Falsafah dan Sumbangan Sains dan Teknologi Islam
kepada Peradaban Manusia.
PENGENALAN:
Ilmu merupakan hak dan milik Allah S.W.T. yang dikurniakan kepada manusia supaya melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai khalifah Allah S.W.T. di muka bumi. Ilmu ini dapat membawa manusia untuk mengenali Khaliqnya. Kewajipan dan tanggungjawab keagamaan yang akan dipersoalkan penunaiannya di Akhirat kelak. Sains dan ilmu pengetahuan hendaklah digunakan dalam jalan yang membawa kepada manfaat dan tidak disalahgunakan ke arah yang mengakibatkan musibat serta digunakan dengan faedahnya untuk mendatangkan maslahat dan tidak diselewengkan kegunaannya ke jalan yang menyebabkan mudarat.
Sains dan teknologi adalah berbeza. Dari segi takrif, sains berasal daripada perkataan Inggeris science dan perkataan Inggeris pula daripada Latin scientia yang bermaksud ilmu dalam bahasa Melayu. Takrif sains ialah "Suatu cabang ilmu yang mengkaji sekumpulan penyataan yang terbukti atau melalui fakta-fakta yang ditinjau serta dicerapi dan disusun secara sistematik, dan dikumpul dalam bentuk hukum-hukum umum". Maka sains dapat dirumuskan sebagai satu proses untuk mencari dan menemui suatu kebenaran melalui pengetahuan, memahami tabii untuk menerangkan Hukum Alam, Hukum Sains bagi menerangkan undang-undang tabii . Takrif teknologi pula ialah teknologi berasal daripada perkataan Tekne yang bermakna kemahiran atau kraf , kemahiran bermaksud pengetahuan, kebolehan, dan pencapaian sementara kraf bererti kekuatan, atau tenaga, sama dengan keupayaan untuk merancang atau membentuk. Kraf juga bermakna kemahiran manusia yang diperoleh melalui pengetahuan dan kelaziman.
Dengan menggabungkan semua elemen ini, maka teknologi dapat ditakrifkan sebagai "cara-cara yang digunakan oleh manusia dalam mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran untuk mencapai atau memenuhi matlamat dan tujuan tertentu." Maka teknologi dapat sebagai penggunaan bersistem pengetahuan-pengetahuan sains untuk pelbagai tujuan amali, penguasaan pengetahuan, kemahiran atau kebolehan untuk memudahkan urusan kerja dan kehidupan manusia.
Bidang-bidang
sains dan teknologi Islam boleh dibahagikan kepada beberapa jenis seperti fizik, botani, zoologi, perubatan, kejuruteraan dan sebagainya. Setiap bidang telah banyak menyumbang kepada peradaban manusia sama ada dari segi falsafah atau ciptaannya.
ISI-ISI:
Sains menekan pencapaian pemikiran manusia dalam menguasai ilmu pengetahuan dan merupakan bidang ilmu yang membolehkan manusia mengetahui, memahami dan menerangkan sesuatu fenomena alam semesta. Ia juga suatu proses mencari dan sampai kepada satu kebenaran dengan menggunakan kaedah mengajukan pertanyaan bagi mencari dan mendapat jawapan tentang asal-usul alam semesta serta mencari kebenaran mutlak. Sains merupakan asas landasan kepada perkembangan teknologi apabila pengetahuan sains digunakan secara bersistem untuk tujuan amali.
Manakala teknologi menjadi bidang ilmu yang memberikan tumpuan kepada kebolehan dan kemampuan manusia dalam menguasai kemahiran dan kecekapan. Ia menyentuh aspek-aspek berkaitan ciptaan peralatan, rekaan barangan, perbuatan perkakas, penghasilan barangan pengguna, reka bentuk, seni reka cipta dan sebagainya. Teknologi ialah pelengkap kepada sains bagi memudahkan urusan, kerja dan kehidupan manusia.
Skop kajian sains adalah luas, umum dan bersifat teoretikal merangkumi pelbagai bidang dan cabangan disiplin ilmu. Kajian-kajian yang dilakukan dalam sains tabii dikelompokkan sebagai penyelidikan asas yang bertujuan memperbaharu dan mengemas kini pengetahuan tentang manusia dan alam semesta. Manakala kajian-kajian dalam sains gunaan dinamakan penyelidikan gunaan yang lebih memberikan penekanan kepada keperluan-keperluan jangka pendek dan jangka panjang dalam menghasilkan pengeluaran dalam bidang-bidang yang mempunyai nilai amali.
Teknologi ialah aktiviti matlamat terarah seperti meningkatkan kebolehan dan keupayaan manusia, contohnya meningkatkan kemampuan penglihatan manusia melalui penciptaan kaca mata, teleskop, binokular, mikroskop dan x-ray. Satu lagi aktiviti matlamat terarah teknologi ialah mengurangkan dan menghapuskan risiko terhadap manusia, contohnya asbestos, vaksin, kawalan kelahiran dan sebagainya. Manakala sains lebih bersifat bukan aktiviti matlamat terarah dan tidak bersifat khusus dari segi ekspitasinya. Sumbangan bidang teknologi pula menyentuh pencapaian dalam pembuatan dan penghasilan, manakala sains pula menekankan aspek pemahaman manusia terhadap tabii dan alam semesta. Sifat pengetahuan sains adalah berbentuk teoretikal walaupun mempunyai objektiviti, manakal pengetahuan teknologi adalah praktikal.
Teknologi berdasarkan ilmu melibatkan pengetahuan bagaimana mengubah material dengan menggunakan kaedah-kaedah tertentu, ia melibatkan penyelesaian masalah secara konkrit, manakala sains pula menjadi asas pengetahuan manusia dalam mengubah material-material tersebut. Maka, pengetahuan sains ialah asas kepada pencapaian teknologi.
Tujuan dan Matlamat Sains Islam ialah mengarah dan membawa seseorang untuk mengenali dan mengetahui Allah S.W.T iaitu pemilik mutlak ilmu dan sumber kepada segala pengetahuan manusia. Peranan secara langsung dimainkan oleh sains keagamaan seperti ilmu kalam, Hadis dan sebagainya; manakala peranan secara tak langsung dimainkan oleh sains intelek seperti astronomi, botani , fizik, kimia dan sebagainya.
Mendekat dan menghampirkan diri seseorang dengan Khaliqnya, Allah S.W.T.. Sains berkembang di atas prinsip cuba jaya. Kegagalan dalam percubaan mencapai kejayaan dalam proses eksperimen menimbulkan kesedaran dan keinsafan. Ini mendekatkan diri seseorang kepada Allah S.W.T., meningkatkan tahap ketakwaan dan keimanan terhadap Allah S.W.T. Pengalaman yang dilalui oleh seseorang saintis dalam eksperimennya dan penumpuan perhatian kepada perkembangan dan perubahan sesuatu fenomena akan meninggalkan kesan terhadap peningkatan aspek kerohanian yang mempengaruhi peningkatan ketakwaan dan keimanan dalam diri seseorang saintis.
Sains memungkinkan manusia mengeksploitasikan khazanah alam dan sumber tabii yang dianugerahkan Allah S.W.T. secara cekap dan berkesan. Di samping itu, sains juga mengupayakan manusia menghasilkan sumber kuasa dan tenaga daripada sumber-sumber tabii yang dikurniakan Allah S.W.T. seperti kuasa dan tenaga matahari, hidro, stim, dan sebagainya.
Sains Islam menekan aspek kreativiti seni dalam penghasilan dan penyumbangan sains. Aspek ini diberikan perhatian serius oleh komuniti saintis dan teknokrat muslim pada zaman kegemilangan pencapaian sains dan ilmu pengetahuan dalam sejarah keagungan tamadun Islam silam. Unsur ini dapat dikesani jelas daripada bahan-bahan warisan peninggalan sejarah Islam dalam seni bina masjid dan istana seperti ukiran khat, air pancut dan taman bunga. Warisan sejarah ini menggambarkan pencapaian dalam bidang seni bina dan kejuruteraan dan menunjukkan daya kreativiti yang tinggi.
Metodologi yang digunakan oleh teknokrat dan jurutera muslim dalam menghasilkan sesuatu ciptaan ialah menyepadukan ilmu, kemahiran, pengalaman dan seni dalam menghasilkan sesuatu yang terbaik. Selain daripada kreativiti seni, sains Islam juga memberikan tumpuan kepada kemahiran dalam mereka cipta. Aspek ini penting dalam menentukan pencapaian bidang teknologi yang telah dikuasai. Reka cipta merupakan kreativiti penting dalam sektor penghasilan barangan, penciptaan alat dan pembuatan perkakas.
Dalam sejarah teknologi Islam, banyak alat dan jenis perkakas yang telah dicipta dan dihasilkan oleh para saintis dan teknologis muslim sama ada untuk tujuan kegunaannya dalam sains atau untuk keperluan umum. Contohnya penciptaan peralatan hidraulik, alat-alat mekanik untuk memudahkan kerja, penciptaan peralatan dan perkakas yang digunakan dalam melakukan pembedahan. Pengaplikasian pengetahuan sains untuk tujuan amali telah berjaya menghasilkan reka cipta tersebut. Ahli-ahli sains dan teknik Muslim banyak memberikan sumbangan dalam bidang berkenaan, terutamanya dalam bidang kejuruteraan mekanikal. Contohnya, pembinaan kapal, sistem pengairan bawah tanah, pemprosesan logam, pembuatan jam dan sebagainya.
Penulisan buku dan risalah-risalah ilmu menjadi aktiviti yang diberikan perhatian berat dalam budaya ilmu dan tradisi keilmuan Islam zaman silam. Kreativiti penulisan merupakan faktor yang menentukan perkembangan kemajuan sains Islam. Buku-buku yang dihasilkan telah dijadikan sumber rujukan dalam menjalankan kajian dan penyelidikan. Kejayaan menghasilkan buku-buku ilmu sungguh mengagumkan dan diwarisi oleh generasi semasa dan selepasnya.
Sains Islam menitikberatkan aspek penunaian tanggungjawab manusia sebagai khalifah Allah S.W.T. di bumi. Prinsip etika sains Islam adalah memenuhi tanggungjawab akhlak yang ditentukan oleh shaff'ah. Prinsip lain ialah berlaku adil dalam memenuhi tanggungjawab, memelihara keindahan dan menjagai keaslian alam semula jadi, tidak merosak dan memusnahkan alam, mengutamakan kepentingan awam dan tidak melakukan pembaziran.
Kecemerlangan pencapaian komuniti saintis Muslim silam dalam bidang sains dan teknologi ialah keupayaan mengaplikasikan sains untuk tujuan teknologi seperti pembinaan institusi-institusi seperti balai cecerap, hospital, makmal herba dan Turkish bath. Misalnya pengetahuan dan kepakaran pembinaan balai cecerap yang dilengkapi dengan pelbagai jenis peralatan penting makmal yang diperlukan dalam kajian astronomi. Selain balai cecerap, hospital juga menjadi institusi penting ahli-ahli sains Islam dalam bidang perubatan. Dalam sejarah perkembangan bidang sains perubatan Islam, hospital tidaklah berfungsi sebagai pusat kesihatan untuk memberi rawatan kepada pesakit sahaja, tetapi juga sebagai pusat pendidikan dan latihan.
Dilihat dari segi sejarah perkembangannya, sains Islam berpaksikan paradigmanya yang tersendiri. Keistimewaan dan keunikan paradigma tersebut menentukan pembentukan pandangan semesta komuniti saintis Muslim terhadap sains alam semesta. Inilah rahsia yang menentukan kecemerlangan dan kegemilangan pencapaian sains dan ilmu pengetahuan pada zaman keagungan tamadun Islam.
Terdapat banyak bidang sains dan teknologi Islam. Antaranya ialah fizik,botani,zoologi,perubatan dan sebagainya. Fizik dalam konteks pengertian moden ialah satu cabang ilmu berkenaan kejasmanian sifat bahan yang terdapat dalam alam dan saling tindak antara benda itu. Ia berkenaan dengan jirim dalam ruang dan merangkumi segala benda yang berubah. Kebanyakan masalah yang diketengahkan oleh para saintis muslim dan ahli falsafah Islam dalam bidang fizik adalah dalam lingkungan rangka kerja doktrin tentang bentuk dan benda, kemungkinan dan kenyataan.
Fizik Islam berpegang pada prinsip 'fizik tidak menafikan metafizik'. Sesuatu yang tidak dapat dibuktikan kebenarannya melalui pendekatan fizik tidaklah bermakna tidak benarnya sesuatu yang bersifat metafizik. Keseragaman hukum fizik atau mekanik yang terdapat pada sesuatu fenomena tabii adalah sebagai pernyataan Allah S.W.T. yang membuktikan sifat keesaan Khaliq. Fenomena ganjil yang berlaku pada sesuatu tabii merupakan petanda tentang keagungan dan kekuasaan Allah S.W.T. Alam nyata bersifat baharu, tidak kekal dan akan berakhir dengan kehancuran dan kemusnahan fana. Fenomena tabii ialah Pernyataan Kendiri Allah S.W.T. untuk diamati dan direnung oleh mereka yang mempunyai akal budi.
Pencapaian dan sumbangan fizik Islam dapat dilihat dari tiga sudut, iaitu pencapaian dalam fizik teori, penciptaan alat dan peralatan, serta penulisan buku dan risalah-risalah fizik.
Dari segi pencapaian dalam fizik teori, para saintis muslim telah mengkaji dengan mendalam tentang masalah-masalah asas fizik seperti fenomena tenaga, daya, gerakan, kekosongan, cahaya, bunyi, had laju cahaya dan sebagainya. Konsep dan teori penting fizik yang diketengah dan dikembangkan oleh komuniti saintis Islam oleh Ibnu Sina dalam menerangkan projectile motion. Kemudiannya fizik teori ini diperinci penjelasannya oleh Abfi al-Barakah al-Baghdadi. Konsep kedua terpenting yang telah dikembangkan oleh saintis Islam ialah momentum. Konsep ini telah dibincangkan secara terperinci oleh Ibn al-Haytham di dalam buku-nya.
Di samping pencapaian dalam fizik teori, ahli-ahli sains muslim juga banyak menerbitkan hukum-hukum fizik baru dalam menerangkan fenomena tabii yang terdapat di alam nyata seperti hukum pembiasan cahaya dalam menerangkan kejadian pelangi, pembentukan imej di atas cermin 'spherical' dan parabola, pembesaran imej yang dihasilkan oleh kanta, hukum-hakam mekanik dan masalah kestabilan, proses kejadian bunyi, fenomena gempa bumi dan sebagainya.
Ibn ai-Haytham telah membuat banyak penemuan dalam disiplin optik. Beliau telah menyangkal teori optik Greek yang menyatakan dalam proses penglihatan cahaya bergerak dari mata menuju ke objek dan membuktikan proses yang berlaku adalah sebaliknya. Qutb al-Din al-Shirgzi ialah ahli sains pertama yang telah berjaya secara saintifik menerangkan proses bagaimana berlakunya kejadian pelangi. Beliau membuktikan proses kejadian pelangi ialah akibat daripada berlakunya pembiasan cahaya matahari dalam rintik hujan yang jatuh di udara.
Hukum-hakam mekanik dan masalah kestabilan banyak dihuraikan oleh keluarga Bani Musa, iaitu Musa bin Sakir dan anak-anaknya Muhammad Ahmad dan Hassan al-Biruni pula telah menyukat graviti spesifik benda-benda logam dan bukan logam. Fenomena bunyi dan kejadian gema merupakan aspek kajian yang menjadi tumpuan minat al-Jaldaki. A1-Khazini pula banyak menjalankan kajian dan mengetengahkan banyak dapatan penemuan dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan mekanik dan hidrostatik.
Dalam sejarah perkembangan fizik Islam, penciptaan peralatan dan perkakas juga merupakan aspek penting yang diberi penekanan oleh komuniti saintis Muslim. Ahli sains Islam telah mencipta beberapa peralatan. Antara alat yang dicipta dan diketengahkan ialah aerometer bagi mengukur kepekatan bendalir dan suhu, alat penimbang, pendulum bagi mengukur masa kanta, cermin "spherical" parabola, jarum magnetik untuk menentukan arah dan sebagainya.
Dari segi penulisan buku dan risalah-risalah fizik pula, al-Biruni (973 M - 1048 M) (r.h.) ialah seorang ahli fizik Muslim yang dikenali kepakarannya dalam bidang sains dan falsafah juga menulis beberapa buah buku. Buku-buku tersebut banyak menyentuh aspek berkaitan dengan graviti. Kitab al-Mu'tabar karangan Abu Bakr al-Baghdgtdi (1077 M - 1165 M) (r.h.) ialah buku yang mempunyai maklumat idea-idea berguna tentang fizik seperti masalah pecutan, jasad terjatuh dan terluncur; kritikan terhadap fizik Aristotles dan menolak teori yang menyatakan daya malar menyebabkan gerakan seragam yang lajunya berkadaran dengan daya. Kitab al-Manazir yang banyak menjelaskan optik dan kajian saintifik tentang cahaya dan fakulti penglihatan merupakan karya agung yang dihasilkan oleh Ibn al-Haytham. Sumbangan sarjana sains Islam al-Mas'udi dalam bidang fizik adalah melalui bukunya yang bertajuk Muruj al-Dhahab yang banyak membincangkan bahan dan unsur-unsur logam.
Pencapaian dan sumbangan yang telah disebutkan merupakan sebahagian kecil daripada contoh-contoh penulisan buku dan risalah-risalah fizik saintis muslim, terdapat banyak lagi buku dan risalah fizik diterbit oleh tamadun Islam.
Sains Biologi ialah suatu bidang ilmu yang berkaitan dengan fenomena benda-benda hidup terdiri daripada makhluk hidup yang paling seni seperti virus, hama, bakteria sehinggalah makhluk yang paling kompleks iaitu manusia yang telah dicipta oleh Allah S.W.T. dengan pelbagai bentuk dan struktur yang cukup rumit. Tumpuannya merangkumi manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan.
Falsafah Biologi Islam berpaksikan prinsip, konsep dan tujuan mewujudkan kemakmuran melalui peningkatan produk pertanian dan hasil penternakan bagi membasmi kemiskinan. Ia membolehkan manusia menikmati segala pemberian Allah S.W.T. dengan cara sebaik mungkin. Makhluk-makhluk (haiwan dan tumbuhan) dijadikan oleh Allah S.W.T. di segi fitrahnya mempunyai pelbagai faedah dan kegunaannya untuk manusia, meningkatkan keimanan dan ketakwaan terhadap Allah S.W.T. melalui ayat-ayat yang diperlihat dalam kitab Allah S.W.T..
Kesempurnaan kejadian makhluk dilihat oleh ahli-ahli sains Islam sebagai petanda kesempurnaan sifat Pencipta. Kelainan bentuk dan struktur yang terdapat pada benda-benda hidup memperlihatkan sifat kebesaran Tuhan. Kepelbagaian faedah dan kegunaan sesuatu makhluk menunjukkan keluasan rahmat Tuhan. Unsur kecantikan dan keindahan yang wujud pada makhluk hidup menggambarkan keindahan sifat Tuhan. Makhluk diciptakan dengan keadaan lengkap dan sempurna, tetapi boleh disempurnakan lagi oleh manusia dengan menggunakan pengetahuan dan kepakaran sains yang dikuasainya.
Dalam konteks perkembangan sains Islam, bidang biologi telah dikaji oleh biologis muslim dari sudut hubungan antara benda wujud kerana menurut pandangan semesta Islam dunia ialah satu penyatuan organik.
Minat komuniti saintis Islam dalam mengkaji botani didorong oleh faktor-faktor luaran, iaitu untuk kepentingan sains perubatan dan keperluan untuk sains pertanian. Para saintis Islam menunjukkan minat yang begitu mendalam dalam kajian botani lantaran kebanyakan ubat yang digunakan untuk rawatan dan pemulihan berasal dan datang dari sumber tumbuhan herba dan pokok-pokok ubatan.
Dari segi pencapaian dan penulisan buku tentang botani, kerja penyelidikan ahli sains Islam tentang botani bermula pada abad ke-8 Masehi. Dalam masa sama terdapat beberapa orang ahli sains Islam yang menunjukkan minat dalam mengkaji tumbuhan dan mengumpulkan maklumat-maklumat berkaitan dengan bentuk dan rangka organisme, sifat dan ciri serta nama tumbuhan. Conthonya Ibn Sikkit Abu Sa'id al-Asma'i bukan terkenal dengan sumbangannya dalam bidang zoologi sahaja, tetapi juga bidang botani. Buku penting beliau mengenai botani ialah Kitab al-Nabat Wa al-Shajar. Buku ini banyak membincangkan hasil dapatan kajian beliau mengenai tumbuhan.
Dan abad ke-9 Masehi dan seterusnya, buku-buku dalam bidang perubatan berbahasa Arab telah mula memberikan penekanan kepada bahagian-bahagian yang membincangkan tanaman serta tumbuhan dan kepentingan faedahnya dari segi perubatan. Buku yang paling penting dihasilkan pada abad ini ialah Kitab al-Nabat hasil karya Abu Hanifah al-Dinawari. Buku ini menggabungkan filologi (sejarah nama tumbuhan) sejarah dan pendekatan yang digunakan dalam mengkaji tumbuhan.
Dalam abad ke-10 Masehi beberapa kajian tumbuhan yang menggunakan pendekatan falsafah telah dihasilkan. Sekumpulan saintis Sufi telah menghasilkan beberapa kajian tentang marfologi asal-usul dan cara-cara tumbuhan membesar. Ibn Sina juga, dalam bukunya al-Shifa', telah membincangkan tumbuhan dari perspektif falsafah dan pandangan saintifik. Apa yang telah disebutkan hanyalah sebahagian kecil contoh pencapaian komuniti saintis dalam bidang botani.
Dalam sejarah perkembangan zoologi Islam pula, saintis Muslim mengkaji alam haiwan dengan berasaskan beberapa tujuan, antaranya untuk menentukan penjelasan haiwan bagi memastikan statusnya dari segi hukum Syara', sama ada haram atau harus sesuatu binatang itu dimakan. Pembiakan dan penjinakan haiwan untuk keperluan kehidupan serta mengetahui dan mengenal pasti kegunaan untuk dipertingkatkan kemanfaatannya bagi kegunaan manusia untuk melihat penyataan Allah S.W.T. yang ingin disampaikan kepada manusia.
Dari segi pencapaian dan penulisan dalam bidang zoologi, kerja-kerja penyelidikan terawal zoologis Islam dalam mengkaji haiwan bermula pada abad ke-8 Masehi. Bentuk kajian yang dilakukan lebih memberikan tumpuan kepada unta dan kuda, terutama sekali dalam aspek pembiakan binatang-binatang tersebut. Pada abad ke-9 M terdapat beberapa orang ahli sains Islam telah menulis tentang zoologi. Begitu juga beberapa orang ahli sains dan usuluddin Mu'tazilah pada zaman ini telah menunjukkan minat dalam bidang zoologi.
Ahli sains Mu'tazilah, al-Jahiz (r.h.), telah menulis Kitab al-Hayawan dan buku ini mengumpulkan segala pengetahuan yang terdapat sebelum masa beliau. Ini diperoleh daft sumber Arab, India, dan Greek. Beliau mengkaji lebih daripada 350 jenis haiwan dan haiwan ini dibincang dan diklasifikasikan kepada empat kategori mengikut cara haiwan-haiwan itu bergerak.
Ahli falsafah Islam, al-Kindi (r.h.) menghasilkan beberapa buku mengenai binatang. Beliau mengelompakkan bidang zoologi sebagai satu disiplin tersendiri. Tabib dan ahli falsafah Islam, Ibn Sina juga membincang binatang dalam bab ke-8 bukunya, al-Shifa. Dalam bab ini beliau banyak membuat bahasa yang berhubung dengan psikologi dan fisiologi binatang.
Hayat al-Hayawan al-Kubra merupakan buku penting dalam bidang zoologi yang ditulis oleh al-Damiri. Kepentingan buku ini jelas berdasarkan fakta ia diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Jayakar pada tahun 1906. Kajian zoologi beliau mendahului Buffon yang dianggap sebagai bapa zoologi moden, al-Asma'i merupakan ahli sains Islam yang banyak memberikan sumbangan dalam bidang zoologi, terutama sekali bidang biologi haiwan dan biak-baik. Buku-buku beliau yang penting banyak membincangkan anatomi manusia.
Teknologi dan kejuruteraan merupakan alat penting dalam menentukan kelahiran sesuatu tamadun. Atas kesedaran inilah dan didorong pula oleh tujuan bagi memenuhi kehendak tuntutan tanggungjawab agama, maka ahli-ahli teknokrat Islam telah memberikan perhatian untuk menguasai pengetahuan dalam kedua-dua bidang berkenaan. Faktor ini dipengaruhi oleh beberapa kemungkinan. Bidang kejuruteraan merupakan bidang ilmu praktikal berorientasikan kemahiran. Oleh itu pemindahan pengetahuan dilakukan melalui pemerhatian dan tunjuk cara hanya kepada mereka yang berminat dan berbakat. Pandangan semesta saintis Islam terhadap sains itu sendiri mengambil sikap bahawa pengetahuan tersebut tidak perlu dibukukan kerana sifat ilmu itu sendiri sudah menepati kehendak ilmu yang dapat dimanfaatkan.
Falsafah kejuruteraan Islam memberi penekanan kepada prinsip dan konsep memudahkan urusan, memberikan keselesaan dan menyenangkan kehidupan tetapi tidak membawa kepada kelalaian serta kealpaan. Ketrampilan orang-orang Islam dalam bidang kejuruteraan lebih banyak dalam kejuruteraan awam. Orang-orang Islam telah mengeksploitasi sumber air dengan sebaik mungkin, terutama dalam pertanian dan menghasilkan tenaga dalam penjanaan kuasa untuk tujuan perindustrian. Terdapat banyak kilang di setiap kawasan di negara Islam yang dijalankan oleh kuasa air. Di samping tenaga air, angin juga merupakan sumber kuasa yang digunakan untuk mengepam air, mengisar jagung, memerah tebu dan sebagainya.
Jam air dan jam mekanik merupakan rekaan orang Islam. Terdapat rekod yang menjelaskan bahawa jam air yang telah dihadiahkan kepada Charlemange oleh Harun al-Rashid itu telah dicipta oleh Ibnu Haytham. Dalam teknologi binaan, orang Islam telah menggunakan batu-bata, tanah liat dan kayu sebagai bahan binaan.
Untuk tujuan pengangkutan dan perjalanan, jalan dan jambatan telah banyak dibina.Jalan-jalan dijaga dengan baik. Dalam kebanyakan bandar, lorong-lorong diturap dengan batu. Untuk tujuan pengangkutan air, kapal-kapal digunakan. Jarum magnetik (magnetic needles) digunakan untuk menentukan kedudukan arah perjalanan dalam pelayaran.Teknologi pengairan bawah tanah qanat merupakan pencapaian kejuruteraan yang diperkenalkan oleh orang-orang Islam.
Pembinaan kapal juga merupakan satu industri utama orang Islam. Terdapat dua jenis kapal yang dibina oleh orang Islam, iaitu kapal perang dan kapal dagang. Orang Islam juga mencapai tahap kejayaan yang tinggi dalam teknologi kejuruteraan kimia seperti pengeluaran air ros, bahan-bahan pewangi. Komuniti saintis Muslim juga menguasai kemahiran dalam pembinaan terusan dan empangan. Contohnya pembinaan terusan Abu Musa dan terusan Ma'akal.
Dalam aspek kejuruteraan hidraulik, para teknokrat Islam juga telah menghasilkan banyak peralatan dan perkakas untuk memudahkan urusan kerja dan mengurangkan tenaga. Perindustrian kulit juga merupakan aspek penting dalam pencapaian orang Islam dalam teknologi dan kejuteraan. Penghasilan barang-barang kulit meliputi pembuatan pakaian, kasut, sandal, beg, peralatan muzik dan sebagainya.
Dalam bidang astronomi terdapat beberapa karya karangan Abu Ma’syar dan al-Khawarizmi. Karya mereka telah diterjemahkan ke bahasa Latin oleh Adelard of Bath dan John of Siville. Karya al-Battani juga telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin oleh Alfonso X. Ahli astronomi Eropah bernama Romond telah menulis karya astronominya berdasarkan karya Ibn al-Zarqiyali (Azarchel). Ibn al-Zarqiyali mahir dalam menentukan gerhana matahari dan telah mencipta sebuah kompas untuk menentukan jarak antara bulan dan bumi dan di antara bintang-bintang dan matahari. Dalam bahasa Eropah terdapat beberapa istilah astronomi yang dipinjam daripada bahasa Arab. Antaranya ialah alsumut dan nadir (nazir). Umat Islam juga telah berjaya mencipta kompas yang digunakan dalam pelayaran di laut. Dengan itu pelayaran di laut dan kegiatan perdagangan telah berkembang dengan lebih pesat. Muhammad bin Musa telah mencipta astrolab (jam matahari). Beliau juga mencipta sebuah alat yang dapat mengukur bulatan dunia. Pada abad ke-12M, Abu Solet telah mencipta sebuah alat yang dapat menimbulkan semula kapal yang sudah tenggelam.
Perubatan Islam berasaskan falsafah, konsep dan prinsip: penyakit datang daripada Allah S.W.T. dan Allah yang menyembuhkannya. Setiap penyakit ada ubatnya. Ajal dan maut adalah di tangan Allah S.W.T. Di samping ubat dan rawatan klinik, doa dan ayat al-Qur'an menjadi ubat untuk mengubati dan menyembuhkan penyakit. Kesakitan penyakit ialah cubaan dan dugaan Allah S.W.T. untuk menguji ketabahan dan kesabaran seseorang. Riadah dan rekreasi adalah penting sebagai langkah pencegahan penyakit. Kebersihan menjadi aspek yang dititikberatkan untuk memastikan kesihatan terjamin. Wabak dan bala merupakan balasan dan pengajaran terhadap salah laku manusia. Kesederhanaan dalam semua aspek kehidupan adalah penting bagi menjamin kesihatan. Kesihatan tubuh badan ialah nikmat pemberian Tuhan yang perlu dihargai serta disyukuri dan tidak boleh berputus asa dalam berusaha untuk menyembuhkan sesuatu penyakit.
Dari segi pencapaian dan sumbangan perubatan Islam, Abu Bakr Muhammad Ibn Zakariyya al-Razi merupakan ahli perubatan pertama yang membezakan antara cacar dengan campak, menyediakan beberapa jenis ubat daripada yang tumbuhan dan tanaman, merekodkan banyak kes klinik dengan tepat. Beliau membahagikan ubat kepada tiga kategori, iaitu galian, sayuran dan benda hayat serta menjelaskan fungsi masing-masing. 'Ali ibn al-'Abbas al-Ahwazl merupakan tokoh perubatan Islam pertama yang menerangkan hubungan rangkaian urat dengan arteri. Beliau juga menerangkan kepayahan untuk menyembuhkan penyakit tibi.
Dalam penyediaan ubat, al-Ahwazi mencipta dan menerangkan pelbagai jenis pil, bedak, sirap, salap dan sebagainya. Dalam bidang pembedahan, Abu al-Qasim Khalaf Ibn al-Abbas al-Zahrawi (r.h.) telah mengetengahkan banyak pengetahuan penting tentang pembedahan. Antaranya pembedahan biasa, kaedah-kaedah mengeluarkan batu dari pundi kencing, pembedahan mata dan gigi, pemotongan organ dari tubuh badan dan sebagainya.
Ibn Sina ialah tabib pertama yang secara tepat menerangkan meningitis, beliau juga telah menemui bagaimana jangkitan tibi berlaku, menjelaskan penyakit yang menyebabkan demam kuning . Beliau juga banyak memberi penjelasan tentang penyakit termasuk barah.
Sumbangan-sumbangan yang telah diketengahkan merupakan hanya sebahagian kecil daripada contoh pencapaian kajian saintis Muslim dalam bidang perubatan. Di samping sumbangan yang berbentuk penemuan baru dalam bidang perubatan, ahli sains perubatan Islam juga telah mencipta dan memperkenalkan banyak alat dan perkakas penting yang digunakan dalam bidang perubatan. Tokoh perubatan Islam yang paling banyak mencipta alat dan perkakas yang digunakan dalam bidang perubatan, terutama sekali untuk tujuan pembedahan, ialah Abu Qasim ibn al-Khalaf ibn al-'Abbas al-Zahrawi. Beliau telah mencipta lebih kurang 300 jenis alat dan perkakas.
Sebenarnya, Al-Quran telah banyak menyumbang dalam perkembangan sains di tamadun Islam dan Peradaban dunia. Misalnya, pengetahuan tentang embriologi, dalam Surah Az-Zumar ayat 6 Allah s.w.t, berfirman yang bermaksud:
“ Dia menjadikan kamu dalam rahim ibu kamu kejadian demi kejadian dalam tiga kegelapan”.
Ahli sains sebenarnya tidak mengetahui bila manusia mengetahui tentang proses perkembangan manusia di dalam uterus (rahim) ibu, gambar rajah pertama yang menunjukkan fetus berada dalam uterus telah dilukis oleh Leonardo da Vinci pada kurun ke 15. DalamAz-Zumar ayat 6, Allah s.w.t, menyatakan bahawa manusia dijadikan secara berperingkat (kejadian demi kejadian).
Dalam surah Surah Az-Zumar ayat 6 "Tiga kegelapan" mungkin merujuk kepada: (1) Dinding anterior abdomen; (2) Dinding uterus; dan (3) dinding amniochorionic Rajah 1.
Rajah 1. Rajah keratan rentas abdomen wanita dan pelvis yang menunjukkan fetus dalam uterus. Tiga lapisan (1) Dinding anterior abdomen; (2) Dinding uterus ; (3) dinding amniochorionic.
Selain itu, pernyataan dalam Surah al-Mu'minun ayat 13, titisan dimaksudkan sebagai sperma atau spermatozoa, tetapi tafsir yang lebih bermakna ialah zigot yang membahagi untuk membentuk blastosis yang menempel pada dinding uterus. Tafsiran ini diperkuatkan lagi oleh ayat al-Quran manusia dicipta daripada titisan yang bercampur.
"Dan kami jadikan air mani tersebut segumpal darah."
Pernyataan dalam surah 23:14. Perkataan "alaqah" merujuk kepada pacat. Perkataan ini menampakan perkataan yang sesuai untuk menggambarkan bentuk embrio manusia pada hari ke 7 hingga hari ke 24 ketika ia bergantung kepada endometrium uterus. Embrio antara hari ke 23 hingga 24 menyerupai seekor pacat. ( Rajah. 2).
Rajah 2. Atas, lukisan seekor pacat. Bawah, lukisan satu embrio manusia berumur 24 hari.
Kenyataan seterusnya, "lalu alaqah tersebut kami jadikan mudighah" juga terdapat dalam Surah 23:14. Perkataan Arab bagi "mudghah" bermaksud "bahan yang dikunyah atau benda yang dikunyah". Pada akhir minggu yang ke 4, embrio manusia kelihatan seakan-akan daging yang offlesh (Rajah. 3). Bentuk seperti kunyahan adalah disebabkan oleh somites yang menyempai bekas gigitan gigi.
Rajah 3. Kiri, satu model embrio manusia yang dibuat dari plastisin yang kelihatan seperti daging yang dikunyah. Kanan, lukisan embrio manusia berumur 28 hari yang menunjukkan beberapa somite yang berbentuk manik yang menyerupai gigitan gigi.
Sambungan Surah A1-Mu'minun ayat 14 menunjukkan bahawa daripada benda yang dikunyah tersebut terbentuk tulang.
"Dan dari mudighah itu Kami jadikan tulang dan tulang tersebut Kami bungkus dengan daging".
Ini sebenarnya selaras dengan perkembangan embriologi. Mulanya tulang membentuk tulang rawan dan kemudian otot terbentuk daripadanya mesoderma somatik.
"Kemudian Kami jadikan makhluk (yang berbentuk) lain"
Pemyataan dalam Surah A1-Mu'minun ayat 14 menyatakan bahawa tulang dan otot melahirkan makhluk lain. Ini mungkin merujuk kepada embrio berbentuk manusia yang terbentuk pada akhir minggu ke 8. Pada masa ini ia mempunyai sifat-sifat khusus manusia dan mempunyai semua bakal organ dalaman dan luaran. Selepas 8 bulan makhluk ini dinamakan fetus.
"Dia menjadikan bagimu pendengaran, penglihatan dan hati".
Surah As-Sajadah ayat 9 menunjukkan bahawa organ deria tertentu seperti organ pendengeran, penglihatan dan perasaan terbentuk. Alat pendengaran terbentuk sebelum terbentuknya alat penglihatan dan otak .
"Kemudian dari mudighah yang sempurna kejadiannya dan yang tidak sempurna kejadiannya".
Surah A1-Hajj ayat 5 menunjukkan bahawa embrio mengandungi tisu yang telah mengalami proses pembezaan dan yang belum berlaku proses pembezaan.
Ilmu seterusnya ialah penentuan jantina bayi,
"Dan bahawasanya Dialah yang menciptakan berpasangan-pasangan laki-laki dan perempuan dari air mani, apabila ia dipancarkan" (An-Najm ayat 45)
Dalam surah An-Najm ayat 45, Allah s.w.t, berfirman bahawa jantina bayi ditentukan oleh 'titisan yang dipancarkan' iaitu air mani lelaki. Sperma lelaki dibuktikan secara saintifik mempunyai kromosome jantina sama ada x atau y sementara ovum wanita hanya mempunyai kromosome x sahaja.
Allah s.w.t, menyatakan serebrum (otak) manusia iaitu bahagian hadapan kepala sebagai tempat tipu daya dan perbuatan jahat. Allah s.w.t, berfirman dalam al-Quran tentang orang-orang yang tidak beriman yang menghalang Nabi Muhamad s.a.w daripada bersembahyang di Kaabah. Allah s.w.t. berfirman dalam Surah al-'Alaq ayat 15, 16 yang bermaksud:
"Ketahuilah, sungguh jika dia tidak berhenti (berbuat demikian), niscaya kami Tarik ubun-ubunnya (iaitu) ubun-ubun orang yang mendustakan lagi durhaka".
Bahagian ini berkaitan dengan motivasi, perancangan dan gerakan dan juga pusat agresif manusia. Ahli sains baru menemui fungsi otak ini sekitar 60 tahun yang lalu.
Dalam SurahAn-Nisa ayat 56 Allah s.w.t, berfirman yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami, kelak Kami masukkan mereka ke dalam neraka. Setiap kali kulit mereka hangus, Kami ganti kulit mereka dengan kulit yang lain, supaya mereka merasakan azab. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana". (An-Nisa ayat :56)
Ayat ini menunjukkan bahawa kulit manusia berfungsi sebagai organ deria yang berfungsi untuk mengesan sakit. Dalam sains, kulit manusia mempunyai penerima rangsangan panas, sejuk, sakit dan tekanan.
Orang-orang Musyrikin di Makkah sentiasa membantah dakwah yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. Mereka menemplak Nabi Muhamad s.a.w dan mempersendakan ayat-ayat Allah s.w.t. Antara sendaan mereka ialah tidak mungkin mereka dibangkitkan semula apabila mereka telah mati dan menjadi debu. Allah s.w.t, menjawab sendaan kaum musrikin tersebut. Umpamanya dalam Surah (A1-Qiayyamah ayat 1,2,3,4) yang bermaksud:
1. Aku brsumpah dengan haft kiamat
2. Aku bersumpah dengan jiwa yang amat menyesali
3. Apakah manusia mengira, bahawa Kami tidak akan mengumpulkan kembali tulang belulangnya?
4. Bukan demikian, sebenamya Kami berkuasa menyusun(kembali) hujung-hujung jari mereka.
Dalam bahasaArab, perut jari dinamakan sebagai banan. Dalam ayat yang ke 4, Allah s.w.t, mengatakan bahawa Dia mampu menyusun kembali hujung-hujung jari jemari manusia atau perut jari. Dengan tidak secara langsung, Allah s.w.t. membayangkan kepada kita bahawa cap jari tidak sama. Pengetahuan manusia tentang perbezaan capjari hanya muncul pada tahun 1900an dan ia digunakan untuk mengesan identiti seseorang terutama dalam kes-kes jenayah. Sebelum itu, wajah (sistem Bertillon) digunakan untuk mengesan identiti seseorang. Kaedah Bertillon tidak dipercayai sepenuhnya berbanding dengan kaedah menggunakan cap jari.
Seterusnya, dalam surah ar-Ruum ayat 1 hingga ayat 3, Allah s.w.t, berfirman yang bermaksud.
1. Alif Laam Miim.
2. Telah dikalahkan bangsa Rumawi.
3. Di negara yang terdekat dan ia selepas dikalahkan akan menang.
Dalam ayat 1, 2 dan 3 Allah s.w.t, menyatakan tentang peperangan yang menyebabkan tentera Romawi tewas dalam peperangan antara tentera Romawi dengan tentera Farsi berhampiran dengan Jordan, Syria dan Palestin. Menurut sejarah, peperangan di mana tentera Romawi telah tewas dan dirakamkan dalam al-Quran berlaku di satu tempat berhampiran dengan Laut Mati iaitu di sempadan antara Jordan, Syria dan Palestine Pada ketinggian 1,292 kaki (394 m) di bawah aras lautan, Laut Mati merupakan permukaan yang paling rendah di atas muka bumi.
Allah s.w.t, berfirman dalam al-Quran surah Ar-Rahman ayat 19 dan 20 yang bermaksud:
"Dia membiarkan dua lautan mengalir yang keduanya kemudian bertemu. Antara keduanya ada batas yang tidak dilampaui oleh masing-masing ".
Dalam ayat ini Allah s.w.t, menggambarkan bahawa air dua lautan yang bertemu tidak bercampur antara satu sama lain dan antaranya terdapat barzah yang bermaksud pemisah. Kajian dalam menunjukkan bahawa air antara dua lautan biasanya tidak bercampur. Umpamanya air antara Laut Mediterranean dan Laut Atlantik, Laut Atlantik dan Lautan Hindi.
Rajah 8. Air Laut Mediterranean semasa ia masuk ke Laut Atlantik di pinto Gibraltar dengan suhu yang panas, kepekatan kandungan garam, dan kurang mampat kerana terdapat sempadan atau pemisah antaranya. (Marine Geology, Kuenen, p. 43).
Allah s.w.t, berfirman dalam Surah Furqan ayat 53 yang bermaksud:
"Dan Dialah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan); yang ini tawar lagi segar dan yang lain asin lagi pahit; dan Dia jadikan antara keduanya sempadan dan batas yang menghalang ".
Dalam ayat ini Allah s.w.t, membayangkan bahawa air tawar dan air laut tidak bercampur dan antaranya ada batas atau sempadan. Kajian ahli oceanografi menunjukkan bahawa air tawar dan air laut tidak bercampur seperti yang ditunjukkan dalam rajah.
Rajah 9. Rajah menunjukkan air tawar dan air laut yang tidak bercampur.
Ketumpatan air laut ditentukan terutamanya oleh suhu dan saliniti. Air masin lebih mampat dari air tawar. Oleh sebab itu sekiranya dua jenis air mempunyai suhu dan saliniti yang berbeza mereka mempunyai ketumpatan yang berbeza.
Dalam surah Yaasiin ayat 80 Allah s.w.t, berfirman yang bermaksud.
"Iaitu Tuhan yang menjadikan untukmu api dari tumbuh-tumbuhan hijau, maka apabila darinya kamu menyalakan (api)".
Dalam ayat ini terdapat dua perkara yang berkaitan dengan sumber bahan bakar dan peranan tumbuhan hijau dalam proses pembakaran. Semua bahan yang boleh terbakar adalah berasal daripada tumbuh-tumbuhan hijau. Oksigen merupakan gas yang diperlukan untuk proses pembakaran. Tanpa gas ini pembakaran tidak boleh berlaku.
Menurut Ibn Kathir, pada masa yang lampau langit dan bumi adalah satu bergabung antara satu dengan yang lain seterusnya Allah s.w.t, telah memisahkannya dan menjadikan bumi dan langit yang tujuh.
Ayat ini memberi pemnjuk kepada satu proses yang membelah bagi daripada satu unsur jirim yang sama pada awal penciptaan alam cakerawala, langit dan bumi adalah berpadu padu dan telah dipisahkan dengan kudrat Allah s.w.t, satu dengan lain melalui proses yang menyerupai letupan. Dan daripada "air"Allah s.w.t, menjadikan segala jenis hidup-hidupan di alam semesta ini.
Menurut Ibn Kathir Allah s.w.t, menjadikan langit yang tinggi dengan kuasaNya dan memperluaskan pinggir-pinggirnya. Allah s.w.t, berkuasa memperkembangkan alam cakerawala dan kini kajian-kajian terbaru mendapati bahawa keseluruh alam semesta masih berkembang.
Konsep langit berkembang juga membawa kepada konsep bahawa pada suatu ketika waktu pada masa yang lampau jirim dan ruang mempunyai tempat yang sama, iaitu di suatu tempat daripada mana, perkembangan telah bermula. (Goldsmith 1981:122).
Menurut Goldsmith:
"Kadar pengembangan alam semesta sudah mula menjadi lambat kerana kuasa tarikan graviti yang sesama (mutual) di semua tempat di alam semesta. Tetapi sama ada pergembangan itu akan menurun ke zero dan berbalik menjadi kecutan masih menjadi suatu perkara yang belum dapat ditentukan lagi. " (Goldsmith, 1981: 125)
Tetapi al-Quran ada menerangkan berkenaan keadaan alam semesta pada hari Akhir (Qiamat). Firman Allah s.w.t, bermaksud:
"Pada hari Kami kecutkan langit sebagai kecutan lembaran- lembaran kertas. Sebagaimana Kami telah memulai penciptaan pertama begitulah kami akan mengulanginya. Itulah suatu janji yang pasti Kami tepati; sesungguhnya Kamilah yang akan melaksanakannya." (Surah A1-Anbiyaa': 104)
Menurut tafsir Ibn Kathir, ia ada selaras dengan ayat 67 surah Az-Zumar, bermaksud:
"Dan mereka tidak mengagungkan Allah dengan pengagungan yang semestinya pada hal bumi seluruhnya dalam Qiamat dan langit di gulung dengan tangan kananNya".
Allah s.w.t, telah membuat perumpamaan bahawa haft Qiamat langit dikecutkan sebagimana lembaran-lembaran kertas di kecutkan dalam tangan. Dr. Shahidan Radiman, seorang penyelidik dari Jabatan Sains Nuklear Universiti Kebangsaan Malaysia, telah membuat kajian mengenai pengecutan kertas-kertas. Beliau mendapat dimensi fraktal (yang mencirikan pengecutan itu) bagi kertas biasa adalah 2.1 sama dengan dimensi fraktal bintang-bintang di alam cakerawala yang dihasilkan oleh Chanderasekhar pada tahun 1939.6b
Ini bermakna penggunaan perumpamaan oleh Allah s.w.t, mengambarkan kecutan langit dan bintang-bintangnya adalah serupa dengan kecutan kertas minyak adalah sangat tepat sekali menurut kajian Dr. Shahidan dan Dr. Chanderasekhar.
PENUTUP:
Secara kesimpulannya, kecemerlangan kejayaan pencapaian dan sumbangan ahli-ahli sains Islam dalam bidang fizik, biologi, botani, zoologi, kejuruteraan dan perubatan adalah dipengaruhi oleh faktor keagamaan. Falsafah dan sumbangan sains dan teknologi Islam juga penting kepada peradaban manusia. Contohnya kejuruteraan hidraulik, pembinaan kapal dan sebagainya yang dicipta telah banyak memberi sumbangan dalam masa kini.Segala kajian dan penyelidikan, juga eksperimen yang dijalankan adalah untuk memenuhi satu matlamat.
Oleh itu, kita haruslah menghargai segala falsafah dan sumbangan sains dan teknologi islam pada masa dahulu. Kita haruslah menggunakannya dengan cara yang betul tanpa menyalahgunakannya.
0 comments:
Post a Comment