My ads

Saturday, October 8, 2011

Bincangkan kemampuan BM memainkan peranan dalam era globalisasi khususnya dalam memenuhi konsep dunia tanpa sempadan.

 
Pada pendapat saya, peranan yang dimainkan oleh Bahasa Malaysia akan merosot dalam era globalisasi terutamanya dalam konteks dunia tanpa sempadan. Kenapakah saya berkata demikian? Berikut akan saya terangkan secara terperinci.
Seperti yang kita sedia maklum, Bahasa Inggeris merupakan bahasa antarabangsa. Apabila kita berjumpa dengan warga asing seperti orang Jepun, orang Bangladesh, orang German dan orang Negara China, kita hanya boleh berkomunikasi dengan mereka menggunakan Bahasa Inggeris. Ataupun semasa kita menghadiri konvensyen antarabangsa, memberi ceramah peringkat antarabangsa, kita juga mesti bertutur dalam Bahasa Inggeris. Hal ini kerana kita tidak dapat bercakap dalam bahasa mereka, begitu juga dengan mereka. Jika diteliti, sebahagian rakyat Malaysia juga tidak bertutur dalam Bahasa Malaysia yakni kaum Cina dan kaum India yang belajar di sekolah yang menggunakan bahasa ibunda masing-masing. Apatah lagi warga asing dapat bercakap dalam Bahasa Malaysia.
Pada zaman kontemporari ini, semua orang tidak kira tua atau muda, miskin atau kaya tahu dan mahir menggunakan internet untuk mencari maklumat. Hal ini disebabkan pencarian maklumat melalui internet adalah lebih cepat, mudah dan menjimatkan masa. Apa-apa yang ingin dicari pasti terdapat di internet. Akan tetapi, kebanyakan maklumat yang ada di internet adalah dalam Bahasa Inggeris. Maklumat-maklumat tersebut biasanya disumbangkan oleh warga asing terutamanya negara Barat. Oelh itu, hasil-hasil tersebut ditulis dalam Bahasa Inggeris agar semua orang dapat memahami dan memanfaatnya. Sekiranya ada artikel dalam Bahasa Melayu, itupun Bahasa Melayu Indonesia.
Bukan itu sahaja, kebanyakan buku ilmiah yang diterbitkan juga dalam Bahasa Inggeris. Contoh yang paling baik dan jelas ialah buku teks yang digunakan di universiti. Hanya sebahagian daripada buku teks yang digunakan di universiti adalah dalam Bahasa Malaysia. Itupun buku terjemahan yang diterjemahkan oleh pensyarah-pensyarah universiti. Kebanyakan universiti juga mewajibkan siswazah untuk mengambil subjek Bahasa Inggeris pada tahun pertama pengajian mereka. Langkah ini adalah penting agar mereka memahami isi-isi kandungan dalam buku teks dan rujukan. Sejak kemerdekaan, semua sekolah rendah dan sekolah menengah menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran. Akan tetapi, subjek Sains dan Matematik mula diajar dalam Bahasa Inggeris pada tahun 2003 sejajar dengan matlamat Dasar Wawasan Negara iaitu melahirkan insan yang berilmu dan berketrampilan. Untuk menjadi seorang yang berilmu, seseorang mesti menimba ilmu dan ini hanya dapat dilakukan dengan mempunyai penguasaan Bahasa Inggeris yang baik. Dan ini telah menunjukkan kepentingan Bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu.
Kesimpulannya, kepentingan Bahasa Inggeris memang tidak dapat dinafikan. Untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kedudukan Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia mesti berusaha dengan lebih giat dalam menambahkan kosa kata dan menghasilkan karya yang lebih bermutu.

0 comments:

Post a Comment