My ads

Saturday, November 13, 2010

5 Ciri Bilik Darjah Yang Kondusif

5 Ciri Bilik Darjah Yang Kondusif
            
            Persekitaran pembelajaran yang kondusif ialah tempat murid dapat melibatkan diri, mengambil bahagian dan menumpukan perhatian dalam pembelajaran. Persekitaran ini mempunyai keupayaan untuk merangsang minat dan semangat murid untuk terus belajar. Iklim yang dapat memotivasikan murid merujuk kepada suasana atau budaya yang dapat mewujudkan motif dalam diri murid untuk bertindak ke arah mencapai matlamat pembelajara. Hal ini melibatkan pendekatan pengajaran, corak komunikasi, kemahiran guru dalam mengurus, mengawal murid dan aktiviti-aktiviti di dalam bilik darjah serta personaliti guru itu sendiri. Dalam persekitaran ini, murid menyedari kelebihan sikap berdikari, mempunyai perasaan bertanggungjawab dan kesepunyaan terhadap pembelajarannya.

Dari segi susunan fizikal bilik darjah, meja dan kerusi murid-murid disususn dengan kemas dan rapi mengikut kumpulan. Meja dan kerusi dalam bilik darjah tahap satu disusun mengikut kumpulan manakala kerusi dan meja dalam bilik darjah tahap dua disusun secara berpasangan. Guru memainkan peranan yang amat penting dalam pengurusan bilik darjah. Ada guru yang membahagikan murid-murid kepada beberapa kumpulan mengikut tahap kebolehan dan kefahaman murid-murid seperti kumpulan yang mempunyai tahap kebolehan yang tinggi, sederhana dan lemah. Ada guru juga membahagikan murid-murid kepada beberapa kumpulan yang terdiri daripada murid-murid yang tahap kebolehan yang lemah, sederhana dan tinggi dalam satu kumpulan. Pembahagian murid-murid kepada beberapa kumpulan kerana kebolehan murid-murid adalah berbeza antara satu sama lain. Dengan susunan fizikal bilik darjah seperti ini memudahkan interaksi antara murid dengan murid dan guru dengan murid.

Dari segi saiz bilik darjah, ruang bilik darjah yang mencukupi diperlukan bagi sesebuah bilik darjah bagi memudahkan pergerakan murid dan guru. Guru boleh berdiri di tengah kelas serta dapat memberi perhatian kepada semua murid dalam kumpulan atau berpasangan. Dengan ini, murid-murid dapat member sepenuh perhatian kepada guru yang mengajar di hadapan kelas. Guru juga dapat mengubah,mengajar dan menunjukkan ajar kepada murid-murid secara berkesan jika mereka melakukan apa jua kesalahan, sama ada kesalahan tatabahasa atau karangan atau perbuatan yang tidak menyeronokkan. Melalui pemerhatian saya semasa PBS, bilik darjahnya agak kecil dan murid-murid tidak dapat bergerak bebas dalam bilik darjah dan akan mengakibatkan murid-murid tidak mempunyai semangat untuk bertanya kepada kawan-kawan semasa menghadapi masalah dalam pembelajaran. Saiz bilik darjah yang besar akan memberikan keselesaan semasa murid-murid bergerak dalam bilik darjah semasa aktiviti-aktiviti dijalankan di dalam bilik darjah.

Dari segi kemudahan, bilik darjah dilengkapi dengan kerusi dan meja, papan hitam, kipas, tingkap, pintu, papan pameran, rak-rak dan sebagainya hendaklah disediakan dengan lengkap dan memastikan mereka berada dalam keadaan yang baik. Dalam pemerhatian saya, kemudahan-kemudahan bilik darjah salah sebuah sekolah rendah tidak disediakan dalam keadaan yang baik dan selamat digunakan. Sebagai contoh, meja, kerusi, kipas dan tingkap yang rosak perlu digantikan dengan baru kerana kemudahan-kemudahan yang tidak elok akan mendatangkan ancaman dan juga berbahaya terhadap murid-murid. Ruang-ruang pembelajaran juga perlu dibekalkan bagi memudahlan murid-murid menjalankan aktiviti-aktiviti pembelajaran. Hasil-hasil kerja murid juga diletakkan atau digantungkan di tempat atau di rak yang sesuai dalam bilik darjah. Keadaan ini akan membangkitkan semangat belajar murid-murid dalam bilik darjah.

Di samping itu, guru juga memainkan peranan yang penting dalam pengurusan rutin bilik darjah. Guru menyediakan jadual tugas untuk murid-murid mengikut kebolehan atau fizikal mereka. Jika murid tersebut tinggi, guru akan memberikan dia tugas mengelap tingkap atau pintu. Bagi murid-murid yang bertenaga, guru akan memberikan tugas seperti mengambil sebaldi air untuk kawan-kawan yang bertugas mengelap tingkap dan pintu. Bagi murid-murid yang berbadan kecil,guru akan memberi tugas seperti menyapu lantai, membuang sampah, menyusun kerusi dan meja dan lain-lain lagi kepada mereka. Tujuan pembahagian tugas seperti ini akan mewujudkan suasana pembelajaran yang selesa serta keadaan fizikal bilik darjah yang bersih dan teratur.

Di samping itu, hubungan guru-murid amat dititikberatkan di sekolah rendah. Hal ini adalah kerana murid sekolah rendah hanya akan mendengar ajaran daripada seseorang yang mereka mempercayai. Oleh itu, para guru membina hubungan yang erat dengan para murid. Para guru memberi kasih sayang dan dorongan kepada semua murid tanpa mengira kaum. Lama-kelamaan, kepercayaan diwujudkan antara guru dengan murid. Justeru, proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dapat dijalankan dengan berkesan. Malahan, guru yang baik sentiasa dijadikan teladan bagi murid. Oleh itu, guru amat berpengaruh dalam membina sikap positif murid.

Secara kesimpulannya, pengurusan bilik darjah yang baik merupakan salah satu faktor meningkatkan keberkesanan pemngajaran dan pembelajaran. Murid-murid di sekolah akan menikmati dan menggunakan kemudahan yang amat lengkap dan melahirkan anak-anak murid yang cemerlang.

0 comments:

Post a Comment