My ads

Tuesday, November 23, 2010

Pemikiran Moral Naturalis, Emotivis, Intuitionis, dan Rasionalis

Pemikiran Moral Naturalis, Emotivis, Intuitionis, dan Rasionalis


Pemikiran Naturalis


Naturalisme ialah aliran pemikiran yang menggambarkan sesuatu dalam keadaannya yang sebenar. Menurut Peter R.S. dalam Ethnics and Education, tabii (nature)manusia perlu diketahui sebelum memahami cara bagaimana mereka harus hidup. Ahli-ahli falsafah bersetuju bahawa manusia adalah rasional secara tabii atau semulajadi berbanding dengan haiwan yang lain.  Manusia jauh berbeza dripada haiwan kerana manusia mempunyai keupayaan untuk berfikir dan bertindak secara rasional dengan menggunakan akal. Manusia juga boleh menaakul serta meletakkan batasan-batasan terhadap kehendak-kehendak mereka.

Secara tabii, manusia mempunyai kebolehan untuk membentuk dan mengekalkan hubungan peribadi, jadi mereka dapat menggalakkan pembentukan hubungan yang baik sesama sendiri atau dengan ahli-ahli yang lain. Persahabatan ini tidak terdapat di antara haiwan yang lain. Haiwan lain memang tidak dapat menghormati antara satu sama lain. Ini bermakna mereka menganggap hubungan seperti hubungan kekeluargaan sebagai hubungan yang biasa dan bermoral manakala hubungan atau kelakuan seperti hubungan seks sebagai kelakuan yang tidak bermoral.

Kecenderungan individu untuk menerima apa sahaja keadaan yang sebenar dapat dikatakan berfikiran naturalis. Pemikiran ini dikritik kerana dianggap sebagai falasi naturalistik iaitu tanggapan bahawa wanita seharusnya menjadi suri rumah sahaja dan lelaki adalah yang memberi nafkah kepada keluarga dan ini adalah tidak wajar dan masyarakat sudah berubah dari zaman kuno kepada zaman moden.  

Secara logik, sesuatu tidak boleh ditentukan secara langsung dengan berdasarkan sesuatu situasi sahaja.

 

Antaranya contoh yang menggambarkan seseorang individu atau masyarakat yang berfikiran sedemikian ialah:

  • Seorang pelajar Tingkatan Lima mengeluh apabila melihat slip keputusan peperiksaan percubaan setara yang keseluruhannya teruk. Pelajar tersebut mengeluh dan menerima keputusan itu dengan mengatakan memang dia bodoh, belajar macam mana pun begitu juga prestasinya. Dia tidak berusaha untuk mencari alasan-alasan yang menyebabkan dia mendapat markah yang rendah.

  • Masih ada masyarakat yang percaya dengan maksud peribahasa rezeki secupak takkan jadi segantang. Lantaran itu mereka terus menerus miskin walau pun negara telah merdeka 47 tahun yang lalu.

  • Pulau Langkawi sebelum ini tidak membangun kerana kebanyakan penduduknya percaya bahawa pulau itu terkena Sumpahan Mahsuri iaitu tujuh keturunan menjadi padang jarak padang tekukur. Dengan kata lain mereka menerima sumpahan Mahsuri hingga menyebabkan kurang daya usaha untuk membangunkan pulau tersebut sebelum tujuh keturunan berakhir.
Pemikiran Emotivis

Definisi  dan ciri-ciri :

Aliran pemikiran ini merujuk sikap manusia yang bertindak mengikut perasaan atau emosi. Perasaan ini dilahirkan melalui air muka, kata-kata, tingkah laku sama ada perasaan gembira mahupun sedih.

Emotivis berasal dari perkataan emosi yang merujuk kepada kebangkitan perasaan. Emotivis menerangkan bahawa pertimbangan moral bukanlah mengikut pernyataan fakta seperti yang dinyatakan oleh naturalis, tetapi adalah mengikut emosi, sikap atau perasaan.

Menurut golongan emotivis,individu-individu tersebut hanya menyatakan perasaan mereka dan pada masa yang sama mungkin menimbulkan perasaaan yang sama di kalangan orang-orang yang mendengar pernyataan-pernyataan itu. Dengan kata lain, golongan emotivis berpendapat bahawa pentafsiran-pentafsiran moral tidak menyampaikan maklumat-maklumat mengenai dunia ini tetapi hanya merupakan pernyataan mengenai emosi atau perasaan orang yang membuat pentafsiran atau pernyataan-pernyataan moral.

Berdasarkan pertimbangan moral, seseorang itu mula-mula menyatakan perasaannya dan kemudian akan cuba mengajak orang lain berkongsi perasaan itu.

Menurut pandangan emotivis, pertimbangan moral adalah subjektif, dan tidak memerlukan sebarang teori asas yang istimewa atau yang boleh mendukung perlakuan moral. Pandangan emotivis memberi sumbangan dengan memperkenalkan satu dimensi yang penting yang bukan sahaja berfokus kepada pemikiran rasional, malah emosi moral. Golongan emotivis cuba menganalisis “apa yang salah” dari segi emosi, sikap atau perasaan yang tidak dipersetujui. Tetapi konsep “tidak dipersetujui” mengandaikan terlebih dahulu penanggapan “salah”. Pentafsiran-pentafsiran seperti ini mempunyai unsur emosi atau perasaan. Jelaslah bahawa kelemahan teori emotivis ialah ia tidak mempunyai konsep “emosi” yang lengkap.

Kritikan terhadap pandangan ini adalah kerana terdapat tindak balas emosi berlainan terhadap situasi yang sama. Ini memungkinkan keputusan dibuat secara sewenang-wenangnya dan tidak dikaji terlebih dahulu.

Antara contoh yang menggambarkan seseorang individu atau masyarakat yang berfikiran sedemikian ialah:

  • Seorang perompak telah menembak mati seorang wanita berusia 30an di tempat letak kereta Gedung Membeli Belah  Giant kerana wanita tersebut enggan menyerah keretanya kepada perompak tersebut.

  • Melihat kecurangan isteri di depan mata menyebabkan suami tanpa berfikir panjang lalu menceraikannya, menyiksa atau membunuhnya.

  • Murid Tingkatan Empat menumbuk guru kelas yang menyindir keturunan murid tersebut

  • Bersikap seperti marahkan pijat kelambu dibakar

  • Bunuh diri kerana kecewa dalam percintaan

  • Menghalau anak dari rumah kerana anak itu telah menconteng arang di muka keluarga.

  • Sekumpulan lelaki merogol seorang gadis kerana abang gadis itu membunuh salah seorang daripada saudara kumpulan lelaki tersebut.

  • Lupin berasa marah apabila didapati tugasannya telah diberi markah yang rendah oleh pensyarahnya. Mengenai markah yang rendah itu, Lupin mungkin berkata , “Pensyarah itu aneh betul! Adakah dia membaca dan meneliti tugasan saya dengan rapi? Mungkin tidak. Pemalas!”
Pemikiran Intuitionis

Definisi  dan ciri-ciri :

Adakalanya, kita tahu kita boleh mempercayai seseorang walaupun kita baru pertama kali menemui orang itu. Setengah-setengah orang merasakan mereka tahu perkara-perkara seperti ini. Pengetahuan ini diperoleh melalui intuisi. Perkataan ‘intuisi’ berasal daripada perkataan Latin intueor yang bermakna ‘saya memandang tepat kepada sesuatu’. Ia merupakan satu proses ‘melihat’ atau ‘memahami’ secara intelek. Menurut pandangan intuisionis, pengetahuan ini boleh diperoleh melalui fahaman atau pengertian langsung.

Aliran pemikiran ini merujuk satu proses ‘melihat’ dan ‘memahami’ secara spontan. Aliran ini ada kaitannya dengan gerak hati. Dengan itu, tindakan seseorang individu yang berfikiran intuisionis adalah berlandaskan apa yang dirasai di dalam hatinya. Orang tua yang bijak telah mengalami 1001 pengalaman hidup oleh itu apabila mereka menghadapi sesuatu masalah atau isu, mereka dapat membaca apa yang tersirat daripada yang tersurat. Bak kata pepatah Melayu ‘terkilat ikan di air sudah tahu jantan betina’.

Dengan kata lain pemikiran intuisionis ialah sejenis pengetahuan yang lebih tinggi dan berbeza daripada yang diperoleh secara individu. Aliran pemikiran ini juga boleh dikaitkan dengan pemikiran spontan celik akal. Kemunculan idea yang meledak secara tiba-tiba dalam memberikan tafsiran terhadap sesuatu perkara boleh dikaitkan dengan aliran pemikiran ini. Maka berkatalah Munsyi Abdullah, intelek Melayu dalam bahasa indahnya, ‘lagi kutebas pohon di hutan, baru kutahu luasnya bentara’.

Kesimpulannya, orang yang terlebih dahulu makan garam, maka teballah intuisionisnya berbanding dengan gadis remaja yang mudah ditipu oleh lelaki ‘don juan’ atau ‘kasanova’ lantaran pengalaman hidupnya yang masih hijau; sebab itulah mereka mudah diperkotak-katik dengan janji-janji manis lelaki hidung belang.



Antaranya contoh yang menggambarkan seseorang individu atau masyarakat yang berfikiran sedemikian ialah:

  • Gerak hati orang tua ketika menilai bakal menantu pada kali pertama berdasarkan timbunan pengalaman lalu serta kematangan fikiran lantaran faktor usia.

  • Gadis remaja yang mudah ditipu oleh lelaki ‘don juan’ atau ‘kasanova’ lantaran pengalaman hidupnya yang masih hijau kerana mereka mudah diperkotak-katik dengan janji-janji manis lelaki hidung belang.

  • Sekiranya Vinod, seorang pelatih, berfikiran intuisionis, mungkin akan berkata sedemikian mengenai markah yang rendah diperoleh bagi kerja kursusnya, ‘Cis! Pensyarah itu memang tidak suka pada saya, sebab itulah markah saya rendah. Lain kali, saya tak akan bekerjasama dengannya.’
Pemikiran Rasionalis

Definisi  dan ciri-ciri :

Rasionalis berasal daripada perkataan ‘ratio’ yang bermakna ‘reason’ atau sebab. Segala tingkah laku moral seperti menghormati orang tua, menyayangi alam sekitar dan semangat patriotik perlukan asas pemikiran rasional yang waras dan logik.

Beza antara manusia dan binatang ialah akal. Manusia yang waras akan menggunakan akal fikirannya untuk penaakulan, membuat keputusan dengan bijak, menyelesaikan masalah, merekacipta sesuatu yang boleh dimanfaatkan manusia sejagat.   Kes-kes bunuh diri, menggunakan keganasan untuk mendapat sesuatu,  bukanlah berpunca daripada pemikiran rasional.

Ahli-ahli falsafah yang menekankan penaakulan atau pemikiran sebagai faktor utama dalam pengetahuan sebagai rasionalis. Golongan rasionalis mempunyai pendangan bahawa kita mengetahui sesuatu hasil daripada pemikiran kita; bahawa fikiran kita berupaya menemui kebenaran dengan dirinya sendiri. Mengikut pandangan ini, pengetahuan diperoleh dengan cara membandingkan idea dengan idea-idea lain. Golongan rasionalis berpendapat bahawa pancaidera-pancaidera dengan sendirinya tidak dapat menghasilkan pentafsiran-pentafsiran yang sah. Pengalaman-pengalaman yang diperoleh melalui pancaindera kita seperti penglihatan, pendengaranm sentuhan, bau dan rasa hanya merupakan bahan-bahan mentah pengetahuan. Pengalaman-pengalaman yang diperoleh itu perlu disusun oleh pemikiran kita supaya membentuk satu sistem yang bermakna sebelum ia menjadi pengetahuan. Bagi golongan rasionalis, pengetahuan itu diperoleh daripada konsep-konsep, prinsip-prinsip dan hukum-hukum, bukan daripada deria fizikal sahaja.

Menurut golongan rasionalis lagi, manusia mempunyai keupayaan untuk mengetahui dengan pasti, pelbagai kebenaran mengenai kebenaran bumi yang tidak dapat diberikan oleh pacaindera semata-mata.

 
Antaranya contoh yang menggambarkan seseorang individu atau masyarakat yang berfikiran sedemikian ialah:

  • Kalau Abu lebih berat daripada Lupin dan Lupin lebih berat daripada Seng Hui, maka Abu adalah lebih berat daripada Seng Hui.

  • Dua tambah dua bersamaan dengan empat.

  • Jumlah tiga sudut dalam bagi sebuah segitiga ialah 180° atau dua sudut tepat.

  • Siti, seorang guru pelatih, telah menyempurnakan kerja kursus alat pandang dengar dengan baik tetapi markah yang diperolehnya adalah rendah. Siti, yang menunjukkan aliran pemikiran rasionalis mungkin berkata, ‘Apakah sebab-sebabnya tugasan saya kurang elok? Mungkinkah gambar-gambar yang saya gunakan itu kurang jelas? Elok saya tanya pensyarah saya supaya saya tidak mengulangi kesalahan-kesalahan itu pada masa yang datang.’

2 comments:

Anonymous said...

Very useful notes

Anonymous said...

Thanks alot.Useful notes for IPG students

Post a Comment