1.0 KONSEP KOKURIKULUM
Kokurikulum ialah aktiviti pendidikan yang dirancang dan diperlaksanakan selepas waktu pelajaran formal di dalam dan di luar bilik darjah, berasas dan lanjutan pelajaran sesi persekolahan. Menurut Peraturan Kursus Pengajian, Akta Pelajaran 1956, kokurikulum adalah extra curriculum atau ‘kegiatan luar darjah’. Dalam pada itu, Peraturan-peraturan Kokurikulum Kebangsaan di bawah Warta Kerajaan, Akta Pendidikan 1995 yang bertarikh 31.12.1997 pula menyifatkan kokurikulum sebagai “kegiatan yang dirancang lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah yang memberikan pelajar peluang untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang dipelajari dalam bilik darjah”.
Kokurikulum juga dikenali sebagai kurikulum tambahan (extra-curriculum) atau pendidikan untuk waktu lapang (education for leisure) atau aktiviti kelas tambahan (extra-class activities). Aktiviti-aktiviti kokurikulum sebahagian besarnya dilakukan di luar bilik darjah. Ia merupakan aktiviti amali sebagai lanjutan kepada mata pelajaran di dalam bilik darjah, iaitu sebahagian daripada kurikulum formal yang merangkumi aktiviti-aktiviti persatuan, kelab, permainan dan sukan, serta unit beruniform yang dijalankan sebelum atau selepas waktu persekolahan.
Proses pembelajaran dan pengajaran dalam aktiviti kokurikulum lebih banyak dilaksanakan secara tidak langsung, di mana ia menekankan perkara dan aspek yang tersembunyi seperti nilai, bakat, peranan, kepimpinan, sosial dan sebagainya. Pada tahun 60-an dan 70-an, masyarakat dan pendidik menganggap kokurikulum sebagai tempelan sahaja, sebagai sesuatu yang berasingan, tambahan dan tidak begitu penting dalam perkembangan dan proses pengajaran serta pembelajaran pelajar di sekolah. Walau bagaimanapun, pendapat itu telah berubah dan kini kokurikulum telah diterima. sebagai sebahagian daripada kurikulum sekolah.
Sebenarnya, aktiviti-aktiviti kokurikulum dapat mengukuhkan dan mengayakan pembelajaran pelajar di dalam kelas. Ini kerana kokurikulum mengutamakan pembelajaran melalui amalan di mana pengetahuan yang diperoleh di bilik darjah diamalkan melalui aktiviti praktik, samada latihan sukan, persatuan atau unit beruniform. Oleh yang demikian, aktiviti kokurikulum sebenarnya berperanan membentuk dimensi-dimensi sosial, di samping sifat-sifat dan kualiti kognitif, afektif serta psiko-motor.
2.0 Komponen Gerak Kerja Kokurikulum
Kegiatan kokurikulum di peringkat sekolah dibahagikan kepada tiga jenis iaitu:-
1. Pasukan Pakaian Seragam / Unit Beruniform
2. Persatuan / Kelab
3. Sukan dan Permainan
Aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan di peringkat sekolah adalah untuk mengembangkan potensi serta bakat seseorang pelajar dalam bidang jasmani, sosial, kebudayaan dan khidmat masyarakat. Selain ini, ia juga turut membentuk sahsiah dan sikap positif seseorang pelajar.
Oleh itu, bakal-bakal guru yang menuntut di Institut Perguruan akan diberi penekanan dalam kemahiran asas, kebolehan mengurus, kebolehan mempimpin, kepegawaian dan kejurulatihan.
Struktur gerak kerja kokurikulum dalam kursus pengurusan adalah dirancang mengikut tiga komponen utama iaitu: -
1. Kemahiran dan Pengurusan Pasukan Pakaian Seragam / Unit Beruniform
2. Kemahiran dan Pengurusan Persatuan / Kelab
3. Kemahiran dan Pengurusan Sukan dan Permainan
2.1 Pasukan Pakaian Seragam / Unit Beruniform
Semua pelajar sekolah adalah digalakkan untuk mengambil bahagian sekurang-kurangnya salah satu Pasukan Pakaian Seragam sebagaimana yang dicatatkan dalam Laporan Kabinet 1979.
2.2 Persatuan / Kelab
Matlamat penubuhan sesebuah Persatuan / Kelab di sekolah adalah untuk menggalakkan seseorang pelajar untuk berkomunikasi dengan pelajar lain yang berasal daripada pelbagai latar belakang serta bangsa. Selain ini, ia juga bertujuan untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat dan membolehkan seseorang pelajar untuk mencapai kemahiran di dalam sesuatu bidang atau hobi. Persatuan / Kelab dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu:-
(i) Persatuan / Kelab yang berasaskan akademik atau mata pelajaran
(ii) Persatuan / Kelab yang berasaskan perkhidmatan, kebajikan dan hobi
2.2.1 Persatuan / Kelab yang berasaskan akademik atau mata pelajaran
Persatuan / Kelab dalan kategori ini adalah bertujuan untuk memupuk serta menambahkan minat dan kemahiran pelajar dalam sesuatu mata pelajaran tersebut. Persatuan / Kelab-kelab yang dikategorikan dalam komponen ini adalah seperti Persatuan Bahasa Kesusasteraan, Persatuan Sains, Persatuan Matematik, Persatuan Muzik, Persatuan Komputer, Persatuan Seni Lukis dan sebagainya.
2.2.2 Persatuan / Kelab yang berasaskan perkhidmatan, kebajikan dan hobi
Persatuan / Kelab yang berasaskan perkhidmatan, kebajikan dan hobi adalah bertujuan untuk menarik minat dan memberi pengetahuan dalam sesuatu bidang tertentu. Contohnya Bimbingan dan Kaunseling, Pembimbing Rakan Sebaya, Koperasi Sekolah, Pencinta Alam, Perpustakaan atau Pusat Sumber dan sebagainya.
2.3 Sukan dan Permainan
Semua pelajar sekolah adalah diwajibkan untuk mengambil bahagian dalam sesuatu sukan dan permainan seperti Bola Sepak, Bola Keranjang, Badminton, Ping Pong, Olahraga, Bola Tampar dan sebagainya.
Perancangan, pengurusan dan pelaksanaan sesuatu sukan dan permainan di peringkat antara sekolah-sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan adalah tanggungjawab Majlis Sukan Sekolah-Sekolah.
Rajah 2.2 : Struktur, Komponen dan Jenis Aktiviti Kokurikulum
(Sumber: Pengurusan Kokurikulum & Pendidikan Sukan, Mok Soon Sang, 2008, ms 38)
3.0 Pengurusan Gerak Kerja Kokurikulum di Sekolah Rendah
3.1 Pengenalan
- Terdapat beberapa perbincangan, kajian dan tinjauan telah dilaksanakan oleh pihak-pihak tertentu bagi mengetahui keberkesanan dan masalah yang dihadapi dalam pelaksanaan dan pengurusan kokurikulum di sekolah.
- Antaranya ialah yang telah dilakukan oleh Jawatankuasa Mengkaji Dasar Pelajaran 1979, Asiah Abu Samah (1985), Haji Hussin Mamood (1985), Haji Razali Ismail (1992), Annamalai (1994) serta Abd. Alim Abdul Rahim (1988 dan 2000).
- Antara isi kandungan perbincangan tersebut ialah :
Ø penglibatan pelajar aktif dalam gerak kerja kokurikulum hanya tertumpu pada bidang tertentu sahaja
Ø penyertaan pelajar dalam gerak kerja kokurikulum bergantung pada peraturan sekolah yang dikenakan ke aas mereka
Ø kebanyakan pelajar menyatakan ibu bapa dan penjaga menggalakkan mereka menyertai gerak kerja kokurikulum
Ø sebahagian besar pelajar menyatakan peryertaan mereka dalam gerak kerja kokurikulum tidak menjejaskan pencapaian mereka dalam bidang akademik
· Beberapa perkara yang perlu diambil kira semasa membentuk organisasi ini agar dapat memberikan faedah kepada pelajar dan sekolah:
¨ fungsi dan tanggungjawab setiap ahli
¨ kekerapan mengadakan mesyuarat
¨ pembentukan jawatankuasa kecil
¨ pelaporan berkala
¨ dokumentasi
3.2 Carta Organisasi Kokurikulum di Sekolah
Carta organisasi Jawatankuasa Kokurikulum Sekolah
Carta organisasi Jawatankuasa Kokurikulum Sekolah
Jawatankuasa Kokurikulum Sekolah
- Jawatankuasa khas untuk menguruskan hal ehwal kokurikulum
- Aktiviti tahunan:
- menghadiri mesyuarat sekurang-kurangnya empat kali setahun
- merancang program tahunan dengan menyediakan satu takwim yang sama bagi semua aktiviti kokurikulum
- menyebarkan takwim kepada semua guru dengan mempamerkan di papan notis bilik guru
- melaksanakan aktiviti mengikut carta Gantt yang sudah diselaraskan oleh pihak sekolah
- mengedarkan semua minit mesyuarat yang telah dibincangkan
- mengurus dan menjaga rekod
- menyediakan laporan dan pemantauan
Carta Organisasi Jawatankuasa Pelaksanaan Kokurikulum
3.3 Deskripsi tugas mengikut jawatan
Ø Tugas Penaung
§ Memastikan setiap perancangan aktiviti kokurikulum adalah berdasarkan Dasar Kementerian Pelajaran dan Surat Pekeliling Ikhtisas.
§ Memantau, menilai dan memperbaiki aktiviti kokurikulum sekolah
Ø Tugas Pengerusi
§ Menentukan objektif gerak kerja kokurikulum sekolah tercapai
§ Memajukan aktiviti kokurikulum di peringkat sekolah
§ Mewakili guru besar menjalankan segala tugas yang diagihkan termasuk mempengerusikan mesyuarat ahli jawatankuasa kokurikulum
Ø Tugas Setiausaha
§ Menyelaras semua aktiviti kokurikulum
§ Memastikan keseimbangan agihan ahli pelajar dalam setiap persatuan, kelab, unit dan pasukan
§ Menyediakan jadual mesyuarat agung dan perjumpaan bagi semua unit kokurikulum
§ Menyediakan laporan dan minit mesyuarat
Ø Tugas Ketua Penyelaras Kokurikulum
§ Membantu setiusaha untuk menyediakan jadual aktiviti kokurikulum tahunan berdasarkan perbincangan dan keputusan mesyuarat semua guru penasihat kokurikulum
§ Bertanggungjawab dalam pelaksanaan program kokurikulum berjalan lancer tanpa masalah
Ø Tugas Penasihat Kelab dan Persatuan, Sukan dan Permainan dan Unit Beruniform
§ Bertindak sebagai penasihat, pembimbing, pengurus, penyelia, penilai dan pelapor
§ Memastikan aktiviti selaras dengan objektif sekolah
§ Merancang aktiviti tahunan dengan pelajar
Perbezaan di antara Jawatankuasa Kokurikulum dan Jawatankuasa Pelaksanaan
- Jawatankuasa Kokurikulum mengkaji dan mengenalpasti kekuatan dan kelemahan dalam pelaksanaan kegiatan kokurikulum pada tahun-tahun sebelum dan merumuskan dasar, pendekatan dan kaedah baru pelaksanaan
- Jawatankuasa pelaksanaan melaksanakan polisi dan aktiviti yang telah ditentukan oleh Jawatankuasa Kokurikulum sekolah
3.4 Skema Pelaksanaan Kokurikulum Sekolah
1) menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan dan Penyelarasan Kokurikulum Sekolah
2) menubuhkan Jawatankuasa Bimbingan Pelajar Sekolah (Rujuk Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985 bertarikh 2 Januari 1985)
3) merumus dan menetapkan visi dan misi kegiatan kokurikulum sekolah dan menghebahkanna kepada guru-guru dan pelajar-pelajar
4) menubuhkan Jawatankuasa Kerja Pengurusan Kerja Pengurusan dan Penyelarasan Kegiatan Kokurikulum yang terdiri daripada guru-guru penasihat persatuan/kelab, pasukan pakaian seragam dan sukan/permainan
5) mengkaji dan mengenalpasti kekuatan dan kelemahan dalam pelaksanaan kegiatan kokurikulum pada tahun-tahun sebelumnya dan merumuskan dasar, pendekatan dan kaedah baru pelaksanaan
6) memberi taklimat kepada guru-guru tentang dasar, pendekatan dan kaedah baru pelaksanaan kokurikulum yang telah dirumuskan
7) menyediakan keperluan asas pentadbiran
8) menyediakan atau memperolehi keperluan prasarana dan kemudahan-kemudahan asas
9) mengenalpasti keupayaan sekolah dari aspek pelaksanaan
10) memperoleh dan mengemaskini inventori, bekalan pejabat dan harta modal bidang kokurikulum
11) menyediakan perancangan dan jadual tahunan (takwim) kegiatan kokurikulum sekolah
12) menubuhkan persatuan/kelab/badan beruniform dan melantik guru-guru penasihat
13) menyediakan kegiatan kokurikulum setiap persatuan/kelab
14) melaksanakan kursus-kursus pengurusan kokurikulum kepada guru-guru
15) menyelaraskan kegiatan atau aktiviti persatuan/kelab/badan beruniform berdasarkan objektif/matlamat setiap persatuan/kelab/badan beruniform berkenaan, rangka perancangan kokurikulum sekolah dan jadual aktiviti kokurikulum peringkat daerah dan negeri
16) memantau dan menyelia pelaksanaan kegiatan kokurikulum
17) menyedia, mengumpul dan menyemak dokumentasi pelaksanaan oleh setiap persatuan/kelab/badan beruniform
18) melaksanakan Skema Penilaian Aktiviti Kokurikulum untuk setiap pelajar
19) merancang dan melaksanakan kursus-kursus kejurulatihan
20) meneroka dan mewujudkan peluang-peluang penyertaan dan penglibatan pelajar dalam kegiatan kokurikulum di peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa
21) menyediakan laporan Tahunan Kokurikulum
3.5 Prinsip Pelaksanaan Kokurikulum
1) menyediakan ruang, peluang, kesempatan dan kemudahan pembelajaran yang menarik, menyeronokkan dan merentasi kurikulum
2) merancang, menganjur dan mengelolakan kegiatan kokurikulum yang berbentuk aktiviti
3) dalam semua program kokurikulum penekanan diberi kepada pemerolehan dan peningkatan ilmu dan kemahiran baru
4) dalam semua program kokurikulum penekanan diberi secara sedar kapada usaha bersepadu ke arah memperkukuhkan semangat patriotisme, dan semangat perpaduan antara kaum dan wilayah
5) menyediakan peluang, ruang dan kemudahan yang mencukupi
6) menyediakan skema peningkatan pengetahuan, kemahiran, pencapaian, dan kepimpinan
7) semua program dan kegiatan kokurikulum yang dirancang memberi peluang dan kesempatan kepada pelajar untuk mengembangkan minat
8) menyediakan peluang dan kesempatan kepada pelajar untuk memperagakan bakat dan kebolehan masing-masing di khalayak ramai
9) menerapkan elemen-elemen kerjaya dalam program dan kegiatan kokurikulum yang dirancang
10) mewujudkan rangkaian kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan,syarikat-syarikat swasta, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan institusi pengajian tinggi untuk memperluas, mempelbagai dan mempertingkatkan penglibatan pelajar dalam kegiatan kokurikulum
11) mewujudkan peluang kepada pelajar untuk mempertingkatkan daya saing dan daya tahan masing-masing
12) merealisasikan unsur-unsur penghargaan dalam setiap aktiviti/kegiatan kokurikulum yang dianjur
4.0 AKTA, SURAT PEKELILING IKHTISAS DAN PERATURAN AM PELAKSANAAN AM GERAK KERJA KOKURIKULUM DI SEKOLAH RENDAH.
4.1 Pengenalan
Kegiatan kokurikulum di peringkat persekolahan hendaklah dilaksanakan berdasarkan Akta dan Peraturan yang dikuatkuasakan serta Surat Pekeliling Ikhtisas yang diedarkan dari semasa ke semasa.
Mengikut Peraturan dalam Pelajaran 1956 (Kursus-Kursus Pengajian Sekolah),kegiatan kokurikulum telah dimasukkan sebagai salah satu aktiviti tambahan dalam kurikulum sekolah dan peruntukan masa untuk aktiviti tambahan telah ditetapkan iaitu dijalankan selepas waktu pelajaran sekolah.
4.2 Akta Pendidikan 1996
Mengikut Seksyen 130 (2)(i), penubuhan, penyusunan, pengurusan, pengawalan dan pembubaran persatuan murid dan guru, atau persatuan guru dan ibu bapa sama ada di dalam atau di luar institusi pendidikan
4.3 Peraturan-Peraturan Am Pelaksanaan Gerak Kerja Kokurikulum
Berdasarkan seksyen 130 Akta Pendidikan, Peraturan-Peraturan Pendidikan (Persatuan Sekolah) 1998 mula berkuatkuasa pada 21 Mei 1998 dan terpakai bagi sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.
Guru besar, setelah menerima permohonan secara bertulis,dikehendaki menubuh persatuan sekolah daripada kategori yang berikut:
a) Matapelajaran yang diajar di sekolah sebagaimana yang dinyatakan dalam Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997
b) Hobi dan rekreasi
c) Sukan dan permainan
d) Badan beruniform
e) Apa-apa persatuan lain yang diluluskan oleh Pendaftar.
Jawatankuasa tiap-tiap persatuan sekolah hendaklah mengemukakan laporan secara bertulis kepada Guru Besar mengenai perkara-perkara yang berikut:
· Perlembagaan dan peraturan persatuan
· Senarai ahli jawatankuasa persatuan dan
· Senarai aktiviti utama persatuan
Laporan itu hendaklah dikemukakan dalam tempoh empat belas hari selepas ditubuhkan atau selepas mesyuarat pertama persatuan tersebut. Perlembagaan dan Peraturan sekolah wajib diluluskan oleh Guru Besar.
Jawatankuasa tiap-tiap persatuan sekolah dikehendaki mengemukakan laporan secara bertulis kepada Guru Besar mengenai apa-apa perubahan dalam perlembagaan,peraturan,jawatankuasa atau ahli persatuan. Laporan itu dikehendaki kemukakan dalam tempoh empat belas hari dari tarikh yang laporan tentang perubahan itu dibuat dan hendaklah disahkan dengan tandatangan pengerusi dan setiausaha persatuan yang berkenaan. Guru Besar boleh menerima atau enggan untuk menerima perubahan dalam perlembagaan,peraturan,jawatankuasa atau ahli persatuan.
Guru Besar dikehendaki menyimpan atau menyebabkan supaya disimpan suatu rekod tentang ahli-ahli persatuan sekolah dalam tempoh tiga puluh hari selepas berkuatkuasanya Peraturan-Peraturan ini dan hendaklah disediakan bagi pemeriksaan oleh Pendaftar bila-bila masa.
Guru Besar dikehendaki melantik seorang atau beberapa orang guru untuk bertugas sebagai penasihat atau penasihat-penasihat bagi setiap persatuan sekolah dan Guru Besar itu dikehendaki menyimpan atau menyebabkan supaya disimpan suatu rekod bertulis tentang maklumat itu dan hendaklah disediakan bagi pemeriksaan oleh Pendaftar.
Akaun bagi tiap-tiap persatuan sekolah hendaklah dibawah kawalan Guru Besar atau penasihat. Guru Besar dikehendaki menyimpan atau menyebabkan supaya disimpan suatu akaun yang sewajarnya dan hendaklah menyimpannya di bawah jagaannya bagi tempoh tidak kurang dari enam bulan setelah berakhir tiap-tiap tahun kewangan dan hendaklah disediakan bagi pemeriksaan oleh Pendaftar. Apa-apa tajaan atau kutipan derma oleh setiap persatuan sekolah hendaklah mendapat kelulusan Guru Besar.
Tiap-tiap mesyuarat persatuan sekolah atau jawatankuasanya hendaklah dihadiri oleh penasihat dan mana-mana guru lain yang dilantik oleh Guru Besar.
Pendaftar, Guru Besar boleh mengarah mana-mana persatuan sekolah mematuhi peraturan tentang pengurusan,aktiviti, keahlian atau yang selainnya berkenaan dengan persatuan itu.
Pendaftar ,Guru Besar boleh mengarah secara bertulis mana-mana persatuan sekolah dibubarkan jika dia berpuas hati bahawa persatuan itu mungkin digunakan bagi maksud berikut:
· Yang tidak memberi manfaat kepada guru atau murid
· Propaganda politik yang memudaratkan kepentingan Malaysia atau awam
· Yang memudaratkan kepentingan murid atau
· Yang melanggar mana-mana peruntukan Peraturan-Peraturan ini.
Tiap-tiap arahan yang dibuat di bawah peraturan 8 hendaklah disiarkan dengan menampalkan suatu salinan mengenainya dipapan kenyataan sekolah atau mana-mana tempat yang boleh dilihat di premis sekolah.
Dengan berkuatkuasa Peraturan-Peraturan ini,Peraturan-Peraturan di bawah Seksyen 92 Ordinan Pelajaran 1952 dibatalkan.
5.0 Penilaian Gerak Kerja Kokurikulum di Sekolah Rendah
5.1 Pengenalan
Penilaian merupakan satu sistem atau proses meliputi aktiviti mengumpul maklumat tentang strategi dan aktiviti kokurikulum. Ia juga merupakan analisis dan keputusan yang sewajarnya berdasarkan piawaian.
5.2 Penilaian untuk Pelajar Aktiviti Kokurikulum
Perkara-perkara yang hendak diberi penilaian kepada pelajar dan peserta aktiviti kokurikulum ialah:-
- Prestasi dan pencapaian pelajar.
- Kelakuan yang ditunjukkan.
- Kepimpinan dalam aktiviti kokurikulum.
- Sumbangan kepada perancangan, pengelolaan dan pelaksanaan aktiviti kokurikulum.
- Hubungan antara ahli/peserta.
- Tugas dan tanggungjawab dalam aktiviti kokurikulum.
5.3 Penilaian Guru Penasihat Aktiviti Kokurikulum
Penasihat aktiviti kokurikulum harus membuat penilaian terhadap keberkesanan aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan. Perkara-perkara yang biasanya digunakan untuk membuat penilaian ini ialah:-
- Objektif perlaksanaan.
- Kehadiran, bilangan permainan, jumlah projek, ataupun jenis khidmat masyarakat, dan sebagainya.
- Maklumat tentang prestasi dan pencapaian.
- Maklum balas peserta, penyokong dan penonton.
- Disiplin pelajar dan iklim sekolah.
5.4 Rasional Penilaian yang Piawai
Penilaian kegiatan kokurikulum murid yang dijalankan oleh pihak sekolah didapati berbeza-beza antara satu sama lain. Keadaan ini akan wujudnya ketidaksamarataan dalam pemberian markah kepada murid. Kemungkinan yang berlaku ada murid akan mendapat markah yang berbeza walaupun pencapaian dalam kegiatan kokurikulum adalah sama. Melalui pendekatan terkini ini, penggunaan borang penilaian dan cara penilaian yang piawai, ketidakadilan dalam pemberian markah dapat dielakkan.
5.4.1 Objektif Penilaian yang Piawai
- Menyediakan satu kaedah penilaian aktiviti kokurikulum yang boleh diterima oleh semua sekolah di seluruh Malaysia.
- Membantu Jabatan Pengurusan Isntitusi Pengajian Tinggi membuat penilaian kemasukan pelajar-pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dengan adil.
- Menggalak dan meningkatkan penglibatan murid yang menyeluruh dalam aktiviti kokurikulum.
5.4.2 Panduan Penilaian yang Piawai
Kementerian Pelajaran Malaysia dengan persetujuan bersama Kementerian Pengajian Tinggi telah menetapkan empat aspek utama dalam pengiraan markah 10% pencapaian kokurikulum untuk kemasukan ke Program Pengajian Diploma dan Ijazah Sarjana Muda di IPTA mulai sesi Akademik 2007/2008. Empat aspek kokurikulum yang dinilai berasaskan sekolah ialah:
1. Kehadiran (50%)
2. Jawatan disandang (10%)
3. Pencapaian (20%)
4. Penglibatan (20%)
· Aspek Kehadiran
Aspek kehadiran murid diberikan peratusan tertinggi dalam penilaian bertujuan untuk menggalakkan serta melihat usaha mereka hadir mengikuti aktivit yang dirancangkan oleh pihak sekolah. Bilangan kehadiran ini dikira berdasarkan kehadiran minimum 42 kali setahun dengan pecahan seperti berikut:-
- Pasukan Badan Beruniform (18kali)
- Kelab/Persatuan (12kali)
- Sukan/Permainan (12kali)
Borang kehadiran akan diisi oleh pelajar setiap kali perjumpaan kokurikulum diadakan. Setiap kehadiran pelajar akan disahkan oleh gur penasihat bagi setiap persatuan/kelab, sukan atau pasukan beruniform yang dianggotai oleh murid. Borang A (Lampiran 1)
· Aspek Jawatan Disandang
Aspek jawatan disandang adalah terbahagi kepada dua jenis penilaian. Penilaian pertama berdasarkan jawatan yang dilantik meliputi penyandang jawatan dalam aktiviti Kelab/Persatuan dan Sukan/Permainan. Bagi aktiviti Pasukan Badan Beruniform, penilaian kedua ialah markah jawatan adalah berdasarkan jawatan yang disandang berasaskan ujian pencapaian yang diduduki dalam pasukan masing-masing.
· Aspek Penglibatan
Aspek penglibatan adalah pemberian markah kepada semua murid berdasarkan keterlibatan dan komitmen mereka dalam semua aktiviti yang dijalankan mengikut tahap, sama ada di peringkat sekolah , zon/daerah/bahagian, negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Bantuan kewangan yang diberikan untuk menyemarakkan lagi aktiviti kokurikulum di sekolah adalah berdasarkan penilaian prestasi pencapaian tersebut.
· Aspek Pencapaian
Aspek pencapaian dinilai berdasarkan prestasi pencapaian murid dalam setiap acara yang disertai seperti Johan, Naib Johan dan tempat Ketiga. Pemberatan pemberian markah hendaklah berkait rapat dengan tahap penglibatan murid.
5.4.3 Markah Bonus
Markah bonus diberi berdasarkan sesuatu jawatan kepimpinan yang disandang oleh murid dan jawatan tersebut bertujuan membantu pengurusan dan pentadbiran sekolah. Di samping itu, Anugerah Khas juga diambilkira sebagai markah bonus. Markah ini diberi sebagai pengiktirafan kepada murid di atas pencapaian cemerlang dalam bidang kokurikulum dan kemasyarakatan yang diusahakan sendiri.
Bagi penilaian 10% markah kokurikulum kemasukan ke IPTA, penilaian prestasi yang dibuat hanya memilih dua bidang terbaik daripada tiga bidang yang disertai oleh murid di sekolah setiap tahun, kecuali pelajar Tingkatan Enam Rendah. Mereka yang terpilih dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) selepas Tingkatan 5, penilaian dibuat bagi dua bidang terbaik yang disertai daripada empat bidang, iaitu penyertaan PLKN sebagai bidang tambahan.
Bagi menentukan murid sentiasa cergas dan bergiat aktif dalam kegiatan kokurikulum, penilaian kokurikulum murid hendaklah dilakukan pada setiap tahun sepanjang persekolahannya. Keputusan penilaian akan direkodkan dalam bentuk prestasi tahun semasa (Grade point Average) dan himpunan prestasi sepanjang tempoh persekolahan (Cumulative Grade Point Average). Tempoh penilaian seiap tahun bermula daripada 1 Januari hingga 31 Disember tahun penilaian semasa.
Ringkasan Huraian Pengiraan 10% Markah Kokurikulum
Berikut ialah dua contoh pengiraan markah. Menggunakan Boarng B (Lampiran 2):
Contoh 1:
Kiraan kehadiran Pasukan Badan Beeruniform
(Jumlah Kehadiran) | ||
x | 50 | |
Jumlah Minggu/Kehadiran Sepatutnya |
Markah Kehadiaran =
9 | ||||
x | 50 | = | 25 | |
18 |
=
Contoh 2:
Kiraan Kehadiran Kelab/Persatuan dan Sukan/Permainan
Markah Kehadiaran =
(Jumlah Kehadiran) | ||
x | 50 | |
Jumlah Minggu/Kehadiran Sepatutnya |
9 | ||||
x | 50 | = | 37.5 | |
12 |
=
- Aspek penglibatan
Peruntukan markah seperti berikut:
Peringkat Penglibatan | Markah |
Sekolah | 8 |
Zon/Daerah/Bahagian | 11 |
Negeri | 14 |
Kebangsaan | 17 |
Antarabangsa | 20 |
- Aspek Pencapaian
Peruntukan markah seperti berikut:
Peringkat Penglibatan | Markah | ||
Johan | Naib Johan | Ketiga | |
Sekolah | 8 | 7 | 6 |
Zon/Daerah/Bahagian | 11 | 10 | 9 |
Negeri | 14 | 13 | 12 |
Kebangsaan | 17 | 16 | 15 |
Antarabangsa | 20 | 19 | 18 |
- Aspek Jawatan Disandang
Peruntukan markah berdasarkan bidang masing-masing seperti berikut:
(a) Pasukan Badan Beruniform
Markah berdasarkan kedudukan pangkat dalam pasukan.
(b) Kelab/Persatuan dan Sukan/Permainan seperti carta berikut:
Jawatan | Markah |
Pengerusi / Presiden / kapten Pasukan /Ketua Pasukan Sukan / Permainan /Ketua Rumah | 10 |
Timbalan Pengerusi / Naib Pengerusi | 8 |
Setiausaha / Bendahari | 7 |
Penolong Setiausaha / Penolong Bendahari | 6 |
Ahli Jawatankuasa | 5 |
Ahli Aktif | 4 |
Ahli Biasa | 1 |
Murid akan dinilai dalam dua bidang terbaik daripada tiga bidang penglibatan iaitu Pasukan Badan Beruniform, Kelab/Persatuan dan Sukan/Permainan. Bagi murid yang menghadiri Program Latihan khidmat Negara (PLKN) pada tahun semasa, program ini merupakan pilih boleh keempat.
Bahagian Sekolah juga boleh memperkenalkan Markah Bonus (maksimum 10 marka) yang meliputi:
- Sebarang aktiviti murid yang memberikan perkhidmatan kepada pihak sekolah seperti jawatan kepimpinan, misalnya, Ketua Murid, Pengawas Perpustakaan, Quarter Master dan sebagainya.
- Anugerah atau pengiktirafan yang diterima daripada Kementerian/Jabatan lain atau agensi kerajaan (yang diiktiraf oleh Bahagian Sekolah/KPM) oleh murid sumbangan, penyertaan dan perkhidmatan mereka, misalnya Anugerah Remaja Perdana.
Contoh Pengiraan Markah
- Kegiatan Pasukan Badan Beruniform
Aspek Penilaian | Prestasi | Markah |
Kehadiran | Penuh (9/18) | 25 |
Jawatan | Ahli Aktif | 4 |
Penglibatan | Menghadiri Jambori Pengakap Peringkat Daerah | 11 |
Pencapaian | Ketiga Kawad Kaki Peringkat Daerah | 9 |
JUMLAH | 49 |
- Kegiatan Kelab/Persatuan
Aspek Penilaian | Prestasi | Markah |
Kehadiran | Penuh (9/12) | 37.5 |
Jawatan | AJK Persatuan Sejarah | 5 |
Penglibatan | Seminar Penulisan Sajak Peringkat Negeri | 14 |
Pencapaian | Naib Johan-Pertandingan Bahas Ala Parlimen Antara Zon | 10 |
JUMLAH | 66.5 |
- Kegiatan Sukan/Permainan
Aspek Penilaian | Prestasi | Markah |
Kehadiran | Penuh (12/12) | 50 |
Jawatan | AJK Kelab Bola Sepak B18 | 5 |
Penglibatan | Mewakili Negeri Dalam Pertandingan Kebangsaan | 17 |
Pencapaian | Naib Johan Piala Bola Sepak Peringkat Kebangsaan | 16 |
JUMLAH | 88 |
- Markah Bonus
Bil. | Jawatan | Markah Bonus |
1. | Ketua Pelajar | 10 |
2. | Timbalan / Penolong Ketua Pelajar | 8 |
3. | Pengawas / Imam / Bilal | 7 |
4. | Pengawas Perpustakaan | 6 |
5. | Ketua Perpustakaan, Badan-Badan Tertentu. (Jawatankuasa Asrama, Makanan dan lain-lain) | 5 |
6. | AJK (Penolong Ketua / Pengerusi / Setiausaha / Bendahari) | 3 |
7. | Ketua Bilik / Asrama / Kelas | 2 |
8. | Penolong Ketua Bilik / Asrama / Kelas | 1 |
- Contoh Kiraan Markah Tahun Semasa
Menggunakan Borang C (Lampiarn 3)
66.5 +88+49 | ||
= | 67.83 | |
3 |
Markah Purata (dalam dua bidang terbaik) =
Markah Bonus = 10
Markah Keseluruhan (Purata + Bonus) = 77.83 markah
0 comments:
Post a Comment