My ads

Saturday, October 8, 2011

Pentas Kehidupan

 

Nina pulang ke rumah lewat pada hari itu. Hari itu merupakan hari yang paling bahagia dalam hidupnya selama dua puluh lima tahun. Biasanya Nina akan bermuram durja selepas pementasannya dan tidak bergaul dengan teman-temannya yang sama bergiat aktif dalam dunia pementasan. Nina dikatakan seorang yang "anti-sosial", namun dia tidak hidup bagaikan katak di bawah tempurung. Setiap perkembangan dunia atau Singapura diketahui oleh Nina bagai di hujung jari.

Trofi Anugerah Pelakon Teater Wanita Terbaik 1999 diletakkan di atas meja di ruang tamu. Nina terlalu letih. Dia tertidur dalam masa sepuluh minit tanpa menukar pakaiannya atau menanggalkan mekap. Secara tiba-tiba Nina meronta-ronta. Peluh menitik tanpa henti dari dahinya. Nina terjatuh dari sofa tempat beliau tidur.

" Astargfirrullah!" Perkataan itu yang pertama kali dikeluarkan oleh Nina sejak pulang dari Drama Centre malam itu. Nina terus bergegas ke telefon dan menghubungi seseorang.

" Sabarlah Nina. Dah berapa kali kakak cakap jangan terus tidur tanpa cuci muka dan solat. Kenapa Nina degil sangat ni? Nina kan tahu kelemahan Nina. Jangan benarkan mimpi buruk tu berulang lagi. Badan Nina kan lemah, kalau kena pergi hospital lagi, kakak dah tak nak tolong Nina ." Kak Suria cuba menenangkan Nina tetapi suaranya agak tegas.

" Nina penat sangat kak. Sayang sekali tadi kakak tak datang. Esok kakak makan malam di rumah Nina ya? Kakak tengok trofi yang Nina dedikasi khas untuk kakak. Cantik tau kak. Dahlah kak, Nina dah noneng-noneng ni. Nina janji Nina solat sebelum tidur. Tapi malam ni Nina cuti. Nina cuci muka dan kaki, ya kak? Selamat malam kakakku sayang!" Perbualan mereka habis di situ dan Nina melakukan apa yang sepatutnya dilakukan.

" Kakak bangga dengan pencapaian kau Nina. Tak sia-sia kakak membimbing dan menasihati kau dulu. Jadi Nina berikan trofi ini pada kakaklah ya?" Kak Suria begitu rancak berbual dengan Nina setelah selesai makan malam.

" Kalau kakak nak, ambillah. Nina memang terhutang budi pada kakak. Dulu Nina dipandang hina, tetapi sekarang Nina dikenali di seluruh Singapura. Semuanya kerana kakak.

"Sedap tak Nina masak? Ayam panggang yang Nina masak tadi ialah resepi terbaru daripada majalah Manja. Nina tahu kakak gemar makan ayam, jadi Nina masak istimewa untuk kakak Nina yang tercinta." Nina ternyata sangat gembira dengan kehadiran kakak angkatnya itu.

Beberapa hari setelah kemenangan Nina sebagai Pelakon Teater Wanita Terbaik, Nina dilantik menjadi ketua pengarah teater Ekamatra; tempat dia diasuh dan mengenali dunia pementasan yang sangat diminatinya. Nina diberi kepercayaan penuh oleh Encik Ismadi memegang jawatan yang agak penting itu. Hari itu juga seorang pelakon baru menyertai Ekamatra. Nina juga ditugaskan menjadi pengasuh pelakon baru itu.

Indra Shaharudin mengambil masa seminggu sahaja untuk mengenali asas kemahiran berlakon teater. Dia sebenarnya tertawan dengan keayuan dan kemahiran Nina berlakon.

" Terima kasih kerana Nina sanggup menemani saya makan. Nina tahu tak yang Nina sebenarnya cantik bagaikan bidadari?" Indra memulakan perbualan yang merupakan pertama kali beliau berdua-duaan dengan Nina. Indra menyelam sambil meminum air. Di sebalik tujuannya membelanja Nina makan kerana budinya, ia juga merupakan langkah pertama bagi harapan cinta berputik.

" Saya memang suka orang belanja saya makan. Sekurang-kurangnya wang saya tidak terkopak. Selain itu juga Nina memang sedar dari dulu lagi yang Nina ni jambu gila. Sebab itu awak ajak saya makan di restoran yang "posh" ini kan?" Nina membalas dengan nada gurauan.

Perhubungan antara Nina dan Indra Shaharudin semakin intim. Teman-teman mereka yang lain sudah dapat meneka bahawa Nina dan Indra sedang asyik bercinta. Pada hakikatnya, Nina tiada perasaan cinta pun pada Indra. Nina sememangnya peramah tetapi pada orang yang serasi dengan dunianya. Ternyata Indra dapat memahami perasaan Nina. Oleh kerana itulah mereka selalu berdua.

Indra tidak hadir ke pentas pada pagi itu. Nina dan rakannya yang lain menunggu selama lebih kurang dua jam, namun kelibat Indra tidak juga kelihatan. Pementasan mereka ditiadakan pada hari itu kerana Indra adalah nadi utama pementasan. Nina pula terlalu kecewa, lantas membatalkan pementasan.

Fikiran Nina bercelaru kerana terfikir tentang Indra. Barang-barang di rumahnya mula dilontarkan. Dinding dan lantai rumahnya sememangnya sudah serasi dengan perbuatan Nina itu.

" Ambil kau! Lelaki jahanam! Sial! Arghhhh!!!! Hahahahahahaha!!!!!!!" Suara Nina semakin kuat bergema di ruang tamunya.

Tidak lama selepas itu Nina menangis sepuas hatinya. Tangisannya seperti budak kecil. Pintu rumahnya diketuk. Nina segera mengelap air matanya lalu membuka pintu.

" Oh, Indra. Masuklah. Maaf rumah aku berserak. Hati-hati berjalan tu, aku belum mengemas lagi kaca yang berderai tu. Kau duduk dulu biar aku berkemas." Indra dibiarkannya melayan perasaannya sendiri sementara Nina membersihkan ruang tamunya.

" Nina masih marahkan Indra? Tadi Indra tak datang sebab masih menanti jawapan. Nina janji mahu berikan Indra jawapannya. Bagaimana Nina?" Indra rupanya menaruh harapan yang tinggi agar Nina menerimanya sebagai pasangan hidupnya.

" Berapa kali Nina dah cakap, kita kawan sajalah. Nina tak percayalah pada percintaan. Indra carilah yang lain. Yani ke, Ifah ke, Amy ke. Mereka tu semua cantik-cantik dan baik. Nina rasa mereka semua lebih baik dari Nina. Nina anggap Indra macam abang Nina sendiri. Lagipun Nina tak ada abang. Boleh kan?" Itulah jawapan Nina yang sama buat sekelian kalinya.

Indra semakin hampa. Namun ini tidak mematahkan semangatnya untuk mendampingi Nina. Nina, yang semakin tertekan dengan perangai Indra dan juga kerana takut Indra meninggalkan kerjayanya, akhirnya mengalah dan menerima Indra.

" Kak, Nina dah dua bulan mengandung. Anak Indra." Nina cuba berbual dengan Kak Suria dengan nada yang perlahan di Celebrate-Tee Café.

" Ya Allah! Betul Nina? Mana iman kau dik? Kalau tak tahan sangat, kahwin jelah. Ini bukannya cara yang betul. Berdosa dan jijik perbuatan kau di sisi Tuhan!" Kak Suria memberikan reaksi yang cuba dikawalnya.

Nina menangis seperti budak kecil, teresak-esak. Kak Suria terlupa bahawa beliau tidak boleh memarahi Nina atau mengecewakannya. Beliau cuba memujuk Nina kerana pelanggan yang lain semua memerhatikan mereka berdua. Nina tidak mahu berkahwin dengan Indra tetapi mencintai Indra sepenuhnya. Kandungannya juga mahu disimpan. Kak Suria akhirnya terpaksa mengalah. Beliau mencarikan Nina dan Indra rumah tetapi Nina harus berehat dari melakukan pementasan. Kak Suria mengerti mengapa Nina tidak mahu berkahwin. Walaupun beliau cuba memujuk Nina, percubaannya nyata tidak berhasil menundukkan ego dan emosi Nina.

Kandungan Nina sudah masuk tujuh bulan. Perutnya semakin berkembang dan pipinya semakin tembam. Nina tidak dibenarkan keluar rumah kerana terpaksa menjaga namanya dalam arena pementasan. Semua urusan doktor dilakukan oleh teman Kak Suria di tempat tugasnya secara rahsia di rumah Nina. Nina semakin rimas hidup di rumah itu sendirian. Temannya hanyalah radio, televisyen, majalah, suratkhabar dan komputer. Kak Suria hanya menjengoknya sekali-sekala kerana sibuk dengan tugasan hariannya. Indra pula semakin giat dengan peraduan pementasannya yang mula berkempen di seluruh Singapura. Indra cuma pulang pada waktu malam dan Nina selalunya tertidur di sofa, menanti kepulangan insan yang amat dicintainya.

Nina terlalu bosan pada petang itu. Beliau menonton video pementasanna yang menjadikan Nina pelakon terbaik. Nina terkenang saat itu, lalu mengikut segala gerak di video itu. Langkah kakinya semakin pantas mengikut tarian muzik itu. Biarpun terasa letih, Nina meneruskan juga tariannya. Tanpa Nina sedari, dia terhantuk di dinding dan terjatuh ke lantai. Darah mengalir dari tempat sulitnya hingga kedua kakinya.

Doktor mengesahkan bahawa bayi perempuan Indra dan Nina tidak dapat diselamatkan. Nina kecewa tidak terkata dan menyalahkan Indra seratus peratus. Selepas kejadian itu, Nina tidak lagi berminat dengan dunia pementasan. Baginya dunia pementasan telah merampas bayinya dan Indra. Indra juga semakin tidak meluangkan masa bersama Nina. Indra masih juga pulang lewat malam. Menurut Indra, waktu tiga bulan itu, beliau memang giat belatih untuk peraduan pementasan. Nina semakin berubah. Beliau sudah seperti kehilangan segala-galanya di dunia.

Barang-barang di rumahnya semuanya sudah pecah. Nina kembali seperti lima tahun dahulu. Kehulu dan kehilir di rumahnya bersama pisaunya. Bantal tidurnya berlubang-lubang dicucuk pisau. Sewaktu Indra pulang ke rumah sejak kejadian yang tidak diingininya berlaku dua minggu lalu, rumahnya berserak lagi.

" Nina. Kenapa ni? Kita boleh cuba lagi dapatkan pengganti Safura. Tetapi kita mesti nikah dulu. Lagipun Nina kan tahu Indra sibuk waktu ini. Insyallah selepas tiga bulan nanti Indra akan menikahi Nina dan Indra tak pulang lewat lagi macam sekarang. Dulu kan Nina sendiri cakap hidup sebagai seorang pelakon pentas bertugas tidak mengira waktu. Tapi Nina sendiri marah-marah Indra sebab selalu pulang lambat. Benda-benda dalam rumah semua Nina dah rosakkan. Macam mana pula Indra…" Sebelum Indra habis perbualannya, Nina menjerit.

" Arghh!!! Lelaki jahanam! Sial! Hahahahahaha!!!!"

Nina menangis teresak-esak seperti budak kecil. Indra cuba memujuk Nina tetapi Nina menjerit lagi sambil memaki hamun Indra.

Keadaan begitu berterusan selama beberapa minggu. Indra menghubungi Kak Suria menyuruhnya menasihati Nina malam itu. Hari itu Indra sibuk dengan penggambaran majalah Manja dengan heroin dalam pementasan terbarunya.

Nina sedang bersiap untuk menghantar makanan ke tempat tugas Indra. Nina mula berubah demi cintanya pada Indra. Sewaktu tiba di tempat tugas Indra, Nina terlihat kemesraan yang intim antara Indra dan seorang perempuan yang jelita. Nina membatalkan hasratnya untuk menghantar makanannya lalu pulang ke rumah sambil menjerit dan memaki hamun Indra.

Pada malam itu, Indra pulang awal kerana telah berjanji dengan Kak Suria untuk menemui dan menasihati Nina tanpa pengetahuan Nina. Nina pula memasak masakan yang digemari Indra seakan dia tahu Indra akan pulang awal. Indra terkejut benar dengan keadaan yang dilihatnya. Rumahnya dihias cantik seperti ada parti. Di meja makan pula terdapat banyak lauk-pauk yang menjadi kegemarannya semua. Indra meneka Nina pasti sudah menyedari hakikat kehidupan bahawa yang pergi tidak akan kembali.

" Sayang, awal u pulang hari ni? Macam dah tahu yang Nina masak lauk kegemaran u je? U dah bau ke Nina masak ni? Come, let’s eat darling!" Nina melayan Indra dengan penuh kemesraan. Indra sungguh bahagia sehingga terlupa bahawa Kak Suria akan datang ke rumahnya.

Nina menuju ke dapur untuk mengambil pencuci mulut. Sekembalinya dari dapur, Nina menikam pisau ke bahagian belakang badan Indra.

" Ambil kau! Lelaki jahanam! Sial! Arghhhh! Hahahahaha!!!!" Nina mencuba lagi untuk menikam Indra seperti yang dilakukan terhadap ayah tirinya lima tahun dulu.

" Berani kau menipu aku! Semua lelaki sama! Jahanam kau!" Indra berjaya mengelak dirinya dari terus ditikam bertubi-tubi.

" Nina! Kak Suria ni. Berhenti Nina. Ingat pada Tuhan dik. Istifar banyak-banyak." Kak Suria yang baru tiba di rumah Nina terus menyejukkan keadaan yang tegang itu.

" Nina sebenarnya bekas pesakit di Institute of Mental Health. Kakak ni dulu kaunselornya dan masih lagi menjadi kaunselornya kini. Perkembangannya di IMH semakin baik, lalu pihak hospital membenarkan Nina hidup di dunia luar tetapi tidak boleh kecewa. Sebab itulah kakak selalu mengikut kehendak Nina tetapi harus berpatutan perangainya. Kakak sangka dia sudah menemui kebahagian hidupnya dan berjaya melupakan sejarah hitam dalam hidupnya setelah bertemu dengan Indra. Ternyata kakak silap, Indra. Nina masih dihantui kisah silam. Bapa tirinya mendera ibu Nina sehingga membunuh ibunya di depan mata Nina sendiri. Nina pula membunuh bapa tirinya dengan pisau sebagai luahan emosinya yang sekian lama menderita. Sekarang ini kakak terpaksa membawa Nina kembali ke IMH." Kak Suria menjelaskan kepada Indra perkara yang disembunyikannya bersama Nina selama ini.

Indra kelu tidak terkata. Setelah Nina dibawa ke IMH, Indra juga mula berubah. Cintanya terhadap Nina sesungguhnya amat mendalam.

DUA ORANG PELAKON PENTAS YANG SANGAT AKTIF BERSAMA TEATER EKAMATRA SATU KETIKA DAHULU BERADA DI INSITUT MENTAL KINI. Sekian berita ringkas dari Warna 94.2 Fm, Radio Mediacorp.

0 comments:

Post a Comment