My ads

Sunday, October 10, 2010

Keistimewaan Tamadun Islam dibandingkan dengan tamadun lain

Keistimewaan Tamadun Islam dibandingkan dengan tamadun lain.


Pengenalan

            Setiap tamadun yang pernah wujud mempunyai keistimewaan serta keunikannya tersendiri dalam memastikan kelangsungan dan perkembangannya. Kesinambungan dari kelangsungan sesebuah tamadun itu sebenarnya hasil sikap terbuka dalam menerima sebarang perubahan dan pengaruh tamadun lain.Ini bermakna setiap tamadun manusia yang wujud dalam dunia ini dari dahulu hingga sekarang adalah saling berinteraksi antara satu sama lain. Tamadun Islam ialah pencapaian manusia dalam bidang kerohanian dan kebendaan yang berpusat di kota dalam bentuk skrip,seni bina,ilmu pengetahuan ,sains, teknologi, kepercayaan, undang-undang, politik dan sebagainya yang berasaskan kepada akidah, syarak, akhlak serta bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah. Tamadun Islam ini juga merupakan satu tamadun besar dunia dengan kedudukannya yang amat srategik di peta dunia iaitu berada di tengah-tengah tamadun lain memainkan peranan yang penting dan menjadi contoh dan teladan kepada tamadun lain dunia. Kedudukan unik inilah yang menyebabkan tamadun Islam telah berinteraksi dengan tamadun lain bagi menjamin perkembangan dan kemajuannya.


Keistimewaan  Tamadun Islam

            Pada keseluruhannya Tamadun Islam mempunyai sepuluh keistimewaan.Dilihat dari segi sumber,Tamadun Islam berteraskan sumber Allah SWT menerusi al-Quran dan sumber Nabi SAW menerusi al-Hadis. Ini dianggap keistimewaan yang paling utama dan terpenting. Selain itu, Tamadun Islam juga berteruskan wahyu dan akal berteraskan wahyu. Ia bukanlah berteraskan pemikiran manusia yang bersifat terbatas,tertutup,berpihak dan relatif. Keistimewaan yang ketiga adalah Tamadun Islam ialah berteraskan keuniversalan dan kesejagatan yang mempunyai nilai-nilai kebaikan,kebenaran,keadilan dan kesemournaan yang bersesuaian dengan fitrah dan tabiat  manusia seluruhnya. Di samping itu, Tamadun Islam juga berteraskan keadilan untuk semua makhluk Allah SWT meliputi manusia, haiwan dan lain-lain dengan semuanya mendapat hak mereka masing-masing. Keistimewaan yang kelima ialah Tamadun Islam juga berteraskan kebenaran untuk semua tanpa melihat kepada individu, kumpulan, bahasa, bangsa, negara dan seumpamanya yang bernaung dan tertakluk kepada sistem hidup yang satu dan sama.Tambahan pula, Tamadun Islam berteraskan kebaikan untuk semua manusia dan bangsa Muslim (Muslim,mu’min dan muhsin) dan non-Muslim (kafir zimmi dan kafirharbi)sama ada mereka ataupun hamba,pemerintah ataupun rakyat dan sebagainya. Tamadun Islam juga bersifat terbuka kepada semua jenis tamadun bangsa dan agama. Keistimewaan yang kelima ialah Tamadun Islam bersifat syumul, sempurna, konsisten dan global.Selain itu, Tamadun Islam bersifat kesatuan dalam kepelbagaian,memyatukan dan menyatukan semua nilai yang dipersetujukan manusia. Keistimewaan yang terakhir ialah Tamadun Islam adalah bersifat menghubungkan manusia, alam dan segala-galanya kepada Tuhan sebagai paksi utamanya.

            Secara ringkasnya, kelahiran tamadun Islam tidak perlu dicari daripada hubungan, kaitan, asimilasi, pertembungan, peminjaman atau seumpamanya,kerana tanpa tamadun-tamadun lain,tamadun Islam telah, sedang dan akan terus muncul berkekalan dalam bentuk yang dikehendaki Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW.

Faktor Yang Membawa Interaksi Antara Tamadun
            Interaksi antara tamadun tidak akan berlaku tanpa adanya faktor-faktor yang membolehkanya berlaku. Terdapat beberapa faktor yang membawa berlakunya proses interaksi antara tamadun, antaranya ialah :

Geografi
Melalui kedudukan yang stategik kerana terletak di pertengahan jalan perdangangan antara Timur dan Barat, beberapa tamadun telah bertembung dan berinteraksi. Antaranya ialah interaksi yang berlaku di Asia Tenggara. Dalam satu jangka masa yang panjang, Asia Tenggara secara keseluruhannya pernah dipengaruhi kuat oleh tamadun India yang berteraskan Buddhisme dan kemudianya Hinduisme. Kedatangan agama Islam ke gugusan Kepulauan Melayu telah memberikan impak yang mendalam terhadap kebudayaan atau cara hidup di kawasan tersebut.

            Kawasan yang lebih terbuka kawasan geografinya (laluan perdangana) akan lebih terbuka sifatnya dalam orientasai ketamadunannya. Hal ini menyebabkan mereka lebih terdedah kepada tamadun luar. Kerajaan Sriviijaya dari kurun ke-7 hingga ke-11 merupakan kerajaan maritim Melayu yang terpenting dan telah mendominasi seluruh pesisir laut di utara dan barat Sumatera, Semenanjung Tanah Melayu dan Jawa Barat serta perairan Selat Melaka dan Sunda. Kedudukan kerajaan-kerajaan Melayu di pesisir pantai benar-benar membolehkan mereka berinteraksi dengan tamadun-tamadun asing serta memberi manfaat kepada kerajaan-kerajaan Melayu tersebut.

            Keluasan dan pemisahan antara masyarakat kerana faktor geografi juga dilihat dapat mewujudkan interaksi antara dua budaya yang berbeza. Interaksi yang berlaku kemudiannya telah memperkaya dan melahirkan satu budaya yang istimewa. Contohnya tamadun India yang terletak di antara Lautan Hindi dan pergunungan Himalaya dibahagikan kepada India Utara dan India Selatan. Faktor geografi telah menyebabkan perkembangan dua kebudayaan yang berbeza dari segi rupa bentuk fizikal, bahasa, budaya serta amalan keagamaan. Masyarakat di India Utara dikenali sebagai Indo-Arya, di India Selatan pula terdiri daripada masyarakat Dravida. Orang Indo-Arya dan Dravida mempunyai tradisi kebudayaan yang berbeza. Pertembungan antara kedua-dua golongan budaya ini sejak beberapa kurun sebelum Masihi telah melahirkan suatu budaya yang dikongsi bersama dan budaya serta tamadun inilah yang dianggap sebagai tamadun India.

Perdagangan
            Faktor perdagangan secara jelas berkaitan dengan kepentingan ekonomi. Tamadun yang terlibat dengan perdagangan, sikap mereka lebih terbuka kerana memperoleh pengalaman berinteraksi dengan tamadun lain. Di Asia Tenggara misalnya, salah satu perkara yang membawa keagungan dan kemasyhuran sesebuah tamadun ialah kepesatan perdagangan. Pada zaman Melaka (1400-1511), perdagangan merupakan perkara penting yang membawa kegemilangan tamadun Melayu Melaka. Pedagang dari pelbagai pusat perdagangan seperti India, Arab, Siam, Kepulauan Melayu, China, Burma dan tempatan telah berkunjung ke Melaka untuk menjalankan aktiviti perdagangan mereka. Kemakmuran perdagangan ini membawa Melaka ke mercu kegemilangan dan dihormat ioleh kerajaan sekitarnya.

China pernah berinteraksi dengan negara-negara Eropah sehingga ke Rom seawal kurun pertama sebelum masehi melalui saluran perdagangan, terutama kain sutera. Jalan yang menghubungkan China dengan kawasan Asia Timur, Asia Barat, dan Eropah dikenali sebagai Jalan Sutera Lama, manakala jalan laut yang menghubungkan China dengan kawasan rantau Asia Tenggara, India, dan Afrika dikenali sebagai Jalan Sutera Maritim (Laut).
       

Kepimpinan

Pemimpin dan kepimpinan juga merupakan faktor yang mendorong berlakunya interaksi. Di antara pemimpin yang mendorong berlakunya interaksi yang positif ialah apabila berlakunya interaksi tamadun Islam dengan agama Yahudi dan Kristian pada peringkat awal Nabi Muhammad S.A.W berhijrah ke Madinah. Puak Aus dan Khazraj yang menetap di Madinah menerima baik kehadiran Islam dan bersetuju menjadikan Nabi Muhammad S.A.W sebagai pemimpin mereka. Selain dapat menyatukan kedua-dua pihak tersebut, Baginda S.A.W tidak melakukan penindasan terhadap penduduk Yahudi dan Kristian. Malah Baginda S.A.W lebih suka melihat masyarakat Madinah hidup aman damai tanpa pertelingkahan atas sebab perbezaan agama. Oleh itu untuk melahirkan sebuah masyarakat Madinah yang hidup aman damai, Perlembagaan Madinah telah digubal dan dalam fasal-fasal perlembagaan itu Baginda S.A.W memberi perlindungan kepada orang Islam dan bukan Islam.

           
Agama dan Budaya

Agama ada yang bersifat terbuka dan ada yang tertutup. Islam merupakan agama yang mempunyai sifat terbuka, sebagai contoh Islam di Andalusia dapat mengekalkan kuasanya selama 700 tahun yang mana kebanyakkan penduduknya beragama Yahudi dan Kristian. Buktinya mereka dapat hidup dalam keadaan harmoni dan Islam sebagai agama utama di Andalusia telah memandu masyarakat ketika itu bertoleransi dan memelihara nilai kemasyarakatan tanpa adanya penindasan. Kedatangan Islam ke India telah menyebabkan kemunculan satu budaya komposit, iaitu kesan daripada interaksi antara tamadun di mana unsur-unsur Islam dan Hindu telah diterima oleh orang India. Aspek muzik, bahasa, seni ukir, seni bina dan lain-lain dapat dilihat dalam unsur campuran ini.

            Agama Budhha yang berkembang pesat di India pada kurun ke-6 sebelum Masihi telah dibawa masuk dan diperkenalkan di China pada kurun pertama Masihi. Perkembangan agama Budhha di China merupakan satu contoh interaksi yang berlaku di antara dua tamadun, iaitu Cina dan India. Bagi memahami ajaran Budhha, para sami dan penziarah Cina perlu melakukan suatu perjalanan yang sukar, menetap di India dan mempelajari kitab Budhha dalam bahasa Sanskrit. Dalam proses interaksi ini, antara kerja atau usaha asas yang dilakukan ialah menterjemah kitab-kitab Buddhisme daripada bahasa Sanskrit atau Pali ke bahasa Cina.

            Selain peranan agama, budaya turut menarik minat manusia untuk berinteraksi sesama sendiri dalam mengembangkan unsur-unsur budaya seperti kesenian. Beberapa jenis peralatan muzik dan stuktur muzik yang mengandungi tujuh nota setiap tala diperkenalkan ke China dari India atau Parsi. Rekod sejarah Cina menunjukkan muzik dan tarian dari India dan Xiyu ( kawasan barat China ) amat popular dan terkenal di istana, golongan kelas atasan dan tentera.


Pengalaman Sejarah

Sikap isolasi dipengaruhi pengalaman sejarah seperti pencerobohan, eksploitasi ekonomi, perubahan pemikiran dan sebagainya. Misalnya tamadun Cina yang pernah mengambil dasar tutup pintu terutamanya terhadap Barat telah memberi kesan sehingga menggugat kestabilan pemerintahan Maharaja di China dan Keshogunan di Jepun. Maharaja China iaitu Yong Zheng ( 1723-1735 ) pernah memerintahkan semua mubaligh Kristian berpindah ke Macao dan mereka dilarang masuk ke China kerana baginda mengesyaki mereka berkospirasi untuk menggulingkannya. Kesannya, pintu ke China telah ditutup selama 120 tahun dan dasar tutup pintu ini menyebabkan China ketinggalan zaman dan mengalami kemunduran pada kurun ke-19.

            Pada akhir kurun ke-19, golongan intelektual Cina berpendapat bahawa China tidak akan menjadi negara moden jika perubahan pemikiran dalam kalangan rakyat dan pembelajaran mengenai cara Barat ( ilmu Barat ) secara keseluruhan tidak berlaku. Bagi mencapai matlamat ini, diperkenalkan Gerakan Kebudayaan Baru oleh kalangan intelektual yang menerima pendidikan sama ada di Jepun, di Eropah atau di Amerika Syarikat. Kesan interaksi dengan tamadun-tamadun asing yang lebih maju dan moden, China telah mengalami perubahan politik, sosial dan ekonomi. Interaksi ini berlaku akibat kesedaran orang Cina setelah melihat Jepun mampu menjadi negara yang moden dan kuat hasil daripada perubahan yang dilakukan oleh negara tersebut. Berdasarkan pengalaman sejarah Jepun, China cuba belajar berinteraksi dengan tamadun lain memodenkan negaranya.


Interaksi Tamadun Islam dengan Tamadun Melayu

Tamadun Islam berkembang di Alam Melayu melalui perkembangan agama Islam.Perkembangan Islam dikenali oleh pedagang-pedagang Islam sejak abad pertama Hijrah(abad ke-7M).Ini dibuktikan oleh rekod Cina yang melaporkan terdapat sebuah kerajaan Islam yang dikenali sebagai Ta-shih di sekitar Sumatera Utara yang mempunyai hubungan dengan tamadun Cina pada tahun 650M.Sebahagian besar pedagang Islam pada masa itu dipercayai datangnya dari Yaman,iaitu sebuah kerajaan Arab yang bergiat perdagangan.

            S.Q.Fatimi, Morison Harison,R.A.Kern dan Snouck Hungronje berpendapat bahawa Bandar pelabuhan Gujerat di India memainkan peranan penting dalam penyebaran Islam melalui perdagangan.Hujah mereka adalah bedasarkan persamaan mazhab yang dianuti ,iaitu mazhab Syafii.Pendapat di atas dibuktikan melalui penemuan batu nisan Sultan Malikul Salleh, Pasai yang bertarikh 1297.Agama Islam dipercayai telah tersebar dahulu di Pantai Timur Tanah Melayu, iaitu Terengganu dan Patani.

            Kesan utama yang dibawa oleh Islam ialah terhadap akidah dan kepercayaan di mana bangsa Melayu telah meninggalkan ajaran agama Hindu-Buddha.Mereka percaya kepada Tuhan Yang Maha Esa,hormat-menghormati antara manusia dan menitikberatkan soal persamaan taraf.Kedatangan dan penerimaan agama Islam telah menghasilkan beberapa ciri utama dalam tamadun Melayu, misalnya mengenai sistem politik dan pentadbiran,system pemerintahan empayar Uthmaniyah telah diperkenalkan dan meletakkan sultan sebagai ketua Negara dan ketua agama Islam.

            Mengenai sistem pendidikan ,perkembangan ilmu pengetahuan dan pandangan semesta ternyata agama Islam telah membawa perubahan dan pembaharan kepada tamadun Melayu.Agama Islam menerima naungan daripada istana raja-raja Melayu dan istana dijadikan pusat kegiatan dan penyebaran ilmu pengetahuan,terutamanya ajaran Islam.Semua golongan tanpa mengira kedudukan social berpeluang untuk mendapat dan mempelajari ilmu pengetahuan.Kesannya muncullah golongan intelektual,terutama alim ulama yang telah menghasilkan tulisan mereka,terutama karya-karya berbentuk keagamaan yang disampaikan dalam bentuk persuratan yang dinamakn sastera kitab.


Interaksi Tamadun Islam dengan Tamadun China

            Interaksi Tamadun Islam dengan Tamadun China telah berlaku sejak abad ke-3 Masihi apabila dilaporkan bahawa telah ada utusan Parsi yang pertama dihantar ke istana kerajaan Wei. Orang-orang Arab menggunakan dua laluan penting untuk ke negeri China iaitu melalui jalan sutera iaitu jalan darat yang merentasi Khurasan, Samarqand,Xinjiang hingga ke Peking dan juga jalan laut yang digunakan pada abad ke-5 Masihi merentasi Laut Arab ke Benua Kecil India, Kepulauan Melayu hingga ke Canton di tenggara China. Menurut catatan-catatan China,mengatakan bahawa kapal-kapal China telahpun sampai di Teluk Parsi dan berdagang di pelabuhan Siraf pada abad ke-5 Masihi.Menjelang abad ke-7 Masihi,ramai orang Arab yang membuat petempat di daerah-daerah di tenggara China.Hubungan perdagangan antara Tanah Arab dengan China menjadi semakin rancak pada abad ke-8 Masihi.Usaha-usaha berjaya mengembangkan Islam di China dengan usaha beberapa tokoh muslim tempatan China seperti Wang Daiyu(1550-1658), Ma Zhu(1640-1711) dan lain-lain.Tokon-tokon ini turut mempengaruhi hasil tulisan mereka kemudiannya.Tradisi Konfusianisme yang diwarisi oleh tokoh-tokoh tersebut turut mempengaruhi tulisan mereka.Buku pertama yang dihasilkan oleh penulis China muslim bertajuk Zhengjiao Zhengquan yang diterbitkan pada tahun 1642.Penulis China ini banyak menggunakan konsep-konsep yang sedia ada dalam ajaran Konfusianisme bagi memperkenalkan Islam kepada masyarakat China melalui tulisannya.Persamaan beberapa konsep Konfusianisme dengan konsep Islam seperti xiao(penghormatan kepada ibu bapa), zhong(kesetiaan),shu(altruism) telah membantu penulis-penulis China muslim memperkenalkan agama Islam kepada masyarakat China.

            Interaksi Tamadun Islam dengan Tamadun China ini telah memberi faedah kepada kedua-dua tamadun. Tamadun Arab-Islam di Asia Barat telah mempelajari mengenai kompas, teknologi percetakan dan pembuatan kertas serta pembuatan alat letupan.Sementara Tamadun China pula mendapat pelbagai ilmu pengetahuan baru seperti pengetahuan tentang perubatan,astronomi, farmasi dan beberapa pengaruh Tamadun Islam di China.Seorang sarjana China-Islam yang berasal dari Parsi,Li Xun telah meyusun sebuah buku yang bertajuk Materia Medica:Seberang Laut sebanyak 6 jilid.Buku tersebut membincangkan mengenai 124 jenis ubat di Arab.sementara itu seorangahli astronomi Parsi,Jamaluddin telah member sumbangan penting contohnya penciptaan calendar baru untuk Kublai Khan pada tahun 1267 Masihi.Pada masa pemerintahan Dinasti Yuan angka Arab telah digunakan.

Dari segi senibina interaksi Tamadun Islam-Tamadun China telah meyumbangkan kepada pembinaan beribu-ribu masjid dewan membaca al-Quran.Reka bentuk masjid dipengaruhi oleh cirri-ciri reka bentuk Arab dan juga China.Masjid berseni bina Arab kebanyakannya terdapat di Xinjiang sementara reka bentuk masjid selepas abad-14 lebih dipengaruhi oleh kuil atau istana China. 


Interaksi antara Tamadun Islam dengan India

Interaksi antara Tamadun Islam dengan India berlaku sejak zaman kerajaan Ma’in dan Saba(1200-115S.M) di arab Selatan. Hubungan awal tersebut adalah hubungan perdagangan.Agama Islam telah bertapak di India sejak abad pertama Hijrah,namun demikian kedudukannya masih lemah pada masa tersebut. Perdagangan merupakan satu cara penyebaran agama yang paling awal dan damai.Di samping itu, pengaruh Islam juga tersebar melalui peperangan. Tentera Islam telah sampai ke kawasan pantai Sind di India sejak zaman Khalifah Uthman bin Affan,sekali lagi tentera Islam telah menyerang Sind iaitu pada tahun 644 Masihi melalui jalan darat.Pemimpin tentera Islam ialah Abdullah bin Amir.

Interaksi antara Tamadun Islam dan India berlaku amat pesat semasa pemerintahan kerajaan Moghul terutamanya semasa pemerintahan Akbar Agung (1556-1605 Masihi).Beliau telah menggalakkan perkhawinan campur antara orang-orang Islam dengan Hindu.Beliau juga menggalakan program-program perdebatan agama di istananya.Beliau adalah penganut Islam yang fleksible dan pandangan agamanya banyak dipengaruhi oleh penasihatnya iaitu seorangahli Sufi keturunan Parsi iaitu Abdul Fazal dan saudaranya Faizi iaitu saudara kepada Abdul Fazal. Semasa zaman pemerintahan kesultanan Delhi bahasa Urdu telah wujud hasil percampuran antara bahasa-bahasa Hindi,Parsi, Arab dan Turki. Ia menjadi salah satu lambing penting interaksi antara Tamadun Islam dengan India.Amir Khusrav merupakan seorang penyair Islam yang menghasilkan banyak syairdalam bahasa Hindi. Asimilasi antara

Dari segi pentadbiran Kesultanan Delhi, ramai pengawai-pengawai kerajaan dilantik daripada penganut-penganut agama Hindu.Begitu juga dengan dengan kerajaan-kerajaan Hindu telah melantik orang-orangIslam menjadi pengawai-pengawai mereka, contohnya Raja Deva Raja II dari kerajaan Vijayangar yang telah melantik melantik orang-orang Islam menjadi pengawainya dan beliau telah menjadi penaung kepada orang-orang Islam.

Interaksi Islam dengan Tamadun Eropah
Tamadun Islam juga mempunyai interaksi dengan Tamadun Eropah apabila terbentuknya pemerintahan Islam di  Afika Utara, Sepanyol dan Sicily. Malah Sepanyol dan Sicily dikatakan menjadi pintu masuk kepada elemen-elemen daripada Tamadun Islam ke Eropah. Negara-negara tersebut dianggap  sebagai jambatan yang menghubungkan Tamadun Islam dengan Tamadun Eropah.Proses interaksi antara Tamadun Islam dengan Tamadun Eropah berlaku melalui cara aman dan Perang.Proses Salib yang panjang antara orang-orang Eropah dengan orang-orang Arab-Islam merupakan interaksi tamadun yang berlaku secara konflik.

            Orang-orang Islam di Sepanyol telah memainkan peranan yang penting dalam perkembangan tamadun dan peradaban Eropah. Universiti-universiti di Sepanyol iaitu di Cordova, Sevelle, Malaga dan Granada mejadi pusat pengajian penting kepada penuntut-penuntut Kristian di Eropah.Bidang-bidang ilmu pengetahuan seperti falsafah, matematik,astronomi dan seni muzik yang berkembang pesat di sepanyol telah mempengaruhi pemikiran orang-orang Eropah kemudiannya.


Kesan Interaksi Antara Tamadun

Kesan Positif

Interaksi antara Tamadun Islam dengan Yahudi dan Kristian semasa zaman kemunculan Islam di Tanah Arab telah memberi beberapa kesan positif. Dalam Perlembagaan  Madinah ( Sahifah Madinah ) yang digubal oleh Nabi Muhammad S.A.W di Madinah, hak- hak orang Kristian dan Yahudi serta penganut- penganut agama lain telah diberi perlindungan. Mereka telah diberi kebebasan mengamalkan tuntutan agama mereka tanpa sebarang gangguan baik daripada Nabi Muhammad S.A.W ataupun umat islam yang lain. Hal yang sama telah diikuti oleh pemerintah Islam zaman Khulafa al – Rasyidin, Bani Umayyah, Abbasiah, Uthmaniyah dan kerajaan- kerajaan Islam di India. Malah dalam beberapa buah kerajaan Islam, individu- individu Yahudi Kristian dan Yahudi telah mendapat kedudukan yang tinggi dalam pentadbiran, contohnya dalam kerajaan Abbasiyah, tokoh-tokoh Yahudi dan Kristian telah memberikan sumbangan mereka dalam penterjemahan buku-buku Greek ke dalam bahasa Arab. Begitu juga di Andulusia ( Sepanyol ), muncul ramai penulis dan ahli intelektual dari kalangan individu-individu Yahudi dan Kristian.

           Antara interaksi Tamadun Islam dan China yang turut memperlihatkan kesan positif ialah proses interaksi secara aman iaitu melalui perdangangan. Pedagang-pedagang Arab dan Parsi memainkan peranan yang penting dalam interaksi ini. Hasil daripada interaksi ini terdapat komuniti Arab-Islam yang menetap di China. Berlaku pekahwinan campur antara pedagang-pedagang ini dengan wanita-wanita tempatan. Semasa zaman pemerintahan dinasti-dinasti Tang, Sung dan Ming, telah muncul beberapa orang tokoh Islam yang memainkan peranan yang penting dalam pentadbiran. Kesan penting yang terhasil daripada interaksi ini ialah penyebaran agama Islam di negeri China yang akhirnya mewujudkan komuniti Islam tempatan China. Perkembangan seterusnya menyebabakan munculnya cendiakawan-cendiakawan Islam tempatan yang mashur seperti Liu Zhi dan Mha Zhu. Cendiakawan-cendiakawan tempatan ini telah mencari keselarian ajaran-ajaran etika dan nilai Islam dengan Konfusianisme. Konsep-konsep hubungan keluarga, ketaatan kepada kedua ibu bapa dan raja dan nilai-nilai moral yang terdapat dalam ajaran Konfusianisme telah dijadikan landasan untuk memperkenalkan agama Islam kepada masyarakat China. Kesejajaran inilah yang menyebabkan ajaran Islam tidak mendapat tentangan daripada ahli-ahli falsafah Konfusianisme seperti yang dihadapi oleh ajaran Budhha. Di samping itu interaksi ini turut menemukan seni bina Arab-Islam dengan seni bina China contohnya dalam bentuk masjid-masjid di China hari ini.

            Hubungan antara Tamadun Islam dengan Tamadun Melayu telah meninggalkan kesan yang amat ketara. Interaksi antara kedua-dua tamadun ini berlaku secara aman iaitu melalui perdangangan. Namun demikian kedatangan pengaruh Islam di Asia Tenggara ataupun khususnya ke Kepulauan Melayu dikatakan dari tiga kawasan yang berbeza iaitu dari Arab ke Parsi, dari India dan China. Teori-teori ini telah dibincangkan dengan hangat dan beberapa bukti yang berkaitan telah dikemukan oleh pendokong-pendokongnya bagi menyokong pendapat mereka. Namun apa yang lebih penting bagi kita ialah kesan yang didapati daripada hubungan ini. Interaksi antara Tamadun Islam dengan Tamadun Melayu telah melahirkan beberapa kesan positif yang penting. Kesan yang paling menonjol ialah tersebarnya agama Islam di Kepulauan Melayu serta munculnya kerajaan-kerajaan Islam tempatan di Pasai, Melaka, Aceh, Johor-Riau, Brunei, Patani dan lain-lain lagi. Tamadun Islam telah mengubah pandangan hidup orang-orang Melayu. Ia juga turut membawa tulisan Jawi yang berperanan penting dalam perkembangan ilmu pengetahuan di Kepulauan Melayu. Kesan positif boleh juga dilihat pengarunya dari segi perundangan, kesusasteraan, kesenian, kebendaan seperti pakaian, makanan serta istilah-istilah Arab yang digunakan dalam bahasa Melayu.

            Interaksi antara Tamadun China dengan Tamadun Melayu tetapi turut melahirkan kesan positif tetapi ia tidak melibatkan pemikiran dan falsafah sebaliknya melibatkan kemahiran dan teknologi serta kebendaan. Tamadun China membawa teknologi membuat gula dari tebu ke Kepulauan Melayu, contohnya di Jawa. Begitu juga kemahiran dalam perusahaan sutera, membuat tembikar serta pertukangan logam. Di samping itu terdapat juga beberapa jenis makanan masyarakat China yang diperkenalkan kepada masyarakat Melayu seperti tauhu, kicap, taugeh dan sebagainya. Interaksi antara Tamadun China dengan Tamadun Melayu berlaku melalui dua cara iaitu secara aman dan secara konflik peperangan. Interaksia secara aman berlaku melalui aktiviti perdangan, emigrasi dan hubungan diplomatik, contohnya kemuncak hubungan diplomatik negeri China dengan Kesultanan Melayu Melaka. Manakala hubungan yang bercorak konflik peperangan berlaku semasa pemerintahan Dinasti Yuan / Monggol ( 1279-1368 Masihi ) yang pernah menyerang Myanmar ( Kemboja ) dan Jawa pada abad ke -13 Masihi.

Kesan Negatif

Adalah tidak tepat jika dikatakan bahawa interaksi antara tamadun hanya menghasilkan kesan positif. Sebaliknya interaksi antara tamadun turut menghasilkan kesan negatif.

            Di Eropah, misalnya hubungan antara orang-orang Kristian dan Yahudi telah mengalami kemerosotan sejak awal lagi. Kesan daripada hubungan yang tidak baik ini menyebabkan berlakunya pembunuhan beramai-ramai orang Yahudi pada abad ke -9 dan -18 Masihi. Perkara ini berlaku akibat daripada faktor-faktor perbezaan agama, ketidakseimbangan ekonomi dan sosial.

            Begitu juga halnya dengan hubungan orang-orang Islam dan Kristian pada Zaman Pertengahan di Eropah. Pemerintah-pemerintah Kristian di Eropah telah bertindak melancarkan beberapa siri perang ke atas orang-orang Islam yang dikenali sebagai Perang Salib. Peperangan ini turut dicetuskan oleh faktor-faktor perbezaan agama, ekonomi dan politik.

            Di India juga, hubungan antara penganut Islam dan Hindu sentiasa berada dalam keadaan yang tegang. Terdapat peristiwa-peristiwa di mana orang-orang Islam dibunuh dan masjid-masjid dimusnahkan raja-raja India yang beragama Hindu.Keadaan yang sama juga berlaku kepada penganut-penganut agama Hindu serta kuil-kuil Hindu yang dimusnahkan oleh pemerintah-pemerintah Islam. Contohnya raja-raja Islam dalam Kesultanan Delhi telah mengharamkan pembinaan kuil-kuil dan mengaharamkan beberapa upacara-upacara keagamaam Hindu. Semasa zaman pemerintahan Moghul, Aurangzeb adalah raja Moghul yang bertindak keras terhadap penganut-penganut Hindu. Baginda telah mengharamkan pembinaan kuil-kuil baru, mengharamkan upacara mandi suci di Sungai Jamuna dan lain-lain lagi.

            Kesan negatif turut berlaku dalam hubungan antara Tamadun Islam dengan Tamadun China. Contohnya pada tahun 751 Masihi, tentera Islam di bawah pimpinan Ziyad Bin Salih telah mengalahkan angkatan perang China yang dipimpin oleh Kao Hsien-chih sedangkan pada masa tersebut kerajaan Islam Abbasiyah mempunyai hubungan diplomatik dengan kerajaan Tang di China. Permusuhan antara orang Islam dengan orang China juga dicetuskan oleh rasa tidak puas hati terhadap pencapaian ekonomi pihak yang bertentangan. Contohnya pada abad ke-8 Masihi, penduduk Han di tenggara China telah mewujudkan permusuhan dengan orang Islam kerana iri hati terhadap kemewahan yang dinikmati oleh orang-orang Islam yang kebanyakannya terlibat dalam aktiviti perdangangan. Hubungan orang-orang Islam dengan penduduk tempatan China turut terjejas semasa pemerintahan Dinasti Ching yang memberi keutamaan kepada pengukuhan ajaran Konfusianisme. Orang-orang Islam mendapat layanan yang tidak adil daripada daripada pemerintah Ching. Rasa tidak puas hati orang-orang Islam telah menyebabkan berlakunya beberapa siri pemberontakan semasa pemerintahan Dinasti Ching iaitu Pemberontakan Singkiang 1 ( 1756 Masihi ), Pemberontakan Kansu ( 1781 Masihi ), Pemberontakan Jehangir ( 1820-27 Masihi ), Kebangkitan Yussof Syamsuddin ( 1828-31 Masihi ), pemberontakan Yunan ( 1850-68 Masihi), Pemberontakan Shensi dan Kansu ( 1826 Masihi ), Kebangkitan Sinkiang ( 1864-77 Masihi ).


Persamaan dan Perbezaan antara Tamadun

            Tamadun-tamadun di dunia mempunyai persamaan dan perbezaan yang boleh dilihat dalam pelbagai segi meliputi aspek-aspek teologi, etika,pemikiran ,kebudayaan dan kesenian serta pencapaian-pencapaiannya.

Di antara tamadun-tamadun besar terdapat persamaan dan perbezaan dalam bidang teologi.Kepercayaan kepada Tuhan merupakan asas utama dalam Islam, Kristian, Yahudi dan Hinduisme..Persoalan teologi berhubung monoteisme Islam berbeza daripada metafizik Buddhisme yang tidak menerima konsep Tuhan Pencipta. Islam mengaku hanya Allah s.w.t tuhan yang sebenar dan Allah tidak boleh dikaitkan dengan manusia mahupun benda. Hindu memaparkan kepercayaan pelbagai dewa seperti Brahman, Vishnu dan Siva.Konsep ‘kelahiran semula’ dalam agama Hindu.Buddha menolak konsep Tuhan dan menitik berat kepada pengikutnya untuk menghindar dari kemewahan dunia. Semua agama ada konsep ketuhanan kecuali Buddha. Semua agama mempunyai doktrin dan amalan-amalan tetentu.Doktrin ini terkandung dalam kitab-kitab suci agama-agama tersebut iaitu kitab suci.al-Quran untuk umat Islam,Kitab-kitab Veda bagi penganut agama Hindu,New Testament bagi penganut Kristian dan Old Testament bagi penganut Yahudi.Aspek-aspek tertentu dalam agama Islam, Kristian, dan Yahudi mempunyai persamaan iaitu contohnya dari segi hidup selepas kematian dan balasan setimpal.

Di peringkat kecil pula ialah keluarga.Setiap tamadun mementingkan pembentukan keluarga.Dalam ajaran Confucius, pengabaian terhadap keluarga bertentangan dengan keadilan.Konsep  ‘li’ menekankan kepada lima kejalinan hubungan sesame manusia iaitu maharaja dengan rakyat,bapa dengan anak, abang dengan adik, suami dengan isteri, kawan dengan kawan. Tamadun Islam yang berasaskan ajaran al-Quran turut member kepentigan kepada keluarga. Kasih sayang dan hormat-menghormati berasaskan hak dan tanggungjawab.Islam menegaskan hak terhadap anak mestilah dilaksanakan oleh ibu bapanya sejak anak itu dalam kandungan lagi.Ibu bapa juga bertanggungjawab memberipendidikan agama dan kemahiran yang sempurna kepada anak-anaknya.Anak-anak mesti membuat kebaikan kepada ibu bapa tidak boleh menderhaka kepada keduanya.Keluarga turut menjadi unit penting dalam tamadun dan masyarakat India.Pembinaan keluarga mempunyai matlamat membentuk sistem sokongan yang berbentuk fizikal dan rohanian,di samping menjadi penerus zuriat keturunan. Walaupun hubungan darah yang dikira daripada anggota lelaki dari keluarga yang sama merupakan asas ikatan keluarga tetapi yang lebih penting ialah ikatan yang didasarkan oleh perasaan kasih sayang dan rasa hormat.

Komuniti atau masyarakat merupakan unit yang penting dalam setiap tamadun.Identiti dan personaliti seseorang manusia terbentuk daripada komunitinya.Komuniti adalah unit yang penting dalam Tamadun Islam.Ikatan sesama anggota komuniti bukan sahaja kekeluargaan/kekerabatan namun sesama agama(ukhuwah).Pembentukan komuniti China banyak dipengaruhi oleh sistem kekeluargaan China.Sistem kekeluargaan yang berasaskan kuasa lelaki dan bapa telah meresap dalam pembentukan komuniti China.Dalam Tamadun India,komuniti turut memainkan peranan penting.Tamadun India mempunyai peraturan-peraturan yang ketat.Sistem sosial dalam komuniti ditentukan berasaskan sistem kasta yang rigid.

Pemerintah atau raja harus berkelakuan baik dan bertanggungjawab.Raja merupakan gelaran tertinggi kepada pemerintah dalam semua tamadun.Dalam Tamadun China, Confucius menekankan pemerintah berperanan seperti bapa kepada rakyat.Ini bermakna seseorang raja perlulah mempunyai moral yang baikkerana baginda menjadi pelindung kepada rakyatnya.Dalam tamadun awal masyarakat Melayu,kesetiaan kepada raja dan perlindungan yang diberi oleh raja kepada rakyat adalah dimensi yang penting.Rakyat tidak boleh menderhaka raja.

Sementara itu budaya juga merupakan satu lagi perbezaan nyata antara tamadun.Setiap tamadun mempunyai budaya yang berlainan.Tamadun Eropah mempunyai budaya iaitu budaya memakan gandum .Tamadun Islam tidak melarang umatnya untuk mengamalkan budaya sendiri dengan syarat tidak melanggar hukum-hukum agama.Begitu juga Tamadun Hindu,bebas mengamalkan budaya dengan syarat tidak melanggar hukum-hukum agama seperti memakan daging lembu.

Agama merupakan unsur yang penting dalam tamadun.Setiap agama mempunyai institusinya tersendiri.Masjid merupakan tempat perhimpunan, pusat pentadbiran Islam, pusat ilmu pengetahuan, tempat mengajar bagi umat Islam.Kuil dalam agama Hindu dan Buddha merupakan tempat beribadat dan pusat pendidikan.Gereja pula mengambil peranan sebagai tempat beribadat, pusat kegiatan sosial masyarakat setempat dan pusat perkembangan ilmu pengetahuan.

Kegiatan ekonomi dalam tamadun-amadun awal berlangsung dalam konteks ‘moral semesta’.Oleh itu muncul konsep hak-hak kehidupan dalam ajaran Buddha sebagaimana yang termaktub dalam salah satu daripada ajaran lapan lapis(Eight Fold Path).Dalam ajaran Islam, prinsip halal haram berasaskan akhlak.Penipuan, riba, rasuah, dan bentuk bentuk penyelewengan lain amat ditegah dalam Islam.Sementara Tamadun China, falsafah Konfusianisme yang pentingkan golongan petani dan memandang rendah kepada golongan pedagang kerana golongan ini dikatakan sentiasa menipu .Dalam Tamadun Eropah zaman pertengahan,kita dapati bahawa ajaran agama Kristian amat mempengaruhi kegiatan ekonomi.Unsur-unsur rasuah, riba dan penipuan adalah amat dilarang.

Pedidikan bertujuan untuk pembentukan peribadi seseorang individu,Dalam Tamadun Islam, konsep tauhid memainkan peranan penting dalam tranformasi manusia.Sebaliknya,dalam ajaran-ajaran Buddha dan beberapa ajaran Hindu, tranformasi sifat dapat dicapai melalui proses mencari diri sendiri.


kesimpulan

Tamadun sesebuah masyarakat bukanlah bersifat tertutup ,sebaliknya bersifat terbuka.Sifat inilah yang memberi peluang kepada berlakunya interaksi antara tamadun.Interaksi antara tamadun menghasilkan dua kesan yang penting iaitu kesan positif dan kesan negatif.Kesan positif memberi pengukuhan kepada sesuatu tamadun manakala kesan negatif seringkali mewujudkan konflik dan kemusnahan.Dalam keadaan ini,setiap tamadun seharusnya daoat belajar daripada pengalaman sejarah dan sebaik-baiknya cuba mengekalkan berlakunya konflik dalam proses interaksi.Memandangkan interaksi antara tamadun merupakan penyumbang kepada kelangsungan kecemerlangan sesebuah tamadun,maka ia perlu diperlihara agar kebaikannya dapat dimanfaatkan bersama dan diwarisi oleh generasi akan datang. Mesti diingatkan bahawa semua tamadun mempunyai nilai,etika dan institusi yang tersendiri. Walaupun keunikan itu menjadi sesebuah tamadun tetapi kita tidak dapat menafikan bahawa terdapat juga sudut-sudut tertentu dalam aspek-aspek tersebut mempunyai persamaan antara tamadun-tamadun yang wujud di dunia ini.

1 comments:

insan terluka said...

maaf sy copy xmintak kebenaran...tp thanx dgn info ini..^_^

Post a Comment