My ads

Friday, July 8, 2011

Pengenalan Literasi Bahasa melayu

 

Kemahiran bahasa dan komunikasi merupakan nadi kepada pembelajaran murid. Individu murid dikatakan telah menguasai kemahiran asas bahasa apabila mereka mempunyai kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis serta boleh berinteraksi dengan orang lain. Kebolehan berbahasa dan berkomunikasi dengan baik berupaya meningkatkan keyakinan murid untuk melibatkan diri secara lebih aktif dalam pembelajaran. Sekaligus ini akan menjadi asas kepada pembelajaran sepanjang hayat.

Komponen bahasa dan komunikasi merangkumi Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Bahasa Cina sebagai bahasa pengantar di sekolah Cina, Bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah Tamil dan Bahasa Ingerís sebagai bahasa kedua.

Prinsip utama pengajaran bahasa ialah menyepadukan empat kemahiran bahasa iaitu mendengar, bertutur, membaca dan menulis dalam bahasa yang mereka pelajari.

I. Kemahiran mendengar – kanak-kanak boleh membezakan bunyi dan boleh memahami apa yang didengar.

II. Kemahiran bertutur – murid dapat menyebut bunyi dan perkataan dengan betul serta dapat menyatakan pemikiran dan perasaan mereka secara berkesan dan bertatasusila.

III. Kemahiran membaca – murid boleh mengucapkan apa yang tertulis dan bercetak dan memahami makna perkataan atau ayat yang dibaca.

IV. Kemahiran menulis – murid dilatih untuk menguasai motor halus sehingga boleh menuliskan huruf dan perkataan dan seterusnya menulis ayat mudah.

Kemahiran bahasa dan komunikasi boleh dicapai melalui pengalaman pembelajaran yang bermakna dan menggembirakan seperti permainan bahasa, main peranan, bercerita dan lawatan.

Selaras dengan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan menjadi mata pelajaran wajib di peringkat rendah dan menengah adalah wajar Bahasa Melayu dikuasai dengan baik dari peringkat prasekolah lagi.

Bahasa Melayu digunakan secara merentas komponen dan dalam interaksi seharian. Oleh itu penggunaannya perlu dipertingkatkan sebagai alat untuk berfikir, berinteraksi dan menyatakan fikiran dan perasaan. Selain itu penguasaan kemahiran Bahasa Melayu membolehkan murid berkomunikasi dengan bahasa yang betul dan bertatasusila.

Penguasaan kemahiran Bahasa Melayu diperolehi melalui pelbagai pengalaman pembelajaran yang melibatkan murid secara aktif dalam aktiviti yang menggembirakan seperti bercerita, berbual, bersoal jawab, menyanyi, berlakon, berpuisi dan permainan bahasa. Aktiviti ini boleh menambahkan perbendaharaan kata dan seterusnya meningkatkan kemahiran bahasa. Berikut adalah objektif Kurikulum Bahasa Melayu.

I. Mendengar dan menyatakan apa yang didengar;

II. Bertutur dengan sebutan yang betul dan bahasa yang bertatasusila;

III. Membaca dan menceritakan isi bacaan sesuai dengan peringkat perkembangan murid; dan

IV. Menulis perkataan dan ayat mudah dengan betul.

0 comments:

Post a Comment