk aku cemerlang tipislah sedangkan di sini kita semua berbahasa Inggeris dalam setiap mata pelajaran. Macam mana aku nak menyesuaikan diri dalam masa yang singkat?” Serina cuba meluahkan pandangannya.

“Itu alasan sahaja. Sebenarnya kau takut tak dapat menyesuaikan diri di sana kan? Malaysia ke Indonesia ke kita tetapi di dalam bumi Allah. Semua tempat sama.”

“Memang benar kata kamu, negeri mana sahaja kita tinggal, ia tetap di dalam bumi Allah. Tetapi, di dalam bumi Allah ini, setiap daerah berlainan. Setiap negeri mempunyai budaya dan cara kehidupan yang berbeza. Ah, susah aku nak jelaskan pada kau tentang isi hati aku ni. Cuma aku tidak mahu berpindah ke Muar. Aku dah terlalu selesa di Singapura. Aku bangga mendapat pendidikan di sini dan aku suka dengan kehidupan di Singapura. Kau tak akan faham Wan, senang cakap aku mahu mendapat pendidikan sehingga ke menara gading di Singapura dahulu.” Serina berhujah.

***********

“Cik Kak oi. Mengelamun jauh nampak. Dah sampai Everest?,” teman karibnya, Nis mengejut Serina dari lamunan.

“Kau Nis buat aku terkejut tau! Belikan aku Mi Rebus letak cili padi lebih-lebih.”

“Ye cik Puan. Biar saya belikan makanan, awak boleh sambung mengelamun ya,” Nis cuba mengusik.

Serina kembali mengenangkan ibu-bapanya di Muar. Bagaimana agaknya keadaan mereka di sana? Serina tidak berapa risau dengan keselamatan ibu-bapanya kerana saudara-maranya ramai di sana dan ibu-bapanya amat mesra dengan mereka semua jadi mereka tidak berasa kesunyian walaupun hanya mereka berdua di dalam rumah itu. Namun demikian, tanggungjawabnya sebagai anak tidak harus diambil ringan. Sebagai seorang anak, tidak wajarlah meninggalkan ibu-bapanya bersendirian di negara lain. Serina sedar itu semua. Di lubuk hatinya masih mempunyai kesedaran tetapi Serina bukan sengaja untuk berjauhan dengan ibu-bapanya. Sebagai seorang penuntut Institusi pengajian tinggi, masanya banyak dihabiskan dengan projek-projek yang diberi oleh pensyarah-pensyarahnya dan masa lapangnya pula dihabiskan memberi tuisyen sambilan untuk menambah pendapatannya.

Serina sendiri berasa hairan tidakkah dia merindui ibu-bapanya? Mungkin perhubungannya dengan bapanya tidak begitu rapat jadi perasaan rindu terhadap mereka tidak begitu ketara. Kadangkala Serina tidak tahu siapa yang harus dipersalahkan dalam hal ini. Kadangkala pula Serina menyalahkan ibu-bapanya kerana meninggalkannya seorang diri di Singapura dan berhijrah ke negara jiran. Kadangkala Serina sedar itu bukan alasan untuk tidak menjenguk keluarganya. Adakah ini dinamakan anak derhaka? Tidak mungkin kerana Serina masih menghubungi ibunya tetapi jarang sekali berbual dengan bapanya kerana kemarahan bapanya terhadap Serina yang enggan mengikutnya ke Muar masih terkubur di jiwa bapanya itu. Walau bagaimanapun,air dicincang tidak akan putus seperti juga pertalian darah antara ibu-bapa dan anak. Mungkin bapa Serina masih memarahinya tetapi perkara sudah terjadi dan Serina juga sudah pun dewasa dan boleh membuat keputusan sewajarnya, jadi harapan Pak Mail hanya ingin anaknya kerap mengunjungi dirinya dan isteri.

Cuti semester yang lalu, walaupun selama sebulan, Serina masih tidak pulang ke Muar. Serina hanya berhubungan melalui telefon menanyakan khabar. Setiap kali ibunya bertanya adakah Serina akan pulang, Serina memberi alasan bahawa dia sibuk dengan projek sekolah dan dia harus mengajar tuisyen. Ibunya hanya mampu akur dengan alasannya. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa remuknya hati si ibu melihat anaknya yang sentiasa sibuk sehingga tiada masa untuk menjenguk keluarga.

“Mungkin salah saya bang. Dulu kita nak sangat pindah, kononnya nak tenangkan fikiran duduk di Malaysia. Sekarang, masalah lain yang timbul, hati saya pula tak tenang. Sekurang-kurangnya kalau Rin tinggal dengan kita, dapat juga dia tolong buat kerja rumah sedikit. Asyik nak harapkan anak sedara sampai bila?” Mak Kiah mengadu kepada Pak Mail.

“Alah Kiah, dia dah besar. Pandailah dia jaga diri lagipun sekarang dia sibuk dengan pelajarannya. Kalau dia asyik balik sini sahaja, masa untuk belajar akan berkurangan. Kalau dia senang kita juga tumpang senang. Lagipun dia bukan tak kirim wang setiap bulan, walaupun dia masih bersekolah, sekurang-kurangnya dia ingat pada kita Kiah. Awak berdoa keselamatan dan kesejahteraannya sahaja.” Pak Mail cuba menenangkan Mak Kiah walaupun dirinya sendiri berasa sebak dan kesal.

*************

Cuti penggal sudah bermula. Penuntut-penuntut institusi pengajian tinggi semuanya bercuti selama dua bulan. Seperti biasa, ramai penuntut akan mencari pekerjaan sambilan termasuk Serina. Serina dan teman-temannya mendapat pekerjaan sambilan di 7 Eleven dan di siang hari pula, Serina mengajar tuisyen. Ini sahajalah unsur pendapatannya untuk pembelanjaan hariannya. Semenjak ditinggalkan hidup bersendirian, Serina banyak mempelajari hidup berdikari. Susah senang hidup, Serina dapat menanganinya dengan baik sekali. Didikan yang telah diberi oleh Pak Mail dan Mak Kiah kepada Serina sejak kecil telah dipraktikkan dengan baik oleh Serina selama hidup bersendirian. Walaupun Serina mempunyai banyak kesempatan untuk bercampur dengan sesiapa sahaja dan mempunyai kebebasan yang sepenuhnya, Serina sedar akan tanggungjawabnya sebagai seorang pelajar dan seorang wanita muslim.

“Rin, minggu depan aku nak pergi Kuala Lumpur nak ikut?” Nis mengajak Rin.

“Kuala Lumpur? Rumah aku sendiri di Muar aku tak jejak nak pergi Kuala Lumpur?”

“Pergilah balik cik kak oi. Takkan asyik sibuk nak cari duit sahaja? Kerja sekolah pun bukannya berlambak sangat sampai satu hari pun tak boleh rehat? Nanti apa-apa terjadi di sana baru kau tergopoh-gapah,” Nis cuba menasihatinya.

“Aku bukan tak nak balik. Macam jauh gitu Muar lagipun kan dah mula kerja sambilan di 7 Eleven? Pagi aku tuisyen. Lagipun aku bukan lupakan mereka, aku masih telefon mak aku. Duit pun aku beri setiap bulan. Kau bukan tak tahu kalau aku balik Muar apa aku boleh buat? Aku tahu bapak aku masih marah. Lebih baik aku duduk sini sahaja. Nantilah bila aku dah free aku balik.”

“Rin, macam mana sibuk pun, keluarga harus diutamakan. Kalau kau susah siapa yang kau cari? Kita-kita? Mata air kau? Kalau kau cari rezeki dari pagi ke malam ke kalau tak berkat tak kaya juga. Pergilah balik, mungkin mereka kata mereka tak kisah tapi mak mana yang tak sayangkan anaknya. Mak mana yang tak nak lihat anaknya. Pergi balik berbakti dengan ibu-bapa kau. Nanti satu hari mereka sudah tidak ada, Ha! Baru kau menyesal. Dah pergi balik, kalau kau nak, aku suruh ayah aku hantar kau sampai Larkin ke.”

“Sejak bila kau dah pandai lecture Prof. Nis?”

“Hey, I’m Serius. Tentang hal ibu-bapa ni aku memang serius. Aku pantang tengok anak tak kenang budi, tak kenang jasa. Sejahat-jahat mereka, mereka tetapi darah daging kita Rin.”

“Ok! Ok! Dah jangan lecture lagi. Aku pun bercadang akan balik minggu depan.”

Dua minggu berlalu, Serina masih belum menemui masa lapang untuk pulang ke Muar. Kesibukannya mengalahkan seorang menteri. Setiap hari ada sahaja rencananya. Jika tidak mempunyai apa-apa rancangan pada hari itu, Serina akan menghabiskan masa di depan komputer.

Setahun berlalu, Serina masih belum berkesempatan untuk pulang ke rumahnya di Muar. Serina hanya menghubungi ibu-bapanya sekali sekala sekadar bertanyakan khabar. Pada suatu malam, Serina bermimpi rumahnya di Muar terbakar. Ibu-bapanya terkorban di dalam kebakaran itu. Seluruh tubuhnya berpeluh selepas tersedar dari mimpi buruk itu. Hatinya mula gelisah. Tanpa berfikir panjang, Serina membuat keputusan untuk pulang ke Muar walaupun pagi itu dia harus menghadiri sebuah Seminar. Sepanjang jalan ke Muar, hati Serina tidak tenang dibuatnya. Kadangkala fikirannya melayang kepada kemungkinan perkara-perkara yang tidak baik telah berlaku kepada Ibu-bapanya. Cepat-cepat Serina beristighfar supaya keluarganya dilindungi dari apa jua bahaya. Tercetus rasa kesal terhadap perbuatannya selama ini. Serina baru mulai sedar bahawa selama ini tanggungjawabnya sebagai seorang anak yang solehah diabaikan.

Sesampainya di Muar, Serina bergegas lari ke rumah sebuahnya. Diketuk-ketuk pintu tetapi tiada yang menjawab. Semua tingkap di tutup dan pintu dikunci. Kasut-kasut di luar juga tidak ada. Serina mula resah. Di dalam keadaan kelam kabut, Serina lupa untuk menelefon Ibunya. Ingin bertanya kepada jiran sebelah tetapi rumah-rumah jirannya juga berkunci.

“Mungkin ibu pergi rumah Mak Som agaknya.” Serina cuba melegakan hatinya.

Tiga jam berlalu, bayang-bayang ibu-bapanya juga tidak kelihatan. Mahu pergi ke rumah saudara maranya tetapi agak jauh jika berjalan kaki. Serina menunggu dengan penuh debaran sehingga akhirnya dia terlena di buaian di luar rumahnya.

“Assalamualaikum. Adik tunggu Cik Kiah ke?” Tiba-tiba muncul seorang wanita dari rumah bersebelahan rumah Serina.

“Ya, Saya tunggu mak saya. Dia pergi mana Cik?” Serina bertanya dengan penuh debaran.

“Ooo. Ini rupanya anak Cik Kiah, Serina kan? Tak kenal pula makcik. Maaf ye nak. Cik tak pernah pula nampak Serina di sini?.” Serina tersenyum.

Jatuh air muka Serina mendengarnya. Jiran ibunya selama setahun tidak mengenali dirinya? Serina berasa begitu malu. Serina merasakan dia tidak layak dipanggil anak kerana seorang anak tidak akan meninggalkan keluarga begitu lama.

“Mak kamu masuk Hospital.”

“APA? DI HOSPITAL?”

“Tidakkk!! Mak!!!!”

“Rin, Rin, bangun nak. Pagi-pagi mengigau. Bila kau sampai? Dah mari masuk.” Mak Kiah mengejutnya dari igauannya.

“Mak!!!!!!Ampunkan Rin Mak Ampunkan Rin,” Serina memeluk erat ibunya.

Kini, baru Serina merasakan dirinya amat merindui ibu-bapanya. Mak Kiah memeluk erat anaknya yang dinanti-nantikan kepulangannya. Kedua-dua ibu dan anak itu teresak-esak melepaskan kerinduan masing-masing. Pak Mail hanya memerhatikan adegan yang sungguh menyayat hati itu dan tanpa disedari air matanya berlenangan. Tuhan sahaja yang tahu betapa rindunya terhadap satu-satunya anak kesayangannya.

“Ya Tuhan, Kau telah kabulkan doaku,” Pak Mail berdoa di dalam hati.

0 comments:

Post a Comment